KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Scoin, Wan ditempatkan di wad biasa Hospital Segamat, Johor sejak malam 11 Mei bagi pemantauan lanjut tahap kesihatan untuk tempoh seminggu.

Isterinya, Siti Rafidah, 37 tahun, berkata suaminya perlu menjalani empat kali proses rawatan pencairan darah bagi membolehkan doktor mengenal pasti tahap kesihatan jantungnya dengan lebih terperinci.

“Wan sudah dipindahkan ke wad biasa, tetapi doktor memaklumkan beliau mungkin akan terus ditahan di wad selama seminggu.

“Dalam tempoh itu, beliau perlu menjalani empat kali proses rawatan untuk mencairkan darah kerana doktor mahu melihat keadaan jantungnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Siti Rafidah, Wan sepatutnya perlu menjalani pembedahan, tetapi buat masa ini pihak hospital memberikan ubat pencair darah dalam tempoh empat hari sebagai alternatif awal.

“Kemungkinan akan ada rawatan susulan bagi melihat perkembangan, sama ada masalah saluran darah tersumbat itu membabitkan tiga saluran atau lebih teruk.

“Dari situ baru diputuskan sama ada rawatan boleh diteruskan dengan ubat sahaja atau ada tindakan lain,” katanya.

Katanya, keadaan Wan ketika ini masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan pemerhatian doktor selamat empat hari.

“Sekarang dia masih dalam pantauan doktor. Dalam tempoh empat hari ini, baru kita tahu bagaimana keadaan sebenarnya dan mungkin ada keperluan untuk dirujuk ke hospital lain.

“Saya amat berharap tiada sebarang kesan sampingan berlaku sepanjang tempoh ini dan memohon doa orang ramai agar semuanya dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, Wan dilaporkan rebah di rumahnya selepas mengadu sakit dada dan ditempatkan di zon kuning Hospital Segamat, Johor pada 10 Mei.

Wan pernah popular menerusi kumpulan Scoin dengan lagu Rindu-Rinduan Jadi Kenangan dan Ku Menangis Kehilanganmu pada era 2000-an.