Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengenang sejarah perjuangan Yusof Ishak

Kali kedua Sani Hussin jiwai karisma Presiden pertama S’pura
Aug 11, 2025 | 5:30 AM
Sani Hussin, tidak bosan membawakan watak Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, dalam pementasan ‘Yusof: Portrait of a President’ oleh Teater Ekamatra.
Sani Hussin, tidak bosan membawakan watak Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, dalam pementasan ‘Yusof: Portrait of a President’ oleh Teater Ekamatra. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pelakon mapan, Sani Hussin, menyifatkan kepulangannya ke pentas teater menerusi watak Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, sebagai pengalaman penuh bermakna, seolah-olah kembali ke pangkuan sesuatu yang dekat di hatinya.

Sani yang berusia 41 tahun sewaktu mula membawakan watak tersebut dalam pementasan terbitan Teater Ekamatra sempena Pesta Raya 2015, berasa dirinya turut berkembang seiring watak berkenaan.

Kini pada usia 51 tahun, beliau berasa lebih dekat dengan tokoh yang dilakonkannya, memandangkan Allahyarham Yusof turut berada dalam lingkungan umur yang sama sewaktu menyandang jawatan penting dalam negara.

“Ketika kali pertama saya membawa watak Yusof, usia saya baru 41 tahun. 

“Kini, di usia 51 tahun, saya rasakan keterikatan yang lebih mendalam dengan Yusof, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri dilantik sebagai Yang Dipertuan Negara ketika berumur 50 tahun dan seterusnya sebagai Presiden pertama Singapura pada usia 55 tahun.

“Dari segi kematangan, saya turut rasakan perbezaannya berbanding dulu. 

“Namun, faktor usia turut membawa cabaran tersendiri. 

“Tenaga fizikal sudah tidak sekuat dulu dan keletihan lebih cepat dirasai,” kata Sani kepada Berita Harian (BH).

Ketika ditemui BH pada 30 Julai, beliau sedang menjalani sesi latihan pementasan tersebut di The Artground yang terletak di kawasan Holland Village.

Sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60), Esplanade menugaskan Teater Ekamatra untuk mengembalikan pementasan, Yusof: Portrait of a President, dalam lima set persembahan iaitu – pada 17 Oktober mulai 8 malam; 18 serta 19 Oktober pada 3 petang dan 8 malam, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Ia akan dipentaskan semula di bawah arahan pengarah, Mohd Fared Jainal, sebagai sebahagian daripada daya usaha Esplanade, 60 Connections – At Home and Afar.

Di samping itu, Sani turut melahirkan rasa syukur di atas peluang kedua yang diberikan untuk menghidupkan semula watak bersejarah itu.

“Tentunya, ia merupakan satu penghormatan bagi saya untuk memainkan watak sebagai Presiden Singapura Pertama sekali lagi.

“Pihak penerbitan boleh sahaja tawarkan watak ini kepada pelakon lain, tapi tak pula. Mereka pilih saya sekali lagi.

“Saya anggap peluang yang diberikan ini sebagai bentuk sumbangan saya untuk lebih mendekati masyarakat Melayu, melalui paparan perjuangan Yusof Ishak dalam naskhah ini,” ujar Sani.

Selain Sani, Teater Ekamatra turut mengekalkan barisan pelakon asal bagi pementasan, Yusof: Portrait of a President (2025), iaitu Siti Khalijah Zainal, Dalifah Shahril dan Farah Ong.

Dua pelakon lain yang turut menggamatkan lagi suasana pementasan itu termasuk Fauzie Laily dan Ghafir Akbar.

Sebagai pelakon berpengalaman, Sani mengakui bukan mudah untuk menjayakan, apatah lagi menulis sebuah karya berteraskan sejarah Singapura. 

Dalam konteks ini, beliau merujuk secara khusus pengalaman bekerjasama dengan penulis naskhah dan pengarah pementasan, Yusof: Portrait of a President, pada 2015 iaitu, Zizi Azah Abdul Majid.

Zizi yang mempunyai pertalian darah dengan Allahyarham Yusof – yang merupakan datuk saudaranya – mampu menyumbang perspektif lebih mendalam, sekali gus membantu Sani memahami dengan lebih jelas perjuangan dan sumbangan tokoh tersebut dalam masyarakat Singapura.

Bagi Sani, setiap proses yang dijalankan bagi menjayakan sebuah pementasan teater amat bermakna.

Bagaimanapun, dalam pementasan yang sarat dengan nilai sejarah dan emosi, beliau menyedari setiap proses membawa pendekatan berbeza.

Hal ini penting demi memastikan jalan cerita disampaikan dengan penuh keadilan, sekali gus memberikan pengalaman bermakna kepada penonton, baik lama ataupun baru.

Apatah lagi, apabila karya tersebut diangkat sebagai wadah renungan masyarakat, tanggungjawab yang digalas sebagai pelakon terasa lebih berat.

“Dalam teater ‘kan, kalau boleh, setiap kerja (naskhah teater) baru, ia harus disampaikan dengan cara yang baru.

“Pengalaman berlakon bersama barisan pelakon pada (pementasan Yusof) 2015, pastinya meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan dan sukar diulang kembali.

“Namun begitu, bagi persembahan pada 2025, kita perlu sajikan pementasan, Yusof, dalam versi yang lebih segar,” ujarnya.

Apabila ditanya BH mengenai perwatakan Yusof yang meninggalkan kesan pada dirinya, Sani menceritakan sisi Presiden pertama Singapura yang berani dan tegas membela nasib rakyat dek perubahan politik yang berlaku sekitar 1960-an.

Pada masa sama, beliau turut menyingkap secara ringkas semangat nasionalisme Yusof yang kental melalui penubuhan akhbar Melayu iaitu Utusan Melayu.

“Beliau seorang yang keras kepala, tapi dalam sudut yang positif. Sesiapa yang tahu Allahyarham Yusof, beliau juga seorang yang garang dan tegas.

“Barangkali sifat itu yang amat diperlukan pada waktu getir negara membangun sekitar 1965, ketika masyarakat sedang bergelut dengan pelbagai cabaran kehidupan.

“Dalam keadaan rakyat yang serba kekurangan, seorang pemimpin perlu tampil tegas untuk memastikan kemajuan dapat dicapai dengan sewajarnya.

“Kita tidak boleh nafikan wujudnya suara penentangan terhadap kepimpinan ketika itu. 

“Saya dapat membayangkan betapa besar tekanan yang dirasai Yusof, apatah lagi dalam suasana politik yang turut melibatkan Kabinet Malaysia.

“Selain itu, penubuhan akhbar, Utusan Melayu, sendiri lahir daripada perjuangan dan semangat beliau yang mendalam, namun turut dilanda pergolakan. 

“Semua ini mencerminkan tekanan yang harus dihadapi oleh Yusof sebagai pemimpin, wartawan dan suara utama masyarakat Melayu ketika itu,” jelas Sani.

Sekitar 10 tahun lalu, dalam proses kajian watak Yusof, Sani berusaha untuk membaca buku kisah sejarah akhbar Utusan Melayu, Di Depan Api Di Belakang Duri, tulisan Zainuddin Maidin.

Tidak kira berapa lama masa telah berlalu, pelakon drama bersiri, Sayang Semuanya itu, akur kajian yang pernah dilakukan itu tidak akan lapuk, sebaliknya menjadi asas yang memudahkan persiapannya kali ini.

Sungguhpun begitu, Sani mengandaikan pementasan kali ini tetap menuntut cabaran tersendiri dengan kemungkinan penonton mengharapkan mutu lebih tinggi, khususnya daripada sebuah kumpulan teater dan barisan pelakon yang matang.

Tiket bagi pementasan, Yusof: Portrait of a President, berharga antara $50 dengan $65 boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan, https://bh.sg/rD2R

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg