Topik diikuti
Pergi ke BHkuEnggan belanja lebih untuk majlis kahwin hingga berhutang
Enggan belanja lebih untuk majlis kahwin hingga berhutang
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33 tahun, berpegang pada prinsip untuk tidak menggadaikan wang simpanan semata-mata untuk kemewahan hari perkahwinan hingga sanggup berhutang.
Demikian yang beliau tegaskan ketika berkongsi tentang perancangan majlis perkahwinannya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 32 tahun, sewaktu Sidang Media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq pada 2 Oktober di Kuala Lumpur.
“Jangan menggadaikan simpanan hanya untuk kemewahan sehari hingga menanggung hutang berdekad-dekad,” nasihat Syed Saddiq.
Syed Saddiq berkata beliau mengambil pendekatan secara serius berhubung pengurusan kewangan majlis perkahwinan memandangkan isu kewangan sering menjadi antara punca utama perceraian.
“Saya kongsikan dengan bakal isteri saya, kita buat yang terbaik sebab nak hantar mesej yang baik.
“Saya ialah orang yang bercakap berdasarkan data, jadi saya pandang perkara ini secara serius,” katanya dalam Harian Metro.
Beliau turut berkongsi, bagi penganjuran majlis di Kuala Lumpur, mereka berdua bersetuju untuk mengadakan majlis berskala kecil khusus buat rakan rapat dan peminat.
“Saya minta maaf sekiranya ada yang tak mendapat undangan. Bukan sebab Bella, tapi saya.
“Saya yang bertindak sebagai pengawal kewangan.
“Mujur pihak media seperti Astro ada buat liputan secara langsung, jadi mereka yang tidak diundang boleh menonton di televisyen atau dalam talian.
“Jika tidak dapat hadir di Kuala Lumpur, dijemput datang ke kenduri rakyat di Muar dan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Bella memaklumkan majlis di Kuala Lumpur dirancang sebagai majlis ramah mesra istimewa yang hanya memuatkan seramai 200 orang tetamu.
Menurut Bella, maklumat lanjut mengenai majlis tersebut akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai penganjuran kenduri rakyat, Syed Saddiq memberitahu pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai jenama korporat yang menyumbang keperluan asas.
“Kami bekerjasama dengan banyak jenama seperti Jasmine (jenama beras) yang menyumbang puluhan ribu kilogram bahan asas seperti beras, santan dan ketupat untuk kenduri rakyat nanti.
“Nilainya dianggarkan sekurang-kurangnya RM300,000 ($93,900),” katanya.
Syed Saddiq dan Bella akan diijabkabulkan pada 10 Oktober.
Majlis resepsi di Muar akan berlangsung pada 25 Oktober, manakala di Kota Kinabalu pula akan berlangsung pada 31 Oktober.