Ketika berdepan kemelut rumah tangga, pelakon Uqasha Sensore mendakwa beliau sudah memberi peluang kepada suami iaitu pelakon Kamal Adli memperbaiki hubungan mereka.
Bagaimanapun Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33 tahun, berkata peluang tersebut seakan-akan dipersiakan sehingga beliau membuat keputusan nekad bercerai.
“Saya cuba sedaya upaya. Malah saya sudah berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk bantu saya perbaiki dan pertahankan perkahwinan kami.
“Tetapi, tiada perubahan langsung oleh Kamal. Saya masih ada ibu bapa, adik beradik dan perlu beritahu keluarga apa yang terjadi dalam rumah tangga saya,” katanya kepada akhbar mStar.
Uqasha ditemui selepas prosiding tuntutan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah pelakon ini, keputusan untuk berpisah kerana enggan lagi terbeban dengan masalah yang berlaku dalam rumah tangga.
Malah beliau juga sekali lagi memberi bayangan seolah-olah perkahwinan tersebut sudah lama tidak bahagia.
“Saya dan anak nak selamatkan diri daripada kemudaratan.
“Setelah dipersiakan, saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk saya dan anak keluar dari kemelut yang memudaratkan mental dan fizikal saya serta anak. Jadi saya nekad untuk berpisah,” tegasnya.
Dalam prosiding yang berlangsung, Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali menetapkan tarikh 18 Disember depan sebagai tarikh pembentangan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Ugaira, yang kini berusia 19 bulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg