SHAH ALAM: Tiada apa dimahukan penyanyi Datuk Nora Ariffin selain mengharapkan kes tuntutan perceraian difailkan terhadap suami, Dr Rushdi Ramli, berakhir seperti apa diharapkan dan dapat disegerakan.
Mendakwa tuntutan difailkan atas sebab campur tangan pihak ketiga, Nora bagaimanapun hanya menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan segala kemelut mengikut lunas undang-undang syariah.
“Semuanya baik-baik sahaja, malah tuntutan ini bukan daripada saya dan pihak-pihak tertentu. Jadi, saya rasa tak nak komen.
“Kalau boleh kes ini disegerakan lebih baik, saya hanya serahkan kepada pihak mahkamah yang lebih arif dalam menangani kedua pihak.
“Kerana itulah fungsi mahkamah, bila keadaan tak boleh selesai, kita serahkan kepada mahkamah. Kita ada hukum dan undang-undang, jadi perlu ikut sahaja,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pada 4 Jun, selepas lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kedua-dua pihak.
Pada masa sama, Nora mengakui tidak mampu meramalkan bila akan berakhir episod turun naik mahkamah yang perlu dilalui untuk urusan rumah tangganya dengan suami.
“Saya tak tahu sama ada akan lebih panjang atau tidak. Saya doa semoga semuanya dipermudahkan dan dua-dua memberi kerjasama baik.
“Kalau boleh saya mahu isu ini selesai awal, penat turun naik mahkamah,” katanya.
Ditanya kemungkinan perceraian tidak akan terjadi sekiranya Dr Rushdi mahu terus mempertahankan rumah tangga, Nora tidak mempunyai sebarang pendapat untuk perkara itu.
“Saya tak tahu, tak berani nak cakap. Saya hanya buat apa yang saya rasa patut. Saya hanya serah kepada mahkamah, apa yang penting, saya hanya buat yang terbaik.
“Saya hanya minta doa dan cuba usaha, tapi tak jalan juga. Jadi, perlu ada mahkamah menilai dan jadi ‘pengadil’,” katanya.
Nora berkata, buat masa ini, beliau hanya berserah kerana sudah melakukan apa yang sepatutnya mengikut undang-undang.
“Saya ikut prosedur, undang-undang dan kita ikut sahaja apa yang dilalui ini. Saya tak boleh terlalu emosi atau berlebihan.
“Sebagai manusia, saya dan suami sudah cuba sedaya upaya, tapi tak jumpa jalan penyelesaian.
“Maka, selepas itu kami datang ke mahkamah dan serahkan kepada mahkamah untuk menilai secara baik dan lebih beretika,” katanya.
Pada proses lantikan JKP, pada pagi 4 Jun, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan tarikh 6 Ogos depan untuk pembentangan laporan bagi kedua-dua pihak.
Nora ditemani peguam syarie, Cik Siti Zulaika, yang melantik kakak angkatnya, Cik Rafeah Ariffin sebagai wakil JKP.
Dr Rushdi pula melantik rakannya, Encik Syamsul Omar, sebagai wakil bagaimanapun tidak dapat hadir untuk lantikan JKP kerana terbabit dengan seminar akademik antarabangsa di Brunei selama lima hari, bermula 3 Jun.
Pada 12 Ogos 2024, krisis rumah tangga Nora dan Rushdi menjadi topik hangat dalam laman sembang.
Perkongsian Nora dalam Instagram (IG) pada ketika itu yang memaparkan video Dr Rushdi melafazkan cerai terhadapnya, mengejutkan pelbagai pihak.
Rentetan itu, pelbagai dakwaan dilemparkan sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu.
Terdahulu, pada akhir 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Sebelum ini, Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi, pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun, akibat serangan jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg