Pernah terdetik di hati pelakon Malaysia, Zul Ariffin, 39 tahun, untuk meninggalkan dunia glamor dan berhijrah ke Makkah demi mencari ketenangan hakiki.
Bagaimanapun, takdir telah membawa langkahnya kembali ke pentas seni yang menjadi jiwa dan nadi hidupnya sejak 20 tahun lalu (2005).
Bagi Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, biarpun impian berhijrah itu masih tersimpan kemas di hati, buat masa ini tumpuannya lebih terarah kepada kerjaya seni yang terus membuka pintu rezeki dan peluang baru.
“Kadang-kadang bila kita seronok bercerita dan berkongsi perancangan, tak semua akan jadi seperti yang diimpikan.
“Saya pernah tinggal di Makkah selama tiga bulan sebelum ini, jadi saya faham perasaan itu. Ia memang hajat setiap orang untuk berhijrah ke sana.
“Tapi buat masa ini, saya perlu teruskan apa yang sudah dimulakan di sini,” kata Zul dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada majlis tayangan perdana filem terkininya, Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad, di pawagam GSC Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.
Filem bergenre seram ‘thriller’ itu sudah menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 30 Oktober.
Sebelum ini, Zul pernah berkongsi perancangannya untuk berhijrah ke Makkah bagi menguruskan perniagaan mesin layan diri, hasil kerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura.
Ketika itu, pelakon bertubuh sasa itu turut berkongsi rasa teruja apabila lokasi kediaman yang dirancang hanya lima kilometer dari Masjidil Haram.
Biarpun begitu, impian tersebut kini ditunda buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada komitmen seninya dalam dunia lakonan.
Mengulas lanjut, pelakon filem, Magik Rompak itu berkata, beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal penghijrahan itu kerana percaya setiap perkara berlaku pada waktu yang ditentukan Allah.
“Saya tak mahu tinggalkan kerjaya saya sekarang.
“Ada kalanya sebagai artis, kita ada perancangan lain seperti perniagaan, tapi bukan semua akan menjadi.
“Saya bukan daripada keluarga peniaga dan tak mahu ambil risiko dengan individu yang saya sendiri tak pasti kejujurannya.
“Sekarang pun, Alhamdulillah, satu demi satu tawaran datang.
“Jadi buat apa saya lepaskan sesuatu yang sudah pasti untuk perkara yang belum tentu?” katanya.
Di samping itu, Zul menegaskan beliau kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan yang membabitkan masa depan dan kerjayanya.
“Ini ‘dunia’ (bidang) saya dan saya gembira di sini.
“Sejak usia 21 tahun, saya sudah berlakon dan saya cintakan apa yang saya lakukan.
“Untuk saya lepaskan fokus di sini dan berpindah ke tempat lain, ia perlukan keyakinan besar.
“Buat masa ini, saya padamkan dulu niat itu dan ketepikan. Saya anggap itu fasa saya bertemu dengan orang yang tidak sehaluan,” ujar Zul.
Berbalik kepada filem, Malam Terlarang, yang dibintanginya, Zul teruja membawakan watak bapa kepada dua anak perempuan dengan isu keluarga yang berdepan kejadian mistik.
Ini turut menandakan kali pertama anak jati Perak itu bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Sofea Jane.
Zul berkata naskhah berkenaan sarat dengan emosi sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada dirinya.
Malam Terlarang yang membariskan pelakon lain seperti Sabri Yunus, Shasha Abedul, Ailah Azizul, Normah Damanhuri dan Hasnul Rahmat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg