Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wartawan hiburan tersohor M’sia, Nas Ahmad ‘Terjah’, meninggal dunia

Mantan penerbit ‘Melodi’ alami masalah paras oksigen rendah
May 1, 2025 | 1:30 PM
Wartawan hiburan tersohor Malaysia, Nas Ahmad, mengalami masalah kekurangan oksigen, dan meninggal dunia pada pagi 1 Mei.
Wartawan hiburan tersohor Malaysia, Nas Ahmad, mengalami masalah kekurangan oksigen, dan meninggal dunia pada pagi 1 Mei. - Foto INSTAGRAM NAS AHMAD

Bekas penerbit dan wartawan program hiburan Melodi, Nas Ahmad, 65 tahun, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat kekurangan oksigen kira-kira 9.49 pagi, pada 1 Mei.

Menantunya, Farhana Nazlin Mohamad, berkata Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad, 65 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Zon Kecemasan HSB selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 30 April, akibat paras oksigen dalam tubuhnya rendah.

“Arwah kekurangan oksigen. Oksigen dia ‘drop’ semalam dan ambulans bawa ke zon merah. Masa rawatan, arwah banyak bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“’Pagi tadi, kami terima panggilan daripada pihak hospital menyatakan arwah sudah tiada. Sekarang, jenazah masih di bahagian forensik,” kata Farhana kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengenai urusan pengebumian, Farhana berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian memandangkan ada beberapa perkara berkaitan jenazah perlu diselesaikan.

“Urusan kafan, solat dan pengebumian akan dimaklumkan kemudian selepas urusan di hospital selesai,” katanya lagi.

Sebelum ini, Allahyarham pernah mengejutkan industri hiburan apabila fotonya dalam keadaan fizikal kelihatan uzur akibat masalah jantung tular.

Sebelum menyertai program Melodi, Allahyarham yang terkenal dengan gelaran ‘Abang Rambut Ketak’ terlebih dahulu menjadi wartawan sambilan majalah hiburan URTV sekitar era 1980-an.

Ketika bertugas di Melodi, arwah cukup sinonim dengan segmen ‘Terjah’ iaitu segmen memburu golongan artis dan penggiat seni untuk mendapatkan pencerahan mengenai kontroversi yang menimpa mereka.

Selepas meninggalkan TV3, arwah mewujudkan saluran YouTube yang dinamakan ‘Nas Ahmad Terjah’.

Pada April 2024, Allahyarham menerima pengiktirafan sebagai Ikon Melodi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga anak dan dua cucu.

Penerbit program Nona, Dalili Michelle Wee Abdullah, atau Michelle, menyifatkan Allahyarham Nas Ahmad sangat komited dalam menjalankan tugas sebagai wartawan dan penerbit program hiburan nombor satu di Malaysia iaitu Melodi, suatu ketika dahulu.

Menganggapnya sebagai sifu dalam bidang kewartawanan, Michelle memaklumkan, arwah tak kedekut ilmu dan banyak membimbingnya untuk menjadi wartawan berkaliber dan beretika.

“Arwah boleh dianggap sebagai mentor. Arwah banyak mengajar, beri nasihat dan bimbing saya cara sepatutnya menjadi wartawan.

“Kita tahu program Melodi macam mana, bila berlaku perubahan dari segi konsep, saya ikut apa arwah ajar dan nasihat.

“Arwah bukan sahaja beri nasihat soal kerja, malah berkaitan perkara peribadi. Semua ini menjadikan saya sebagai orang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya kepada BHM.

Mula mengenali arwah sejak 2004, Michelle menganggap pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar dalam industri kewartawanan hiburan dan sukar dicari ganti.

“Allahyarham juga seorang sangat kreatif dan jasanya sukar dicari ganti. Selama masih bersama Media Prima Berhad sehinggalah menamatkan perkhidmatannya, kami masih lagi berhubung,

“Beliau pernah mendapat pengiktirafan Anugerah Ikon Melodi, tahun lalu (2024) sempena Melodi Raya atas jasa dan hasil kerja keras program hiburan ini.

“Sejujurnya, terlalu banyak perbuatan baik dilakukan arwah sepanjang hayatnya,” katanya yang masih terkejut menerima perkhabaran duka itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg