Zehra Zambri, 38 tahun dalam karier seni bukanlah nama yang asing, terutama selepas pembabitannya dalam program realiti popular, Gegar Vaganza Musim ke-11 (GV11) tahun lalu (2024).
Tidak hanya itu, Zehra juga ketika ini menjadi perhatian ramai dengan kisah kemelut rumah tangga dan permohonan perceraiannya yang belum selesai.
Zehra berkata beliau bagaimanapun tetap menjalani kehidupan dengan bahagia bersama anak perempuannya, selain memenuhi tawaran nyanyian yang diterima, lapor Harian Metro.
“Alhamdulillah, saya okey sahaja melalui kehidupan harian kerana apa yang penting perjalanan kerjaya seni pun kembali bersinar semula.
“Saya sudah lama aktif menyanyi sejak 2005, namun karier saya ada pasang surutnya termasuk pernah dipinggirkan juga.
“Tapi sekarang, nampaknya rezeki saya ada.
“Boleh dikatakan selepas penyertaan saya dalam GV11 lalu, memang rezeki untuk persembahan nyanyian sentiasa ada, sekali gus nama saya pun orang kembali dikenali,” katanya.
Menurut Zehra, beliau amat teruja untuk terbabit dalam Konsert Tradisional Simfoni Budaya II bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 5 Julai depan.
Selain dirinya, barisan penyanyi irama tradisional lain yang turut serta dalam konsert itu ialah Datuk Andre Goh, Hazra Dollah, Daniel Chuer dan Rojer Kajol dengan dipimpin Konduktor Muzik MPO, Ahmad Muriz Che Rose.
“Apabila dapat sahaja tawaran daripada pihak MPO untuk saya terbabit Konsert Tradisional Simfoni Budaya II itu, memang tak tunggu lama untuk beri persetujuan.
“Ini kerana, saya sendiri pun sangat meminati irama tradisional Melayu asli dan pernah rakamkan lagu Semalakama ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah
“Ditambah, peluang bekerja dengan arwah Pak Ngah dulu banyak memberikan pengalaman bermakna apabila kami banyak berkongsi mengenai irama tradisional Melayu asli.
“Apapun, sekarang kita tidak ada ramai penyanyi lagu irama tradisional Melayu asli dan pelapis yang sangat diperlukan kerana ini adalah budaya warisan kita,” katanya.
Mengenai kisah peribadinya, perbicaraan kes rumah tangga Zehra kini menunggu keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 14 Julai depan.
Zehra dan suaminya, Nur Mohd Iqwan, 42 tahun, masing-masing bertemu jodoh kali kedua selepas gagal dalam perkahwinan pertama.
Mereka bernikah 10 November 2021.
Difahamkan, Zehra juga pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan pernikahan itu terlerai pada April 2018 selepas enam bulan hidup bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg