Pelakon dan penyanyi Malaysia, Ayie Elham atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 28 tahun, mengakui bukan mudah untuk menerima tawaran membintangi filem, Duyung: Legenda Aurora.
Ini kerana reputasi besar yang pernah dicetuskan naskhah asal yang ditayangkan pada 2008 iaitu Duyung, dan dibarisi pelakon seperti Saiful Apek, Maya Karin, Yasmin Hani, Yassin Yahya, Awie dan Hafidzuddin Fazil.
Duyung: Legenda Aurora ialah sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008.
Ia tampil dengan penceritaan baru, pendekatan lebih moden serta visual lebih segar.
Filem komedi fantasi terbitan KRU Studios dan 8 Bit Studio itu, dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, dijadualkan menemui penonton di pawagam di Malaysia, bermula 25 Disember.
Selain mengekalkan pelakon asal yang terdiri daripada Maya, Saiful, Yasmin dan Yassin, filem ini turut dibintangi barisan pelakon baru termasuk Ayie dan Anna Jobling.
Filem tersebut turut menampilkan penampilan istimewa seperti Datuk Yusry Abdul Halim dan kumpulan Zero yang dianggotai Syaiful, Sharif dan Atu.
Ayie yang juga vokalis kumpulan Floor 88 berkata, perasaan ragu-ragu menyelubungi dirinya pada peringkat awal kerana menyedari kekuatan jenama serta kedudukan filem Duyung dalam sejarah industri perfileman tempatan.
Bagaimanapun, selepas pertimbangan panjang serta dorongan kuat daripada isterinya, Ayie akhirnya bersetuju menerima tawaran untuk menerajui filem berkenaan dengan membawa watak Dash.
“Pada awalnya, perasaan saya memang 50-50. Orang yang paling kuat mendorong saya menerima tawaran ini ialah isteri saya.
“Saya berterus terang dengan dia yang saya takut untuk terima (tawaran ini) kerana kita semua tahu filem Duyung yang pertama adalah satu nama besar dalam industri,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Ayie akur kebimbangan itu bertambah apabila ditawarkan sebagai watak utama yang juga kekasih kepada watak duyung, Aurora, lakonan Anna, 25 tahun.
“Apabila ditawarkan sebagai watak utama sekuel ini, saya jadi lebih risau. Terlintas di fikiran, mungkin lebih baik saya kekal menyanyi sahaja.
“Tambahan lagi, saya tahu pelakon asal seperti Maya Karin dan Saiful Apek turut kembali, rasa bimbang itu semakin bertambah,” cerita bapa kepada dua orang anak perempuan itu.
Menurut Ayie, isterinya iaitu, Nur Natasha Ahmad Nawawi, 26 tahun, menasihati agar dirinya melihat tawaran itu sebagai peluang besar dalam kerjaya lakonan.
“Isteri saya beritahu supaya terima dahulu kerana ini peluang besar. Kalau ditolak, mungkin selepas ini tiada lagi tawaran naskhah sebesar ini.
“Atas sebab itu, saya akhirnya bersetuju,” ujar Ayie.
Ayie turut mendedahkan pemilihannya dibuat berdasarkan kesesuaian serta penampilan wajah yang menepati keperluan watak.
“Pengarah, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen beritahu saya dipilih kerana memiliki wajah Pan-Asian.
“Beliau juga menjelaskan gabungan lakonan Saiful Apek dan Yasmin Hani membentuk identiti watak Dash, dan itulah sebab saya dipilih,” kongsi penyanyi kelahiran Tawau, Sabah, Malaysia itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg