Pengalaman terkena serangan jantung ketika menjalani penggambaran drama di Port Dickson pada Februari, membuatkan pelakon, Zamarul Hisham, terfikir soal kematian dan keinsafan.
Zamarul, 54 tahun, berkata tiada apa yang mampu dilakukan ketika itu selain berdoa semoga dipanjangkan usia dan diberi kesempatan bertaubat.
“Masa kena serangan jantung, saya rasa seperti kehilangan segala-galanya. Rasa seperti semangat hilang dan tertanya-tanya, masih sempat bertaubat dan perbetulkan ibadah.
“Bukanlah nak cakap saya terlalu jahat, tetapi pelbagai perkara mula bermain di fikiran.
“Masa itu saya terbayang wajah anak-anak yang sedang berada di hotel kerana saya turut membawa mereka bercuti.
“Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa agar diberikan peluang melihat anak-anak membesar.
“Saya juga minta kepada Allah dan jika diizinkan, janganlah (ambil nyawa) sekarang. Itu sahajalah yang saya mampu lakukan.
“Rasa sangat menakutkan dan tak tahu macam mana nak gambarkan,” lapor Berita Harian Malaysia.
Zamarul berkata demikian ketika ditemui semasa majlis tayangan perdana filem, Blood Brothers: Bara Naga, di Kuala Lumpur.
Berkongsi keadaan kesihatannya, suami kepada pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, memaklumkan beliau masih perlu mendapatkan rawatan susulan, selain bergantung kepada ubat-ubatan demi memastikan kesihatannya terkawal.
“Selepas dibenarkan keluar hospital, setiap hari saya perlu makan tujuh jenis ubat, tapi sekarang sudah tinggal lima.
“Tahap kesihatan pula semakin pulih, tetapi jika saya tak kawal pemakanan, saya akan mula rasa tidak selesa pada bahagian jantung.
“Sekarang, saya juga sentiasa bawa ubat ke mana-mana.
“Masa di Unit Jagaan Rapi (ICU) selama tujuh hari, saya memang berjanji pada diri untuk jaga pemakanan dan kesihatan.
“Tapi, apabila masuk hari kelima di rumah, semuanya tinggal janji hingga bergaduh dengan isteri gara-gara tak jaga makan,” ujar Zamarul.
Sebagai rawatan penyakit jantungnya itu, Zamarul menjalani prosedur angiogram dan pemasangan ‘stent’.
Ia merupakan alat bagi membantu menguatkan dan membuka saluran jantung yang tersumbat.
Bagi Zamarul, ia melibatkan bahagian kanan jantung dan beliau perlu menjalani satu lagi prosedur ‘stent’ di bahagian kiri jantung.
“Sepatutnya dua ‘stent’ perlu dipasang, tapi doktor hanya pasang satu kerana enggan mengambil risiko. Lagipun, satu ‘stent’ mengambil masa lebih dua jam.
“Kalau diikutkan, saya sudah dijadualkan untuk pembedahan kedua, tapi saya ikhtiar dahulu dengan berubat secara tradisional.
“Harapnya untuk janji temu seterusnya, doktor puas hati dengan keadaan kesihatan dan saya tak perlu jalani pembedahan,” katanya.
Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, pada 5 Februari, sekitar 2 pagi akibat sesak nafas ketika berada di lokasi penggambaran.
Pelakon drama bersiri, Langit Ke Tujuh, itu kemudian dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Sunway, Kuala Lumpur, untuk rawatan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg