Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Yusof’ beri peluang hayati makna perjuangan Presiden pertama S’pura

Hubungkan penonton dengan sisi kemanusiaan Yusof Ishak melalui penceritaan padat, lakonan menyentuh hati
Oct 24, 2025 | 5:30 AM
Sani Hussin, Siti Khalijah Zainal, Yusof, Teater Ekamatra, Puan Noor Aishah
Lakonan Sani Hussin (kiri) sebagai Allahyarham Yusof Ishak, dan Siti Khalijah Zainal selaku Allahyarhamha Puan Noor Aishah, penuh dengan emosi yang mendalam. - Foto ESPLANADE/AKBAR SYADIQ

Apabila disebut nama Presiden Pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, pasti ramai dalam kalangan masyarakat Melayu yang mengenalinya. 

Namun, sejauh manakah kita benar-benar memahami perjalanan hidup beliau sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara pada 1959?

Pada 18 Oktober, saya berpeluang menonton pementasan Yusof: Portrait of a President oleh kumpulan teater mapan tempatan, Teater Ekamatra, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Naskhah asal Zizi Azah Abdul Majid dan diarahkan oleh Mohd Fared Jainal itu, menyingkap sisi peribadi dan perjuangan Yusof Ishak membina sebuah negara dari titik kosong selepas mencapai kemerdekaan. 

Bagi saya, kisahnya bukan sekadar sejarah, malah ia merupakan potret kehidupan yang mencerminkan ketabahan, keikhlasan serta semangat waja seorang insan di sebalik gelaran Presiden.

Sebagai anak Melayu Singapura, saya akui hanya mengenali sebahagian kecil kisah hidup beliau, meskipun wajahnya terpampang di setiap helaian wang kertas. 

Hanya setelah menonton pementasan ini, saya mula benar-benar memahami betapa besar pengorbanan dan nilai kemanusiaan yang tersembunyi dalam diri Yusof.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), keputusan untuk mementaskan semula karya ini menjadi satu jemputan untuk menelusuri lebih dalam kehidupan Presiden pertama Singapura, serta wawasannya yang kekal relevan hingga hari ini.

Dalam versi kali ini, Teater Ekamatra menampilkan kisah hidup Yusof (lakonan Sani Hussin) dengan penuh hormat serta ketepatan intelektual, membawa penonton menyelami perjalanan moral dan emosi yang membentuk dirinya sebagai pemimpin pertama Singapura.

Berlatar belakangkan era 1950-an hingga 1960-an, lebih tepat lagi ketika perjuangan menuntut kebebasan akhbar dan pergolakan politik sedang memuncak, pementasan ini mengimbas detik yang membentuk jalan hidup Yusof dan arah tuju negara baru yang sedang mencari identitinya.

Namun begitu, di sebalik sosok presiden yang tegas dan berwibawa, tersemat kekuatan keluarga yang menjadi tiang di setiap perjuangannya. 

Penonton diperlihatkan sisi Yusof yang jarang dikenal iaitu, seorang anak yang dibesarkan dalam keluarga berdisiplin, dengan ayah yang berpendirian tegas namun bertujuan melindungi.

Hubungan Yusof yang rapat dengan adik, Abdul Aziz Ishak (lakonan Ghafir Akbar), turut memperlihatkan semangat persaudaraan yang menjadi asas kepada kelahiran Utusan Melayu, akhbar yang menjadi suara masyarakat Melayu dan simbol kebangkitan pemikiran bangsa.

Melihat perjuangan menegakkan kebebasan akhbar memberi kesan yang mendalam dalam diri saya, khususnya sebagai wartawan. 

Betapa besar pengorbanan Yusof, dan keluarganya yang sanggup mengorbankan harta dan masa demi menubuhkan akhbar yang boleh membanggakan masyarakat Melayu.

Menjiwai watak Yusof ialah pelakon berpengalaman, Sani, yang kembali menggalas peranan ini selepas 10 tahun, sejak pementasan Yusof dipentaskan buat julung-julung kali pada 2015.

Lakonannya begitu menusuk kalbu dan sarat dengan emosi.

Sani berhasil memaparkan jiwa kental Yusof yang berjuang mempertahankan prinsip dalam dunia yang semakin kabur nilai moralnya, pada zaman itu.

Ketika kemarahannya menguasai diri, sama ada dalam perdebatan bersama saudaranya, Aziz dan Ramley (Fauzie Laily), atau pertelagahan dengan Tunku Abdul Rahman (Ghafir) tentang tanggungjawab moral media yang dihimpit kerakusan dunia politik – ia tidaklah seperti amarah lakonan semata-mata.

Namun, ia berbuah daripada kejujuran seorang insan yang sudah lelah dengan kepalsuan dan kepura-puraan pemimpin yang berselindung di sebalik gagasan yang ingin membentuk negara yang demokratik.  

Justeru, di sinilah letaknya nadi emosi pementasan ini, yang saya rasakan berdegup paling kencang dan penuh ketegangan.

Berbeza dengan naskhah Teater Ekamatra yang lain, pentas pementasan kali ini hanya dihiasi tangga kayu bertingkat.

Pada awalnya, saya fikir ia agak janggal kerana rasa kurang dapat merasai keakraban dengan watak-watak yang cuba disampaikan dalam kisah Yusof: Portrait of a President.

Namun begitu, set yang sederhana ini akhirnya memberi ruang kepada penonton untuk menghayati setiap lakonan dan dialog yang menyentuh hati, tanpa gangguan visual yang berlebihan.

Apatah lagi apabila jalan cerita dan lakonan itu sudah cukup kuat, tidak perlu lagi elemen lain untuk mengangkat keindahan sesebuah karya itu.

Antara aspek paling menyentuh hati saya ialah gambaran watak wanita dalam kehidupan Yusof. 

Mereka mungkin tidak berdiri di barisan hadapan sejarah, namun peranan dan pengorbanan mereka tidak ternilai. 

Lakonan Siti Khalijah Zainal atau Siti K sebagai Allahyarhamha Puan Noor Aishah, isteri Yusof, dilakarkan dengan penuh keanggunan dan ketabahan.

Beliau juga menjadi sumber kekuatan dan ketenangan bagi Yusof, yang menyedari besarnya tanggungjawab suaminya terhadap negara.

Begitu juga ibu Yusof, Aishah Ton, lakonan Dalifah Shahril, yang sanggup mengorbankan barang kemas demi membantu Yusof membina akhbar Utusan Melayu.

Kebimbangan saya terhadap naskhah biografi yang selalunya padat dengan fakta dan perlahan dalam tempo ternyata tidak berlaku di sini. 

Sebaliknya, Yusof: Portrait of a President berjaya menghubungkan penonton dengan jiwa kemanusiaan melalui penceritaan padat, dan disampaikan dengan arahan yang peka serta lakonan yang menyentuh hati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg