Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fikah Zainal kembang bakat jadi hos rancangan hiburan

Program hiburan ‘Singapura LIVE! 4.0’ beri ruang pempengaruh media sosial asah kemahiran pengacaraan
Dec 19, 2025 | 5:30 AM
fikah zainal, singapura live 4.0
Personaliti popular dan pempengaruh, Fikah Zainal, berhasil mengotakan impian untuk mengendalikan rancangan hiburan, ‘Singapura LIVE! 4.0’ selaku hos. - Foto MEDIACORP

Sudah menjadi impian sejak kecil bagi personaliti popular sekali gus pempengaruh, Fikah Zainal atau nama sebenarnya, Siti Nur Syafiqah Zainal Abidin, 24 tahun, untuk mendalami bidang pengacaraan.

Impian tersebut akhirnya berhasil dikotakan apabila lulusan dalam Diploma Komunikasi Massa dari Politeknik Republic (RP) itu diberi peluang menjadi hos bagi segmen permaidani merah, Pesta Perdana Glam, pada acara penuh gilang-gemilang yang meraikan bakat tanah air dan rantau ini iaitu, Pesta Perdana 2025.

Acara berkenaan turut menjadi detik bersejarah dalam perjalanan kerjaya Fikah, yang merupakan bakat serta penerbit video di bawah naungan penghasil kandungan media sosial tempatan, The Smart Local – menandakan penampilan sulungnya sebagai pengacara bagi sebuah acara berprestij.

“Awalnya, saya tidak sangka mendapat peluang untuk menjadi hos bagi acara karpet merah di Pesta Perdana, sekitar Mei lalu.

“Pengalaman itu menjadi satu pembelajaran berharga yang membuka mata saya terhadap selok-belok mengendalikan acara siaran langsung.

“Walaupun acara tersebut hanya berlangsung selama satu jam dan hampir sama dengan apa yang pernah saya lakukan sebelum ini, saya memperoleh ilmu baru khususnya berkaitan kemahiran teknikal, sudut pandangan kamera serta cara mengendalikan wawancara bersama artis secara langsung,” kata Fikah, ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini.

Acara yang mewarnai persada seni dan hiburan di Singapura itu telah berlangsung pada 24 Mei, di Kampus Mediacorp.

Selain Fikah, segmen karpet merah tersebut turut dikendalikan oleh penyampai radio Mediacorp Ria 897, Azura Goh dan Fadli Kamsani, serta pempengaruh dan personaliti terkenal, Zhin Sadali.

Tidak hanya itu, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu melakar satu lagi pencapaian apabila diberi kepercayaan mengendalikan rancangan hiburan, Singapura LIVE! 4.0, yang menamatkan siaran pada 9 Disember di Mediacorp Suria.

Beliau digandingkan bersama dua hos lain iaitu Hans Hamid dan Ezam Ernady.

Bagi Fikah, pengalaman mengacarakan acara siaran langsung dan program televisyen menuntut cabaran yang berbeza, lantas menjadi proses pembelajaran yang mematangkan dirinya sebagai anak muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

“Menjadi hos bagi program Singapura LIVE! 4.0, menuntut saya untuk menonjolkan personaliti peribadi, dan ada kalanya ia sukar untuk dilakukan.

“Ini kerana saya kerap memerhatikan hos berpengalaman dan cara mereka mengendalikan program televisyen.

“Saya beranggapan pengacara perlu mengekalkan profesionalisme, tetapi saya sedar ia turut bergantung kepada kehendak dan suasana acara itu.

“Berbanding dengan acara siaran langsung yang memerlukan hos lebih spontan dan peka terhadap keadaan sekeliling, hos program televisyen pula perlu menumpukan perhatian pada fakta yang ingin disampaikan kepada penonton, menjadikan cabaran dan tekanan yang dialami berbeza.

“Bagaimanapun, saya menikmati proses menjadi hos bagi rancangan hiburan televisyen kerana ia sudah lama menjadi impian saya, dan segala pengalaman yang diraih disambut dengan penuh keterbukaan,” ujarnya yang mengidolakan personaliti televisyen serba boleh, Fauzie Laily.

Fikah akur minat dalam bidang media telah dipupuk sejak kecil, selari dengan kerjaya kedua ibu bapanya yang juga aktif dalam industri yang sama.

“Semasa kecil, ibu bapa saya telah aktif dalam bidang media. 

“Peranan mereka bukan sebagai pelakon, sebaliknya lebih tertumpu kepada aspek belakang tabir seperti pengurusan artis.

“Ini termasuk mengendalikan sesi uji bakat dan membawa artis luar negara ke Singapura.

“Dari situlah minat saya dalam bidang ini mula berkembang. 

“Saya juga pernah mencuba lakonan, dan minat itu membawa saya menyertai kelab drama di sekolah menengah, menjadikan pengalaman ini sebahagian daripada perjalanan awal saya,” ujarnya yang tampil sebagai peserta dalam rancangan realiti terbitan syarikat Oonik, Berani Lakon!.

Rancangan hiburan, Berani Lakon! kini ditayangkan setiap Selasa, bermula 8.30 malam di Mediacorp Suria.

Sementara itu, Fikah, yang mempunyai dua abang berusia 29 dan 30 tahun, turut membintangi drama bersiri pendek berbahasa Inggeris serta bertemakan polis dan jenayah, Honour and Unity, yang disiarkan di laman TikTok Mediacorp.

Pada 20 Disember, beliau bakal menjadi salah seorang pengacara bagi gabungan acara luar studio iaitu, Singapura LIVE! 4.0 & Singa Maksima x Locals Only!, di Teater Luar DBS Foundation di Esplanade.

Acara percuma itu menampilkan barisan penyanyi termasuk Jatt Ali, Rahila Rashun, Fauzie Laily, Thaqif, Heema Izzati, Putri Emily dan kugiran The Pinholes. 

Sementara itu, episod Singapura LIVE! 4.0 kini boleh ditonton melalui aplikasi mewatch.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg