Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tony Eusoff masih dilarang masuk S’pura walau sudah rayu beberapa kali

May 30, 2025 | 5:46 PM
tony eusoff, pelakon malaysia
Pelakon Tony Eusoff mendakwa masih dilarang menjejakkan kaki ke Singapura selepas dihukum penjara akibat penyalahgunaan bahan terlarang di republik itu pada 2016. - Foto fail

Pelakon Tony Eusoff mendakwa masih dilarang menjejakkan kaki ke Singapura selepas dihukum penjara akibat penyalahgunaan bahan terlarang di republik itu pada 2016.

Tony, atau nama sebenar, Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48 tahun, yang berdepan larangan seumur hidup untuk memasuki Singapura, bagaimanapun berusaha mengemukakan rayuan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di republik itu.

“Sebenarnya, saya dilarang untuk masuk ke Singapura sampai hari ini sejak kes saya dahulu (kes berkaitan dadah).

“Bagaimanapun, saya boleh kemuka rayuan selepas dua tahun dibebaskan.

“Saya sudah rayu tiga atau empat kali secara dalam talian iaitu menerusi laman web Imigresen di Singapura. Tetapi, saya tidak dapat apa-apa maklum balas dan masih tidak boleh masuk (Singapura),” katanya, ketika ditemui Berita Harian Malaysia pada tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Mencari Ramlee, di GSC Midvalley Megamall di Kuala Lumpur pada 29 Mei.

Disebabkan sudah hampir 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke Singapura, Tony berkata ada peminat yang meluahkan rasa rindu kepadanya.

“Ramai peminat Singapura menghantar mesej dalam media sosial yang memberi sokongan. Itu membuatkan saya terharu andai masih punya peminat di Singapura.

“Peminat ubat rindu dengan menonton cerita kita. Cerita kita sekarang sudah ditayangkan di Netflix dan sebagainya,” katanya.

Tony berkongsi, biarpun diharamkan memasuki Singapura, beliau masih menerima tawaran membintangi drama terbitan stesen televisyen (TV) republik itu.

“Disebabkan saya tidak boleh masuk Singapura, mereka bawa produksi dan buat set di Malaysia untuk saya jalani penggambaran.

“Saya pun tak tahu kenapa layak dapat layanan begitu. Saya lagi pelik apabila dicalonkan dalam satu majlis anugerah di Singapura melalui watak yang saya bawa.

“Pada acara itu, saya dapat anugerah gangsa... Saya macam tidak percaya. Ini adalah satu perkara ironi di mana negara yang larang saya masuk itulah yang calonkan saya untuk acara anugerah mereka,” katanya.

Pada April 2016, Mahkamah Singapura dilapor menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara kepada Tony kerana memiliki dadah terkawal kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg