Babak memakan nanas dalam filem ringkas, Buah, menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakan pelakon dan penulis tempatan, Tysha Khan.

Manakan tidak?

Tysha, 33 tahun, yang menghidap ekzema pada wajah, berdepan reaksi kulit sehingga mukanya kemerahan dan terasa pedih, memaksanya menekap wajah di bawah aliran air bagi meredakan reaksi itu.

Itulah antara perkara menarik yang dikongsi Tysha kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom, mengenai lakonannya dalam filem ringkas, Buah, arahan pengarah setempat, Jen Nee Lim, 40-an tahun.

Lakonan cemerlang Tysha dalam Buah turut diiktiraf apabila beliau meraih anugerah Pelakon Terbaik dalam kategori Pertandingan Filem Ringkas Asia Tenggara di Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) yang ke-36.

Karya berkenaan turut telah mengembara ke 18 pesta filem antarabangsa merentasi Asia, Eropah, Amerika Utara dan Afrika, termasuk Pesta Filem Sundance yang berpengaruh, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem ringkas Singapura yang paling mendapat perhatian di pentas dunia.

“Babak itu memang hanya boleh dirakam sekali sahaja.

“Semua orang di set sudah tahu selepas (babak) itu, muka saya akan mula merah kerana ekzema (radang kulit).

“Jadi memang tiada peluang untuk buat penggambaran semula.

“Sepatutnya, kami rakam babak itu pada penghujung hari.

“Tetapi disebabkan hujan, jadual berubah dan kami terpaksa melakukannya pada waktu tengah hari.

“Selepas itu, pasukan penerbitan memang memberi saya masa yang agak lama untuk pulih sebelum menyambung babak lain.

“Mereka sangat memahami keadaan saya. Sebaik sahaja selesai babak itu, mereka terus tunggu sehingga keadaan wajah saya kembali pulih.

“Bila saya tengok hasil akhir filem itu, saya lega kerana kesan kemerahan langsung tidak kelihatan,” kata Tysha.

Filem ringkas, Buah, mengisahkan Siti, lakonan Tysha, yang nekad menamatkan kehamilan, namun berdepan pelbagai cabaran kerana hidup dalam masyarakat yang ‘mengharamkan’ pengguguran kandungan.

Perjalanan hidupnya berubah apabila dia bertemu seorang pemandu bas misteri, lakonan Hana Nadira, yang membantunya mencari jalan untuk menamatkan kehamilan tersebut.

Mengulas tema filem yang menyentuh isu pengguguran kandungan, Tysha menyedari ia masih dianggap sebagai topik sensitif dan tabu, khususnya dalam kalangan wanita serta masyarakat.

Bagaimanapun, beliau melihat Buah bukan bertujuan menghakimi sesuatu pilihan, sebaliknya mengajak penonton memahami pergolakan emosi yang dialami wataknya, Siti, di sebalik keputusan yang ingin diambil.

“Teras watak Siti sangat jelas, iaitu dia tidak mahu menjadi seorang ibu.

“Itulah yang menjadi pendorong kepada setiap tindakan dan emosi yang dipaparkan sepanjang filem ini.

“Sebagai pelakon, tugas saya bukan untuk menghakimi sama ada keputusan itu betul atau salah.

“Apa sahaja yang Tysha fikir tidak sepatutnya mempengaruhi apa yang Siti rasa.

“Apa yang penting ialah saya menyampaikan kebenaran dan emosi watak itu dengan jujur,” katanya.

Selain membawakan watak utama dalam Buah, Tysha turut bertanggungjawab menterjemahkan keseluruhan skrip filem itu ke dalam bahasa Melayu.

Naskhah asal ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris oleh pengarahnya, Lim.

Di sebalik kesibukan sebagai pelakon, Tysha pernah menyumbang kepada pemeliharaan warisan Melayu menerusi peranannya sebagai pembantu kurator sementara (selama setahun setengah), di Taman Warisan Melayu.

Selaku pembantu kurator sementara di Taman Warisan Melayu, Tysha Khan, turut terlibat dalam usaha memperbaharui tempat itu, termasuk menyumbang kepada pembangunan beberapa pameran tetap yang kini dipamerkan kepada masyarakat.
Selaku pembantu kurator sementara di Taman Warisan Melayu, Tysha Khan, turut terlibat dalam usaha memperbaharui tempat itu, termasuk menyumbang kepada pembangunan beberapa pameran tetap yang kini dipamerkan kepada masyarakat. - Foto ihsan TYSHA KHAN

Beliau turut terlibat dalam usaha memperbaharui tempat itu, termasuk menyumbang kepada pembangunan beberapa pameran tetap yang kini dipamerkan kepada masyarakat.

“Antara hasil kerja saya ialah sebuah peta yang memaparkan bahasa dan tulisan yang digunakan di Nusantara.

“Saya menjalankan kajian itu, termasuk menentukan kandungan yang dimuatkan dalam peta tersebut.

“Ada juga satu paparan interaktif yang membolehkan pengunjung menulis nama mereka menggunakan pelbagai jenis tulisan sebelum mencetaknya sebagai cenderamata.

“Keseluruhan bahagian itu merupakan hasil kerja yang saya usahakan,” kongsi lulusan Institut Teater Berbilang Budaya itu.

Menyentuh penampilannya yang gemar bereksperimen dengan pelbagai gaya rambut, Tysha tidak menyangka potongan ‘mullet’ (pendek di bahagian depan dan sisi, atau dipotong berlapis) yang dibuat atas kehendaknya sendiri, akhirnya mengubah perjalanan wataknya dalam telefilem sempena Aidiladha, Dua Hari Ke Korban, terbitan The Moving Visuals Co.

Dalam telefilem yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 27 Mei lalu itu, Tysha membawa watak Sarah, seorang wanita yang ceria.

“Ketika saya potong rambut, saya langsung tidak tahu akan ada sambungan untuk telefilem itu.

“Saya memang suka mencuba gaya rambut yang berbeza.

“Bila dimaklumkan mengenai sambungan telefilem itu, saya terus beritahu pengarahnya, M Mahfuz, yang rambut saya sudah pendek.

“Pada asalnya, watak saya sepatutnya masih berambut panjang, tetapi mereka memilih untuk mengubah jalan cerita supaya sesuai dengan penampilan baharu saya.

“Jadi, mereka cipta satu babak yang menyebabkan rambut Sarah menjadi pendek, dan selepas itu dia perlu memakai rambut palsu panjang.

“Saya memang tidak sangka perubahan kecil pada penampilan saya, akhirnya memberi ilham kepada perkembangan jalan cerita telefilem itu,” kata Tysha.

Sebagai pelakon, tugas saya bukan untuk menghakimi sama ada keputusan (menggugurkan kandungan) itu betul atau salah. Apa sahaja yang Tysha fikir tidak sepatutnya mempengaruhi apa yang Siti rasa. Apa yang penting ialah saya menyampaikan kebenaran dan emosi watak itu dengan jujur.
Tysha Khan, pelakon filem ringkas, ‘Buah’.