Topik diikuti
Pergi ke BHkuZiana Zain kini bergelar Datuk Wira
MELAKA: Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Roziana Zain, atau Datuk Ziana Zain, menyifatkan penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.), yang membawa gelaran Datuk Wira sebagai penghargaan bermakna terhadap perjalanan panjangnya dalam bidang seni.
Menurutnya, pengiktirafan daripada negeri kelahirannya itu amat membanggakan, malah mengusik emosinya kerana kedua-dua ibu bapanya tidak berkesempatan menyaksikan detik bersejarah berkenaan, lapor Utusan Malaysia.
“Sekian lama berdiri, dah bertahun-tahun kita berjuang dalam bidang seni ini, sekurang-kurangnya kita diiktiraf, walaupun dari negeri tempat kelahiran kita.
“Saya sangat berbesar hati, sangat berbangga dan sangat bersyukur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, pada 24 Ogos.
Ziana berkata anugerah tersebut bukan semata-mata pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang seni, sebaliknya dianggap sebagai amanah untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat dan masyarakat.
Menurutnya, beliau menganggap segala yang dilakukan sepanjang berada dalam industri seni sebagai tanggungjawab kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
“Bagi saya, apa yang saya buat ini adalah tanggungjawab saya kepada peminat dan kepada ihsan orang ramai,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 58 tahun itu mengakui sedikit kesedihan kerana kedua-dua ibu bapanya sudah tiada untuk menyaksikan beliau menerima anugerah berkenaan.
Dalam pada itu, Ziana berkata beliau akan terus membawa nama Melaka walau di mana sahaja berada sebagai tanda kecintaan terhadap negeri kelahirannya.
“Di mana saya berada pun, walau saya pergi ke mana pun, kalau orang tanya saya tetap akan bawa nama Melaka itu di mana-mana.
“Melaka di hati saya. Jangan lupa di mana kita dilahirkan, di mana bumi dipijak, di situlah kita,” katanya.
Mengulas mengenai gelaran Datuk Wira yang diterimanya, Ziana berkata beliau mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan panggilan baharu tersebut.
“Nak biasakan itu mungkin ambil masa. Saya sekarang ini pun tidak tahu nak kata macam mana, rasa macam mimpi pun ada, tetapi saya sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah,” ujarnya.
