Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shaheizy Sam naik berat badan 30 kg, belajar bahasa isyarat demi filem ‘Badak’

Pengalaman dewasa tanpa ayah jadi luahan rasa dalam lakonan
Oct 26, 2025 | 5:30 AM
Shaheizy Sam, Badak, Gold Class, Golden Village
Pelakon prolifik, Shaheizy Sam, akur merasakan pengalaman serupa dengan watak Badak dalam filem ‘Badak’ terbitan Papahan Films, yang dibesarkan tanpa kehadiran seorang ayah di sisi. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Dibesarkan tanpa belaian seorang ayah, pelakon prolifik, Shaheizy Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 43 tahun, menemukan sendiri makna kasih dan tanggungjawab bapa.

Dari pengalaman itu, lahirlah tekad dalam dirinya untuk menjadi bapa yang sentiasa hadir dalam kehidupan anak-anaknya, membesarkan mereka bagai menatang minyak yang penuh, sekali gus dengan kesabaran serta hikmah yang kelak menjadi pedoman hidup.

Hasil perkahwinan beliau dengan pelakon dan usahawan kecantikan, Syatilla Melvin, 34 tahun, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Syeriv Samheizy, lapan tahun; Sarima Samheizy, enam tahun, dan Salama Samheizy, tiga tahun.

“Bapa saya meninggal dunia ketika saya berumur 12 tahun.

“Arwah bapa saya dulu seorang pegawai polis. Sekitar 6.30 pagi, sudah berangkat kerja. Apabila kami sudah tidur, barulah beliau pulang.

“Jadi, boleh dikatakan saya jarang merasai kehadiran seorang ayah di rumah.

“Maka, saya harus pastikan anak-anak saya membesar dengan penuh kasih sayang, dan tanamkan kata-kata hikmat yang akan mereka kenang sampai bila-bila,” kata Shaheizy yang ditemui Berita Minggu (BM) di ruang istirahat Gold Class di pawagam Golden Village, Suntec City, baru-baru ini.

Beliau berada di Singapura bagi mempromosikan filem terbarunya, Badak, terbitan Papahan Films, di samping pelakon utama lain, Aida Amron, Wan Hanafi Su dan Kahoe Hon.

Lantas itu, Shaheizy akur dapat memahami watak yang dilakonkannya iaitu Badak, seorang bapa yang pekak dan bisu, yang turut bergelut dengan peranan kebapaan akibat kekosongan figura ayah dalam hidupnya.

Namun, lebih penting lagi, apa yang membuatkan Shaheizy tertarik untuk membintangi filem terbitan Singapura buat kali kedua, selepas kejayaan filem La Luna pada 2023?

“Pertama, kerana kepercayaan. Apabila seorang pelakon itu sudah berpengalaman dalam bidang lakonan, dia tahu skrip tidak 100 peratus menjamin mutu filem yang baik.

“Ia lebih kepada kepercayaan pada pengarah, yang dianggap sebagai ‘nakhoda’ dalam sebuah penerbitan karya, baik drama mahupun filem.

“Seorang pengarah yang handal mampu menyatukan semua elemen dalam sesebuah penerbitan seperti skrip, penggambaran, lakonan dan pasukan kreatif kerana itu merupakan tanggungjawab utamanya.

“Kali pertama saya bekerjasama dengan pengarah, M Raihan Halim, dan juga Papahan Films adalah melalui filem La Luna.

“Apa yang menjadikan filem itu kegemaran saya adalah kerana rentak, pengarahan dan penceritaannya yang sangat dekat dengan cita rasa saya.

“Oleh itu, apabila terbuka peluang untuk terlibat dalam filem terbitan Papahan Films seterusnya, tiada alasan untuk saya berkata tidak,” katanya lagi.

Anak pelakon veteran, Kathy Fauziah itu, menerima tawaran lakonan dalam filem Badak kerana menganggap ia suatu peluang keemasan yang langka atau jarang-jarang berlaku.

“Bila disebut tentang watak Badak, saya rasa mustahil untuk diberi peluang melakonkan watak seorang ayah yang pekak dan bisu, sekali gus membesarkan anak perempuannya seorang diri, dalam mana-mana penerbitan.

“Ia perkara yang tak ramai orang fikir nak buat. Di sinilah saya lihat cabaran sebenar-benarnya.

“Peluang sebegini sangat jarang. Kalau saya tak ambil tawaran ini, saya akan rugi besar,” ujar Shaheizy.

Berpegang pada prinsip lakonan yang baik harus meyakinkan penonton, beliau rela mengorbankan penampilan tubuh sasanya demi menyajikan sesuatu yang belum pernah menjadi tontonan peminatnya.

Watak Badak menuntut Shaheizy melalui perubahan fizikal yang ketara.

Demi menjayakan watak itu, beliau menambah berat badan sebanyak 30 kilogram iaitu daripada 65 kilogram kepada 95 kilogram, dalam tempoh lima bulan.

Berkongsi lanjut, pelakon filem bersiri, Polis Evo itu, mengikuti rutin ketat dengan makan empat kali sehari.

Selepas merakam babak masa kini, penggambaran Badak ditangguhkan selama enam bulan, demi memberi ruang pada Shaheizy menurunkan berat badan bagi menjayakan babak yang menunjukkan zaman muda Badak.

Beliau menurunkan berat badan melalui kaedah ‘Omad’ (One Meal A Day) atau rutin makan sehari sekali.

Shaheizy tidak merujuk kepada pakar pemakanan dalam proses menaikkan serta menurunkan berat badan.

Shaheizy Sam menaikkan berat badan sebanyak 30 kilogram demi menampilkan kelainan pada watak Badak, sekali gus membezakan lakonannya dalam filem lain.
Shaheizy Sam menaikkan berat badan sebanyak 30 kilogram demi menampilkan kelainan pada watak Badak, sekali gus membezakan lakonannya dalam filem lain. - Foto PAPAHAN FILMS

“Dengan persetujuan Raihan, saya mengambil keputusan menaikkan berat badan agar penonton dapat melupakan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Saya tidak mahu orang mengaitkan penampilan saya dalam Badak seperti Inspektor Khai dalam Polis Evo, atau Adnan dalam filem bersiri, Adnan Sempit.

“Sebelum melakukan sesuatu, kita harus tahu langkah yang perlu diambil untuk menaikkan atau menurunkan berat badan.

“Pendek kata, kita perlu kenal dan kaji keperluan tubuh badan sendiri. Apabila sudah ada ilmu itu, barulah kita tahu perkara ini sebenarnya senang dilakukan.

“Selain itu, kita perlu ada disiplin dan konsisten dalam rutin yang dilakukan.

“Saya tidak ada pakar pemakanan. Saya melakukan kajian secara sendiri menggunakan sumber yang tersedia di laman media sosial dan Internet,” jelas Shaheizy.

Tak hanya itu, beliau turut mempelajari bahasa isyarat bagi menghidupkan watak Badak.

Setelah mengubah penampilan fizikal, Shaheizy berkongsi cabaran memperhalusi lakonan melalui mimik wajah bagi meyakinkan penonton Badak seorang yang pekak dan bisu, sebagai lapisan kedua dalam lakonannya.

Menyentuh pula mengenai pengalaman berlakon dengan bakat muda baru, Aida, yang juga adik kepada pelakon, Nadiya Nisaa, Shaheizy berkata beliau selesa bekerjasama dengannya.

Aida membawa watak Mira, anak gadis Badak yang menjadi jambatan komunikasinya dengan dunia luar.

Tanpa disedari ramai, Mira sebenarnya mempunyai bakat terpendam dalam nyanyian rap.

“Alhamdulillah, senang (bekerjasama dengan Aida), dan kerana saya juga mengenali kakaknya, saya rasa darah seni itu mengalir kental dalam diri Aida.

“Saya pasti beliau tak ada masalah menyesuaikan diri dalam lakonan.

“Saya hanya berusaha memberikan Aida keselesaan agar beliau tak rasa tersisih apabila berlakon dengan pelakon berpengalaman.

“Ini mungkin lahir daripada pandangan saya sendiri ketika membayangkan diri berada di tempatnya sebagai pelakon baru,” kata Shaheizy.

Antara penonton dan penyokong yang hadir semasa tayangan eksklusif filem ‘Badak’ di pawagam Golden Village di Suntec City pada 17 Oktober.
Antara penonton dan penyokong yang hadir semasa tayangan eksklusif filem ‘Badak’ di pawagam Golden Village di Suntec City pada 17 Oktober. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Badak kini boleh ditonton di Singapura. Ia hanya ditayangkan di beberapa pawagam Golden Village iaitu, GV Vivocity, GV Plaza, GV Tampines dan GV Yishun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg