Topic followed successfully
Go to BHkuYantzen imbau peritnya apabila rumah rosak dek banjir
Yantzen imbau peritnya apabila rumah rosak dek banjir
Yantzen imbau peritnya apabila rumah rosak dek banjir
Beliau hanya memerlukan bantuan bagi memperbaiki kerosakan rumah yang agak teruk dan bukan bantuan wang ringgit.
Itu pendirian bekas vokalis kumpulan rok popular Rusty Blade dan May, Yantzen Juniwan, 68 tahun, ketika mengulas masalah yang dilalui selepas rumahnya di Taman Sungai Serai Tambahan, Hulu Langat, Selangor, Malaysia terbabit dengan banjir besar pada 18 Disember 2021.
Yantzen berkata banyak yang perlu dibaiki membabitkan longkang tersumbat, lantai pecah, siling runtuh dan pelbagai masalah lain.
“Saya cuma perlukan bantuan untuk baiki mana yang patut sekiranya ada pihak-pihak yang prihatin dan sudi bantu pulihkan rumah ini.
“Kosnya saya tidak pasti kerana nanti tersalah sebut jadi andaian yang tidak sihat.
“Saya cuba juga baiki sendiri beberapa kerosakan tetapi tiada tenaga untuk lakukannya,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, penyanyi lagu, Tiada Lagi Aku dan Penantian, yang berasal dari Singapura itu memberitahu beliau masih positif untuk membaiki kelengkapan rumahnya seperti sofa, almari dan perabot.
Beliau bagaimanapun, tidak berputus asa tetapi sedih dengan apa yang dilaluinya dan berusaha menjadikan rumahnya sempurna sedikit demi sedikit walaupun terpaksa mengambil masa yang lama.
Rumah terbabit dibina dengan kos sekitar RM130,000 ($41,842) dan siap dalam tempoh tiga bulan oleh kontraktor yang diupah.
Manakala reka bentuknya dihasilkan sendiri oleh Yantzen yang mempunyai minat dalam bidang pertukangan.
Beliau yang mendiami kediaman berkenaan sejak 10 tahun lalu juga menambah rumah yang mempunyai empat bilik dan loteng khas sebagai tempat untuk bertafakur itu dibina khas untuk anak lelakinya, Alif Ronan.
Ia akan diserahkan kepada anak tunggalnya itu apabila tiba waktunya nanti.
Sementara itu, masalah yang dihadapi Yantzen mendapat perhatian Jawatankuasa Zakat di Masjid Al Ehsan Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.
Mereka sudah mengunjunginya dan melihat dari sudut mana boleh menyalurkan bantuan.
