KUALA LUMPUR: “Macam apa yang diperkatakan... Betul, itulah saya.”
Itu jawapan bekas peserta musim pertama program realiti, Malaysian Idol, Saiful Bakeri mengenai perubahan penampilan dirinya seperti yang tular di TikTok, baru-baru ini.
Saiful bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai video yang sudah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya itu.
“Saya sudah ulas mengenai perkara ini, jadi tiada apa lagi yang saya ingin kongsikan.
“Saya tersentuh juga dengan pelbagai komen netizen sampaikan rasa sudah malas untuk ulas,” katanya kepada BH Online.
Penyanyi yang popular dengan lagu Aku Ada Di Sini itu berkata beliau tidak menyangka apabila video yang memperlihatkan dirinya sudah berubah menyerupai wanita mencuri perhatian ramai sehingga menjadi topik hangat perbincangan netizen.
“Ketika itu, saya hanya menyanyi sempena sambutan Hari Gawai di Kuching, Sarawak. Saya hanya karaoke bersama rakan-rakan.
“Saya juga memenuhi permintaan rakan sebab nanti orang kata sombong pula. Saya tak tahu pula video itu akan tular,” katanya.
Saiful berkongsi, ketika ini beliau hanya memenuhi undangan persembahan secara kecil-kecilan sahaja.
Bagaimanapun, penyanyi yang pernah berduet bersama Misha Omar menerusi lagu Tak Ku Duga ini mengakui bersedia membuat kemunculan semula di pentas muzik tanah air.
“Kalau hendak kata aktif menyanyi sangat itu tidaklah, tetapi, hanya untuk suka-suka dan memenuhi permintaan rakan-rakan. Tetapi untuk undangan ‘show’, memang tiada.
“Saya rindu sebenarnya untuk menyanyi macam dulu-dulu. Tetapi, mungkin saya tiada rezeki dan terus hilang begitu sahaja,” katanya.
Sebelum ini, tular video berduarasi seminit 17 saat di TikTok yang memaparkan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menyanyikan semula lagu pernah dipopularkannya, Ku Juga Mencintai Dirimu dengan penampilan baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg