Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hotel baru Sheraton buka di JB, hanya 5 minit dari CIQ

Lokasi strategik mudahkan pengunjung S’pura, tersedia kemudahan mesra keluarga
Nov 5, 2025 | 6:37 PM
Bilik suite keluarga di Sheraton Johor Bahru.
Bilik suite keluarga di Sheraton Johor Bahru. - Foto SHERATON JOHOR BAHRU

Warga Singapura yang gemar merentas Koswe untuk percutian singkat di Johor Bahru kini mempunyai pilihan penginapan baru, terletak hanya lima minit sahaja dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan Sistem Transit Laju (RTS Link), yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Sheraton Hotels & Resorts, yang merupakan sebahagian daripada Marriott International, telah membuka Sheraton yang pertama di Johor Bahru.

Menempatkan 345 bilik, lokasi strategik hotel tersebut menjadikan ia mudah bagi warga Singapura yang datang dari pusat pemeriksaan Woodlands, mahupun pelancong luar negara yang ingin singgah di Singapura sewaktu sedang bercuti di Johor Bahru.

Bagi pengunjung yang tiba menerusi pesawat, hotel itu terletak 45 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Lokasi hotel tersebut berada dalam Menara SKS, dan menduduki tingkat lima hingga 22, dengan lobi di tingkat lima, kolam renang di tingkat enam dan bilik dari tingkat tujuh hingga 22.

Ia turut dihubungkan bersama pusat beli belah SKS City Mall, yang setakat ini belum beroperasi.

Keluarga yang menginap di hotel tersebut boleh menempah bilik keluarga atau ‘suite’ keluarga, dengan setiap daripadanya menawarkan dua bilik tidur - bilik utama dengan ‘katil raja’ (saiz ‘king’) untuk ibu bapa, dan bilik kanak-kanak dengan katil dua tingkat.

Suite keluarga pula mempunyai bilik mandi luas dengan tab mandi.

Setiap bilik direka dengan tona kebiru-biruan dengan hiasan bertemakan pesisir pantai.

Dengan ciri mesra keluarga, hotel tersebut juga menempatkan kolam kanak-kanak yang menampilkan gelongsor air, selain menyediakan kolam renang sesuai buat warga dewasa.

Kemudahan lain termasuk gim yang dibuka 24 jam, yang turut menempatkan bilik wap yang membantu tetamu bertenang setelah giat bersenam.

Menurut jurucakap Sheraton Johor Bahru, makanan yang disaji di hotel tersebut menggunakan bahan halal, dan hotel itu masih dalam proses mendapatkan sijil halal.

Tetamu yang datang bagi tujuan perniagaan juga mempunyai pilihan ruang acara seluas 2,295 meter persegi, termasuk dewan besar yang boleh menampung sehingga 1,400 tetamu serta bilik mesyuarat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg