Penyanyi Zehra Zambri, 39 tahun, enggan memanjangkan kes tuntutan nafkah anak, idah dan mutaah yang difailkan terhadap bekas suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 43 tahun, pada awal 2026.

Zehra mahu kes itu diselesaikan secara baik ketika proses ‘sulh’ atau mediasi pada 8 Januari lalu, namun, gagal mencapai persetujuan bersama.

“Sebenarnya, saya memang tidak mahu panjangkan kes ini. Kalau boleh, waktu sesi ‘sulh’ sebelum kita failkan memang hendak selesaikan. Tetapi, pihak sana (Nur Mohd Iqwan) tak nak beri kerjasama, jadi, saya terpaksalah membuat tuntutan ini.

“Sebab memikirkan hak-hak saya dan anak saya juga perlukan satu perintah mahkamah supaya dia (bekas suami) lebih bertanggungjawab terhadap nafkah anak.

“Apabila sudah ada hitam putih ini, mudah sedikit untuk kita buat apa-apa tindakan,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 29 April.

Zehra hadir ditemani bapanya, Zambri Ahmad, bersama peguam syarii, Abd Muiz Samsuri, manakala Nur Mohd Iqwan pula tidak diwakili peguam.

Bekas suami Zehra mengelak untuk ditemu bual sambil memberi alasan perlu menghadiri mesyuarat dengan segera.

Dalam pada itu, Zehra berkata pihaknya juga tidak mahu melalui perbicaraan kerana ia akan mengambil masa dan membuang tenaga sedangkan mereka sudah berpisah.

“Kalau boleh saya nak diselesaikan segera, tetapi pihak sana (defendan) agak sukar hendak beri kerjasama, jadi tiada pilihan.

“Bagaimanapun, saya harap adalah perbincangan bagi saya dengan dia, semoga benda ini tidak berlarutan sampai kena tampilkan saksi-saksi. Ia akan jadi lebih rumit.

“Banyak lagi benda-benda aib yang akan terbuka kelak. Jadi, kita nak secara harmoni untuk diselesaikan,” katanya.

Zehra berkata pada masa sama, beliau menawarkan jumlah bayaran munasabah yang diminta, tetapi pihak bekas suami menolak cadangan jumlah berkenaan.

“Dia tidak terbuka hati waktu itu. Jadi, saya tidak tahulah. Saya cuba kali kedua ini secara baik, saya minta dia berurusan dengan peguam saya dan harap-harap mungkin kali ini dia lebih terbuka. Saya doakan yang terbaik.

“Sudah 10 bulan (bercerai) dan sesen pun saya tidak dapat daripada pihak dia (bekas suami) walaupun saya minta secara baik, tetapi dia langsung tak nak bagi saya (nafkah).

“Cukup-cukup bebani saya untuk menanggung anak sendirian, ditambah keadaan saya masih belum bekerja tetap, emosi saya juga dalam proses hendak pulih semula untuk saya bangunkan kerjaya dan kehidupan saya.

“Justeru, apa saya minta melalui tiga tuntutan ini adalah sesuatu yang wajar dan juga pada saya tidaklah menyiksa dia pun,” katanya.