KUALA LUMPUR: Zara Zya mengakui sedang mendalami hati budi seorang jejaka, namun, enggan memperincikan perkara itu demi menjaga ruang peribadi.

Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41 tahun, juga enggan mengesahkan status hubungan mereka.

Beliau juga mahu lebih berhati-hati dan tenang dalam berkongsi hal peribadi kepada umum seiring kematangan usia, lapor BH Online.

“Saya tidaklah cakap tiada, tetapi, tidak juga ada (pasangan).

“Kalau ada yang baik-baik (berita baik), insya-Allah saya akan beritahu.

“Berkawan itu ada tetapi saya belum bersedia untuk berkongsi lanjut.

“Saya lebih selesa untuk tidak berkongsi terlalu berlebihan, kerana mungkin faktor umur dan pengalaman lalu.

“Umur seperti ini saya mahu lebih relaks. Apa yang patut dikongsi, saya akan beritahu.

“Kalau tidak, biarlah saya simpan dahulu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama Luka Di Hujung Setia di Lobi Galeri Prima, Balai Berita di sini, pada 15 April.

Mengulas soal jodoh dan perkahwinan yang sering menjadi perhatian ramai, Zara mengakui tidak lagi meletakkan sasaran khusus mengenainya.

Tambahnya, rezeki dalam kehidupan tidak terhad kepada jodoh semata-mata, malah merangkumi pelbagai nikmat lain termasuk sihat tubuh badan dan cukup makan.

“Saya lalui saja, insya-Allah kalau ada rezeki Allah bagi, adalah nanti.

“Rezeki ini luas. Tidak semestinya tak berkahwin tiada rezeki lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zara bakal muncul dalam drama Luka Di Hujung Setia yang akan disiarkan TV3 mulai 19 Mei ini.

Zara teruja apabila sekali lagi digandingkan dengan Datuk Adi Putra selepas sekian lama, dalam drama berkenaan.

“Apabila saya tahu bakal berganding dengan Adi, saya tidak fikir panjang terus bersetuju,” katanya yang pernah berlakon dalam tiga drama bersama aktor kelahiran Singapura itu.