Topik diikuti
Pergi ke BHkuKiat How: Rangka kerja klasifikasi filem guna dialek sedang disemak semula
Kiat How: Rangka kerja klasifikasi filem guna dialek sedang disemak semula
Kiat How: Rangka kerja klasifikasi filem guna dialek sedang disemak semula
Pihak berkuasa sedang menyemak semula rangka kerja klasifikasi filem sedia ada berhubung penggunaan bahasa dialek dalam filem, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, pada 7 Julai.
Pelaksanaan garis panduan sedia ada telah berkembang selaras dengan perubahan landskap bahasa, kata Encik Tan di Parlimen, sambil mengambil contoh kelonggaran yang diberikan bagi tayangan filem dialek Teochew berjudul Dear You.
Encik Tan menyatakan bahawa masih wujud ruang untuk pemerintah mempertimbangkan peluasan skop penggunaan bahasa dialek, dan pada masa sama terus mempertahankan kepentingan bahasa Mandarin.
Pemerintah akan mengambil kira kepelbagaian platform media dalam melaksanakan langkah itu, jelas Encik Tan sebagai jawapan kepada beberapa Anggota Parlimen (AP) yang menggesa supaya garis panduan penggunaan bahasa dalam media disemak semula, khususnya melibatkan penggunaan dialek.
Sebelum ini, keputusan awal Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk mengehadkan tayangan filem Cina, Dear You – yang sebahagian besarnya mengandungi pertuturan dalam dialek Teochew – mencetuskan perbincangan hangat dalam talian mengenai Kempen Bertutur Bahasa Mandarin.
Kempen berkenaan yang dilancarkan pada 1979 bertujuan menggalakkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama bagi masyarakat Cina di Singapura, berbanding dialek.
“Kami sedar bahawa keadaan telah berubah sejak garis panduan ini mula diperkenalkan,” kata Encik Tan.
Beliau menyatakan bahawa tiada sekatan dikenakan bagi penggunaan dialek dalam persembahan kesenian atau kandungan yang tersedia di Internet serta perkhidmatan penstriman dalam talian.
“Namun, bagi siaran televisyen dan radio percuma (free-to-air), kami percaya bahasa Mandarin harus terus dikekalkan,” katanya.
“Bagi panggung wayang pula, kami bersedia membenarkan lebih banyak tayangan filem dalam bahasa dialek, supaya penonton mendapat akses lebih luas kepada kandungan sedemikian.”
Beliau menambah, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan mempertimbangkan dengan teliti langkah selanjutnya yang bersesuaian.
AP daripada parti pemerintah dan pembangkang telah mengemukakan 10 soalan berhubung isu berkenaan.
Ini termasuk sama ada pemerintah akan menyemak semula pelaksanaan berterusan Kempen Bertutur Bahasa Mandarin terhadap filem dialek yang ditayangkan di Singapura, selain penilaiannya terhadap keberkesanan kempen itu.
Sebelum ini, IMDA pada 16 Jun berkata filem Dear You versi alih suara bahasa Mandarin akan ditayangkan bagi tayangan umum di Singapura.
Namun, filem indie versi dialek Teochew itu tetap akan ditayangkan pada majlis tayangan perdana serta sedia bagi tayangan festival dan pasaran khusus yang lain.
Menurut IMDA, pendekatan tersebut diambil bagi terus menyokong dasar dwibahasa yang bertujuan menggalakkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama dalam kalangan masyarakat Cina di Singapura.
