Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Uqasha minta maaf kerana tidak tahan emosi marah, sedih bila ‘humban’ segala rasa dalam IG

Oct 26, 2025 | 7:48 PM
Pelakon Uqasha Senrose tampil memohon maaf atas keterlanjuran dirinya memuat naik hantaran di media sosial baru-baru ini yang didakwa menyentuh sensitiviti pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri.
Pelakon Uqasha Senrose tampil memohon maaf atas keterlanjuran dirinya memuat naik hantaran di media sosial baru-baru ini yang didakwa menyentuh sensitiviti pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrose tampil memohon maaf atas keterlanjuran dirinya memuat naik hantaran di media sosial baru-baru ini yang didakwa menyentuh sensitiviti pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri.

Dalam satu entri berbentuk video di Instagram (IG), Uqasha, atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33 tahun, mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap perkongsian yang dibuat tanpa berfikir panjang.

“Saya mahu minta maaf kepada semua yang sudah menonton video, gambar atau kapsyen saya sebelum ini yang mengundang kemarahan atau keaiban sesiapa pun. Saya tiada niat langsung untuk menyakiti sesiapa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Menerusi video berkenaan, Uqasha turut ditemani ibunya, Cik Rosmizai Mohd Noor, serta seorang individu dikenali sebagai ‘Cerai Coach’, yang menjelaskan tindakannya itu dilakukan ketika dirinya sedang beremosi dan tidak rasional.

“Saya tak patut bercakap mengenai perkahwinan secara umum. Saya akui itu kesilapan saya sendiri. Ketika itu saya marah, sedih dan terlalu penat, lalu saya bertindak secara penuh emosi. Tapi semua itu bukan alasan, saya tetap minta maaf,” katanya lagi.

Uqasha berkata, beliau menyesali perbuatan itu dan sedar seharusnya menguruskan isu rumah tangga secara lebih matang dan tertutup.

“Saya patut uruskan perkara ini dengan tenang dan secara privasi. Apa yang terjadi memang kesilapan saya sendiri.

“Sekarang saya mahu fokus kepada diri sendiri, memperbaiki kelemahan, menjadi wanita yang kuat dan ibu yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Uqasha mencetus perhatian selepas memuat naik hantaran di Instagram mendakwa dirinya “diperbodohkan” suaminya, yang juga pelakon Kamal Adli, serta keluarga aktor berkenaan, berhubung tarikh pernikahan mereka.

Dalam hantaran itu, Uqasha mendakwa mereka dinikahkan pada 5 November 2021 pada 9 pagi, namun tarikh pada sijil pernikahan menunjukkan 4 November 2021 pada 9.30 malam.

Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran berkenaan kini telah dipadamkan daripada akaun Instagram miliknya.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pula mengesahkan status pernikahan Uqasha dan Kamal adalah mengikut syarak.

JAIP memaklumkan berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Kamal dan Uqasha dinikahkan pada 4 November 2021, iaitu pada 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.

“Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg