Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biwa Mastura selami emosi watak wanita diulit masalah keluarga

Sahut cabaran ganding dengan suami di kaca TV, lakon drama ‘Boneka’ di rumah sendiri
Jan 7, 2026 | 5:30 AM
Biwa Mastura, Biwa Mastura Said, Boneka, mewatch
Pelakon dan pendidik drama bebas, Biwa Mastura, menghargai setiap tawaran lakonan yang diberikan kepadanya kerana menganggapnya sebagai peluang untuk terus mengasah bakat. - Foto MEDIACORP

Apabila ditawarkan watak Fiza bagi drama saspens (psycho thriller), Boneka, pelakon Singapura, Biwa Mastura Said, tidak menyangka beliau bakal bergandingan di kaca televisyen dengan suaminya, pelakon dan pendidik drama, Syaiful Ariffin, buat kali pertama.

“Pada mulanya, pihak penerbitan meminta jadual kelapangan saya untuk melakonkan watak Fiza.

“Selepas itu, Syaiful memberitahu beliau turut dihubungi untuk salah satu watak dalam naskhah yang sama, namun kami berdua tidak menyangka beliau bakal membawa watak suami Fiza, iaitu Helmi.

“Kami agak terkejut namun bersyukur kerana ia merupakan kali pertama kami digandingkan dalam naskhah yang sama sejak berkecimpung dalam bidang seni,” kongsi Biwa, 35 tahun, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom.

Menyingkap semula pengalaman berlakon bersama, Biwa berkata, lebih mudah mencari keserasian bagi kededua watak.

Namun, terdapat juga cabaran apabila bergandingan sebagai pasangan suami isteri di hadapan kamera.

“Watak Fiza merupakan seorang individu yang melalui pelbagai cabaran dan telah lama bertahan dengan perangai suaminya, Helmi.

“Beliau kekal kuat demi anaknya namun tetap mempunyai sisi perwatakan lembut lantas memerlukan penjiwaan watak yang mendalam.

“Terdapat ketika apabila kami berdua telah tamat penggambaran setelah seharian melakonkan babak yang berat namun tenaga dan emosi yang dilalui kededua watak itu masih berada dalam diri kami.

“Kami hampir terbawa-bawa tenaga itu dalam diri kami namun sedar ia adalah satu pengajaran bagaimana kami harus pisahkan kerja dan kehidupan sebenar jikalau diberi peluang sekali lagi untuk bergandingan dalam sesebuah naskhah,” ujar Biwa.

Menariknya, kebanyakan babak mereka berdua di rumah dilakonkan dalam flat lima bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pasangan itu.

Ditanya bagaimana idea itu tercetus, Biwa berkata ia bermula sebagai satu gurauan apabila pihak penerbitan ingin mendapatkan pelakon cilik, Adrianna Putri, untuk melakonkan watak anak Fiza, iaitu Alia.

“Saya berkata kalau sukar untuk mendapatkan pelakon cilik, mengapa tidak tukarkan watak Alia itu kepada Ali dan saya boleh ambil anak lelaki saya untuk berlakon serta penggambaran boleh dilakukan di rumah saya.

“Ini memandangkan pihak penerbitan sedang mencari flat lima bilik untuk dijadikan set penggambaran.

“Saya tidak menyangka pihak penerbitan mengambil itu sebagai satu cadangan yang serius,” jelas Biwa, yang mempunyai tiga anak berusia antara tiga dengan 10 tahun.

Demi melancarkan kerja pihak penerbitan, anak mereka berdua dihantar ke rumah ibu Syaiful semasa penggambaran berlaku di dalam rumah memandangkan ia dijalankan sewaktu cuti sekolah Jun.

Drama Boneka yang tamat siaran pada Disember lalu menceritakan mengenai pemilik rumah dan bekas warden penjara, Masnona, atau mesra disapa Mama Nona (lakonan Nora Samosir), yang ingin membina semula keluarga impiannya susulan satu kebakaran di rumahnya.

Watak Fiza merupakan bekas tunang Irfan (Fadhil Daud), yang juga anak tunggal Mama Nona dan meninggal dunia disebabkan kebakaran itu.

Drama 10 episod tersebut turut dibintangi barisan pelakon berbakat seperti Fandy Ahmed, Azzy Mozerin, Haziqah Hashir, Azhar Noor Lesta dan Aaron Mossadeg.

Biwa turut menganggap watak Fiza yang diulit masalah keluarga itu memberinya ruang untuk memaparkan kebolehan lakonannya selepas sering muncul sebagai watak wanita Filipina.

“Saya pernah berbual dengan seorang pengarah dan beliau mengatakan ia akan sukar jika seorang pelakon itu sudah dikenali dengan watak komedi.

“Sejujurnya, saya tidak mahu dianggap sesuai hanya untuk sesuatu watak namun ingin mencabar potensi sebenar saya sebagai seorang pelakon,” ujar Biwa, yang pernah melakonkan watak wanita Filipina dalam filem, Ah Boys to Men, serta drama bersiri, R&D dan Aduh Bibikku.

Biwa, yang memulakan kerjaya seninya selepas menyertai program realiti, Anugerah Skrin 2010, berkata dirinya berharap dapat diberi peluang berlakon bersama dengan mentornya sewaktu pertandingan itu iaitu pelakon mapan, Sani Hussin dan Seri Wahyuni Jaes.

“Selepas saya muncul dalam satu episod bagi drama antologi, Origene, pada April 2025, saya mendapat pesanan ringkas daripada Abang Sani yang memuji lakonan saya.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana sejak mengenalinya, saya belum pernah menerima pujian bagi lakonan saya daripadanya,” ceritanya, yang mempunyai Diploma dalam Seni Teater dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), dan turut bertugas sebagai pendidik drama secara bebas.

Ditanya apakah yang membuat dirinya mahu terus bergiat aktif dalam industri seni walaupun ada pasang surutnya, Biwa berkata minat dan keinginan untuk terus memperbaiki lakonan merupakan antara faktor utama yang memberinya semangat untuk terus berjuang sebagai seorang pelakon.

“Saya percaya rezeki itu telah ditentukan.

“Walaupun hanya ditawarkan watak sampingan atau watak tambahan, saya akan tetap ambil jika jadual saya mengizinkan.

“Bagi saya, yang penting ialah niat utama anda memasuki industri lakonan.

“Jika anda menjadi seorang pelakon kerana ingin menjadi popular, saya rasa minat itu akan pudar tidak lama kemudian.

“Namun, jika anda mempunyai minat mendalami pelbagai watak berbeza dan memahami emosi manusia, saya rasa peluang itu akan datang,” ujarnya, yang pernah terlibat dalam drama bahasa Inggeris, 20 Days dan Titoudao.

Memasuki 2026, Biwa berharap dapat terus melibatkan diri dalam penerbitan tempatan selain tidak sabar untuk menjadi tenaga pengajar bagi seni lakonan di sebuah sekolah menengah.

Drama ‘Boneka’ boleh ditonton menerusi aplikasi mewatch.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg