Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hilang rasa gerun setelah faham ‘kelakuan’, isyarat badan ular

Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Penjaga ular di Taman Haiwan Singapura, Encik Timothy Lim, bergambar bersama Ular Susu Honduran atau ‘Honduran Milk Snake’. Taman Haiwan Singapura mempunyai sekitar 70 ekor ular daripada lebih 20 spesies. 
Penjaga ular di Taman Haiwan Singapura, Encik Timothy Lim, bergambar bersama Ular Susu Honduran atau ‘Honduran Milk Snake’. Taman Haiwan Singapura mempunyai sekitar 70 ekor ular daripada lebih 20 spesies.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Keghairahan jelas terpancar pada wajah penjaga haiwan di Taman Haiwan Singapura, Encik Timothy Lim, kerana binatang di bawah jagaannya, ular, asyik disebut-sebut kebelakangan ini.

Ini kerana Tahun Ular dalam kalendar Cina akan bermula pada 29 Januari, dan menjelang perayaan Tahun Baru Cina itu, banyak kegiatan berkaitan ular dianjurkan di serata Singapura.

Di Taman Haiwan Singapura misalnya, pengunjung dapat melihat Ular Susu Honduran atau Honduran Milk Snake berwarna terang daripada jarak dekat dan menyentuhnya.

“Kita takut dengan perkara yang kita tidak tahu dan tidak faham. Tapi selepas kita mengenali dan memahami ular, haiwan itu menjadi kurang menggerunkan. Justeru matlamat kami adalah untuk membuat pengunjung selesa dengan ular dan mengatasi rasa takut mereka terhadap ular.

“Kami akan menggalakkan pengunjung menyentuh bahagian ekor dahulu jika mereka berasa takut, sebelum perlahan-lahan menyentuh bahagian lain,” kata Encik Lim, 31 tahun.

Semasa mula bekerja sebagai penjaga di Taman Haiwan Singapura sekitar pertengahan 2021, Encik Lim langsung tidak tahu tentang reptilia termasuk ular dan cara jagaannya.

Beliau meminati haiwan namun agak geli bukan dengan ular, tetapi tikus yang menjadi makanan ular.

“Saya tidak pernah berinteraksi dengan ular sebelum bertugas di sini. Sebenarnya pada mulanya saya lebih takut dengan tikus beku yang saya perlu nyahsejuk beku sebelum diberikan kepada ular. Saya tidak boleh nak lihat atau sentuh tikus.

“Tetapi selepas sekitar dua bulan menyediakan makanan ular itu, saya jadi terbiasa,” kata Encik Lim.

“Bagi ular, apabila saya sudah mengenali mereka, dan memahami kelakuan dan isyarat tubuh, ia tidak begitu menggerunkan. Mereka comel sebenarnya,” tambahnya.

Selepas sekitar setahun setengah menjaga reptilia di bahagian RepTopia di taman haiwan itu, Encik Lim ditugaskan sebagai penjaga beruang panda di River Wonders.

Tetapi selepas 10 bulan di sana, beliau minta kembali menjaga ular kerana sedang ramai orang sukakan panda, tidak ramai meminati ular.

“Saya kembali ke sini untuk berkongsi ilmu tentang ular dan membuat lebih ramai orang jatuh cinta dengan haiwan berdarah sejuk yang sering disalah faham ini,” katanya.

Taman Haiwan Singapura mempunyai sekitar 70 ular terdiri daripada lebih 20 spesies termasuk ular sawa batik atau Reticulated Python dan ular tedung selar atau King Cobra.

Berkongsi rutinnya sebagai penjaga ular, Encik Lim berkata setiap pagi, penjaga perlu mengira bilangan ular bagi memastikan mereka berada dalam sangkar dan tidak terlepas keluar.

Penjaga kemudian melakukan pemeriksaan untuk memastikan badan ular dan mata mereka dalam keadaan baik, dan ular kelihatan segar dan sedar dengan kehadiran penjaga.

Mereka memastikan terdapat air bersih untuk ular dan membersihkan najis dan sekitaran kawasan ular itu.

Mereka juga perlu memastikan lampu haba berfungsi dengan baik pada suhu sekitar 30 hingga 35 darjah Celsius kerana jika sekitarannya sejuk, ular menjadi penat dan bergerak perlahan dan ini akan menyebabkan masalah di kemudian hari.

Dalam banyak-banyak jenis ular yang dijaganya, Encik Lim paling menggemari ular jenis Gaboon Viper yang mempunyai antara taring terpanjang di dunia. Ia tidak menyusur seperti kebanyakan ular tetapi ia bergerak seperti ulat bulu.

“Ular ini jenis pemangsa yang menyerang hendap. Ia suka bersembunyi dalam daun-daun kering dan sisiknya mempunyai warna yang dapat menyamarkannya dengan daun, membuatnya sukar dilihat,” kata Encik Lim.

Dalam melaksanakan tugasnya sebagai penjaga ular, Encik Lim berkata perkara yang paling memberinya kepuasan ialah apabila beliau dapat mengubah pandangan seseorang tentang ular – daripada takut kepada berani dengan reptilia itu.

“Sebagai penjaga ular, saya mempunyai rutin setiap hari. Tetapi apabila saya dapat berinteraksi dengan pengunjung dan berkongsi sedikit ilmu mengenai reptilia ini, ia menyemarakkan lagi semangat saya dan mengingatkan saya tentang sebab saya bekerja di sini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg