Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Sayap’ masih utuh, Wings kekal kuasai pentas S’pura dengan rok malar segar

Identiti kumpulan rok legenda M’sia masih jelas dirasai, walau berganti anggota
Jan 6, 2026 | 4:38 PM
wings, concert, awie, kallang
Kumpulan rok legenda Malaysia, Wings, menyambut ulang tahun ke-40 dengan konsert di Singapura yang diadakan di Stadium Tertutup, Kallang, pada 24 Disember 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Demi kumpulan legenda Malaysia, Wings, peminat setia sanggup mengorbankan malam cuti Krismas demi menyaksikan kumpulan kesayangan mereka beraksi di Stadium Tertutup, Kallang, Singapura, pada 24 Disember 2025.

Setiap kemunculan Wings di pentas berskala besar seakan menyusuri jalan kenangan yang mengusik jiwa, mengimbau luka mahupun impian yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup para peminat.

Meraikan ulang tahun ke-40 Wings, kumpulan itu membuktikan ‘sayap’ tersebut masih utuh.

Mereka membawa penonton mengembara ke masa lalu tatkala detik awal penubuhan kumpulan itu pada 1985 melalui rangkaian sekitar 25 lagu.

Di sebalik pelbagai cerita sebelum pelaksanaan konsert ulang tahun ke-40 Wings, peminat di Singapura memilih untuk berlapang dada dan bersedia dihiburkan oleh Wings, berserta dua anggota baru mereka – Pae sebagai pemain dram, dan Ilham Ishak, selaku pemain bes.

Bagaimanapun, persembahan Pae tidak lagi asing dalam kalangan peminat, memandangkan beliau kerap mengiringi Awie (vokalis Wings) menerusi kumpulan, Dragon Malaya, yang ditubuhkan sejak 2000 oleh Awie sewaktu merakamkan album, Rentap.

Walaupun tiada tema pakaian yang ditetapkan, hadirin tetap menunjukkan semangat jitu dengan mengenakan pakaian berona gelap mahupun putih.

Tepat 8 malam, konsert dimulakan dengan lagu, Sembunyi dan Jerangkung Dalam Almari, dua lagu yang segera membuatkan penonton mula rasakan bahang konsert yang secara perlahan-lahan memuncak.

Rentak rok kemudian kian ‘mengganas’ menerusi dendangan lagu, Inspirasi Taming Sari dan Kota Kemusnahan.

Apabila lagu, Ingatkan Dia, Taman Rashidah Utama dan Bernafas Dalam Lumpur dipersembahkan, penonton seolah-olah larut dalam suasana sambil menyanyikan setiap bait dengan penuh jiwa dan semangat sehingga gema suara menyelimuti setiap sudut stadium.

Lagu-lagu itu membuktikan kekuatan Wings bukan sekadar pada vokal ampuh Awie serta gentelan gitar rancak, malah pada keupayaan mereka menyampaikan pelbagai perasaan seperti kerinduan, kehilangan dan cinta dengan penuh penghayatan.

Awie turut menceriakan suasana dengan menyelitkan jenaka watak Husin daripada filem, Hantu Kak Limah Balik Rumah, sambil melafazkan cogan kata, “Malam ini kita bakor (bakar)!” – sebagai pembakar semangat dan tanda kemuncak kemeriahan malam tersebut.

Meskipun dikatakan mengalami cirit-birit, vokal Awie masih seperti dahulu, bak ‘telan kaset’.

Ditambah pula dengan kehadiran anggota baru, ia justeru tidak sedikit pun menghakis semangat dan identiti Wings dalam persembahan mereka yang berlangsung selama lebih dua jam itu.

Peminat Wings, Cik Dian Syahidah Abdul Aziz, 39 tahun, yang juga merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, turut akur dengan penyataan itu. Beliau berkata:

“Tonggak utama konsert ini sememangnya Awie.

“Dengan kekuatan vokal, karisma dan penguasaan pentas yang mantap, Awie berjaya menghidupkan keseluruhan persembahan.

“Justeru, ketiadaan beberapa anggota asal tidak ‘mencacatkan’ konsert ini kerana roh dan identiti Wings masih jelas dirasai.”

Dalam pada itu, Edrie dan Sham sememangnya dikenali sebagai pemuzik berpengalaman, dengan sentuhan penuh ‘magis’ mereka yang terbukti berkesan.

Petikan solo gitar yang dipersembahkan berjaya menghangatkan pentas, sekali gus mengundang sorakan dan tepukan gemuruh daripada peminat di Stadium Tertutup.

Detik persembahan menjadi lebih manis apabila anak lelaki Awie, Putra Ahmad Merrah, yang kini berusia 18 tahun, turut tampil menyumbangkan vokal sebagai salah seorang penyanyi latar yang mengiringi Wings pada malam yang sarat tenaga itu.

Semangat kebangsaan dan renungan diri turut diraikan melalui, Puisi Merdeka, sebuah karya yang terasa lebih bermakna apabila dinyanyikan secara langsung.

Penonton turut semakin lentok dibuai perasaan apabila dihiburkan dengan lagu irama ‘rok kapak’ seperti, Di Ambang Wati, Di Penjara Janji dan Intan Ku Kesepian.

Suara hadirin yang menyanyi bersama memenuhi stadium itu membuktikan untaian lagu itu kekal relevan dan abadi merentas generasi.

Walaupun beberapa lagu yang dibawakan secara medley sedikit menimbulkan rasa terkilan kerana ingin menikmati setiap lagu dengan lebih dalam, saya memahami ia dilakukan kerana kekangan masa.

Unsur misteri pula dibangkitkan melalui lagu ‘wajib dinyanyikan’ termasuk, Misteri Mimpi Syakilla dan Sejati, sebelum Wings kembali menyalurkan tenaga dan pesanan moral menerusi, Hukum Karma.

Alangkah lebih baik sekiranya lirik bagi lagu yang dipersembahkan ditayangkan di layar gergasi agar penonton dapat sama-sama menghayati persembahan dengan lebih mendalam sambil menyanyikan rentetan lagu Wings penuh nostalgia bersama kumpulan kesayangan ramai itu.

Penutup konsert dengan Harapan dan Biarkan Berlalu, terasa seperti satu kesimpulan.

Ia tentang pendekatan matang dalam menerima masa lalu, berusaha berdamai dengan takdir dan terus melangkah ke hadapan.

Ia juga ibarat menyingkap langkah Wings seterusnya dalam mengharungi dunia seni penuh liku dengan sisa waktu yang ada.

Saya yakin peminat setia Wings di Singapura menikmati sepenuhnya malam tersebut dan akan terus menantikan kemunculan kumpulan legenda itu pada masa akan datang.

“Kali ini, ruang yang disediakan lebih luas, kesan audio dan visual lebih padu. Saya sangat berpuas hati!

“Saya berharap konsert seterusnya diadakan di Stadium Tertutup, Kallang lagi.

“Apa-apa pun, saya akan tetap menyokong Wings,” kata seorang lagi peminat Wings, Encik Mohd Shaiful, 46 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg