KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya berkongsi berita duka disahkan menghidap barah buah pinggang jenis karsinoma sel renal.
Menerusi hantaran di Threads, pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu mendedahkan telah lama mengalami tanda-tanda awal sejak empat tahun lalu sehingga disahkan menghidap barah berkenaan pada 2024.
“Bertahun badan memberi isyarat. Cepat penat, hidung kerap berdarah.
“Sehingga tahun lepas, semuanya terjawab apabila saya disahkan menghidap kanser buah pinggang jenis karsinoma sel renal (renal cell carcinoma) tahap satu.
“Tolong jangan abaikan isyarat tubuh kita,” titipnya di Thread.
Pelakon versatil berusia 40 tahun itu juga berkongsi antara simptom lain yang dihadapi ialah denyutan di belakang kawasan buah pinggang dan barah itu hanya dikesan menerusi ujian imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), lapor Sinar Harian.
“Saya telah menjalani pembedahan buang sebahagian (buah pinggang) pada tahun lepas,” kongsinya.
Warga maya memberikan semangat buat Zara. Rata-rata mendoakan agar urusan pelakon itu segera sembuh.
Zara terdahulu mendedahkan bergelut masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan artritis.
Pada Januari 2025, pelakon drama I Love You Mr Arrogant itu turut mendedahkan tubuhnya mengalami kekurangan hormon dan vitamin tertentu selain menjalani pembedahan untuk membuang fibroid serta sista (cyst) pada buah pinggang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg