Topik diikuti
Pergi ke BHkuWali Band getar jiwa 14,000 penonton di JB dengan lagu ketuhanan tusuk kalbu
Konsert turut disulam doa serta mesej dakwah, bukti legasi lebih 25 tahun dalam industri muzik masih utuh
Wali Band getar jiwa 14,000 penonton di JB dengan lagu ketuhanan tusuk kalbu
JOHOR BAHRU: Sorakan gempita 14,000 penonton bergema di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 3 Oktober, apabila Wali Band muncul menjayakan konsert Wali Live In JB yang berlangsung dengan meriah dan penuh emosi.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures itu membuktikan dominasi jenama Wali Band yang masih utuh bertapak dalam industri muzik Nusantara selepas lebih 25 tahun berkarya.
Vokalis Wali Band, Faank atau nama sebenarnya, Farhan Zainal Muttaqin, berjaya membuai emosi peminat apabila sesekali menyulam doa serta mesej dakwah dan kemanusiaan, tatkala menyampaikan lagu-lagu ketuhanan dengan penuh penghayatan.
Kumpulan popular Indonesia itu yang turut dianggotai Apoy (gitaris), Tomi (dram) dan Ovie (papan nada), berjaya memukau peminat sebaik sahaja tirai persembahan dibuka sekitar 9 malam.
Segmen pertama konsert dibuka dengan penuh bertenaga menerusi rangkaian lagu popular mereka iaitu Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Kekasih Halal serta lagu berentak rancak, Nenekku Pahlawanku.
Suasana pentas kemudian bertukar gamat apabila Apoy menunjukkan taring beraksi ‘menggoreng’ gitar secara solo, sebelum Wali Band menyambung persembahan dengan lagu Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah di Balik Batu.
Konsert kemudian diteruskan dengan segmen akustik yang menjadi antara detik paling menyentuh hati sepanjang malam konsert berlangsung.
Penjiwaan Faank jelas diuji apabila beliau hanyut dalam emosi dan beberapa kali dilihat menyeka air mata tatkala menyampaikan bait-bait lirik berunsur ketuhanan dan kasih sayang.
Tiga lagu disampaikan secara akustik iaitu Doaku Untukmu Sayang, Baik Baik Sayang dan Harga Diriku berjaya menyentuh perasaan sebahagian besar peminat yang hadir.
Mewujudkan suasana yang lebih berkat, Faank turut memimpin bacaan doa bersama penonton sebelum menyampaikan lagu ketuhanan popular mereka, Tobat Maksiat.
Lagu Yank yang juga antara lagu popular Wali Band, terus merancakkan suasana konsert apabila menampilkan semula penyanyi, Najwa Latif, menerusi nyanyian duet istimewa.
Najwa atau mesra dipanggil Wawa hadir selaku penyanyi jemputan dan telah mendendangkan tujuh lagu hitnya sebelum Wali Band muncul di pentas utama.
Najwa berjaya memanaskan pentas dengan beberapa lagu nostalgia yang menggamit memori seperti AdaMu, Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong, Sahabat, Untuk Dia dan semestinya lagu yang menaikkan namanya iaitu Cinta Muka Buku.
Selepas dua jam persembahan yang mantap, tirai konsert gilang-gemilang itu dilabuhkan dengan lagu fenomena, Cari Jodoh.
Rata-rata peminat Wali Band meninggalkan tapak konsert dengan membawa bersama 1,001 kenangan manis serta kepuasan maksimum.