SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tiada istilah ‘pencen’ bagi Hamidah Wahab

Tiada istilah ‘pencen’ bagi Hamidah Wahab

Pelakon veteran gigih ulang-alik S’pura-M‘sia kerana cinta pada dunia lakonan
Apr 19, 2026 | 5:30 AM

Tiada istilah ‘pencen’ bagi Hamidah Wahab

Pada usia yang kini mencecah 68 tahun, pelakon veteran Malaysia, Hamidah Wahab, seperti tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Anak kelahiran Melaka itu masih berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia secara kerap demi memenuhi pelbagai tawaran berlakon di kededua negara.

Bermula dalam industri hiburan pada era 1970-an, Hamidah mengakui minat dalam bidang lakonan merupakan antara faktor utama yang membuatnya ingin terus bergiat aktif hingga kini.

“Bagi saya, minat terhadap bidang lakonan membuat saya rasa gembira setiap kali ke set penggambaran.

“Ia penting bagi saya di usia senja untuk kekal aktif dan terus berfikiran positif agar tidak rasa sunyi.

“Saya memang tidak boleh duduk diam di rumah sahaja. Lepas seminggu, saya akan mula rasa resah.

“Lantas, saya akan mengisikan masa lapang dengan ke masjid atau berjumpa kawan-kawan jika tidak sibuk dengan penggambaran drama,” kongsinya yang berada dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk membeli-belah bersama sahabat handai ketika diwawancara Berita Minggu (BM) melalui Zoom baru-baru ini.

Mengakui dirinya harus pandai membahagikan masa, Hamidah berkongsi ada kalanya beliau terlibat dalam dua penggambaran drama berbeza di Singapura dan Malaysia pada satu-satu masa.

“Saya akan memaklumkan kepada pihak penerbitan mengenai jadual saya. Jika saya ada kelapangan, saya akan menerima tawaran itu.

“Baru-baru ini, saya terlibat dalam drama bersiri di Singapura iaitu Remuk, dengan penggambaran bermula pada Ogos 2025.

“Ketika itu, saya turut terlibat bagi watak sampingan dalam drama Malaysia, Sujud Terakhir Encik Norman, yang bersiaran di Astro Ria.

“Namun, saya memberi tumpuan lebih kepada drama di Singapura kerana wataknya lebih berat,” jelas Hamidah, yang menetap di Singapura bersama suaminya, pelakon veteran, A. Mahadi.

Pasangan ini mempunyai tiga anak dewasa.

Drama Remuk yang dijayakan turut menampilkan barisan pelakon seperti Lydia Izzati, Fadhlur Rahman, Suzairhe Sumari, Olynn Saleh, Farah Lola dan Siti Hajar Gani.

Drama 13 episod itu menceritakan tentang kisah kesan rapuh selepas satu kemalangan tragik yang melibatkan tiga keluarga.

Menyentuh mengenai pengalamannya membawa watak Maimunah, seorang ibu yang sanggup melakukan apapun untuk menjaga maruah keluarga, Hamidah mengakui harus menonjolkan sisi perwatakan yang berbeza.

“Maimunah mempunyai ego yang tinggi kerana hanya mahukan yang terbaik buat kededua anaknya, Malik dan Idris.

“Ada ketika dia menasihati anaknya, namun ada ketika, dia sanggup bergaduh dengan anaknya kerana tidak mahu mereka bercerai. Namun, dia sebenarnya tidak memahami masalah sebenar,” ceritanya yang selesa bekerjasama dengan pelakon mapan mahupun baharu.

Hamidah turut digandingkan sekali lagi dengan Suzairhe selepas bekerjasama dalam telefilem khas sempena ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), Gerisik Hati di Greece, yang disiarkan pada 2025.

“Alhamdulillah, Suzairhe membawa watak sebagai anak saya sekali lagi. Mudah untuk bekerjasama dengannya kerana dia memahami gaya saya, lantas melancarkan proses di set penggambaran,” tambahnya.

Namun, sebagai pelakon yang selesa menghafal dialog dengan skrip yang dicetak, Hamidah terkejut apabila melihat ramai pelakon muda sering menatap skrin telefon di set penggambaran.

“Pada mulanya, saya terkejut kerana menganggap mereka tidak serius untuk berlakon.

“Namun, saya mula sedar yang mereka sebenarnya sedang membaca skrip menggunakan telefon pintar. Saya akur ini cara anak muda bekerja.

“Pihak penerbitan masih menghargai permintaan saya untuk mencetakkan skrip secara fizikal. Maklumlah, saya sudah berusia, sukar untuk melihat melalui skrin kecil,” kata Hamidah sambil tertawa.

Beliau yang bermula dalam industri hiburan sebagai seorang peragawati mengingati peluang yang diberikan oleh pengarah dan penerbit drama di Singapura, Allahyarham Bani Buang.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk terlibat dalam drama di Singapura pada lewat 1970-an.

“Saya masih mengingati hero (pelakon lelaki) pertama yang digandingkan bersama saya, iaitu S. Sahlan,” kongsi Hamidah.

Beliau turut bersyukur dengan peluang yang diberikan mantan Timbalan Presiden Kanan, Mediacorp Suria dan Eaglevision, Suhaimi Jais, yang ketika itu merupakan seorang penolong penerbit.

“Ketika itu, dia sering menghasilkan video muzik untuk ramai penyanyi seperti Allahyarham Halil Chik.

“Saya ingat pengalaman melakukan penggambaran di Taman East Coast,” tambahnya yang pernah membintangi drama tempatan, Menantu International dan drama dari seberang Tambak, Setelah Terlafaznya Akad.

Mengulas mengenai kesihatan suaminya, yang baru-baru ini muncul dalam drama bersiri, Cuci (Musim Kedua), Hamidah berkata suara A. Mahadi tidak begitu jelas disebabkan satu pembedahan yang dilakukan sekitar empat tahun lalu.

“Pada mulanya, dia mengadu rasa kurang selesa di bahagian tekak apabila ingin menyanyi.

“Doktor mengesyaki dia menghidap barah tiroid, namun selepas beberapa ujian ia bukan barah. Salah satu pita suaranya tidak berfungsi, lantas perlu menjalani pembedahan.

“Namun selepas pembedahan, pita suaranya tidak sembuh sepenuhnya.

“Alhamdulillah, kini dia boleh makan dan berbual seperti biasa, tetapi suaranya kurang jelas dan seperti tersekat-sekat.

“Bagaimanapun, dia masih menerima tawaran lakonan yang bersesuaian,” jelas Hamidah, yang turut dikenali menerusi siri popular Malaysia, Tanah Kubur.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg