Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu aktif bersenam lebih bertenaga bermain dengan anak

Turut dapat ketepi masa berinteraksi dengan rakan atau pasangan
Jan 23, 2025 | 5:30 AM
Cik Shahirah Arshad mula ke gim bersama suaminya, Encik Zhou Yansheng, pada pertengahan 2024 dan kini bersenam di sana sekitar tiga kali seminggu. 
Cik Shahirah Arshad mula ke gim bersama suaminya, Encik Zhou Yansheng, pada pertengahan 2024 dan kini bersenam di sana sekitar tiga kali seminggu.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebelum menimang cahaya mata, Cik Shahirah Arshad aktif bersukan seperti bermain bola jaring dan berlari anak.

Namun semua kegiatan itu beliau ketepikan setelah hamil pada 2014 dan kemudian sibuk menguruskan anak serta membangunkan kerjaya dalam sektor perbankan.

Memandangkan tiga anak perempuannya kini sudah besar – berumur 10, tujuh dan lima tahun – dan beliau tidak lagi bekerja, Cik Shahirah mempunyai lebih banyak masa untuk dirinya.

Rutin mingguannya sejak kebelakangan ini ialah bermain bola jaring dengan sekumpulan ibu setiap Khamis dan bersenam di gim sekitar tiga kali seminggu.

“Saya meluangkan masa bermain bola jaring ketika anak-anak berada di sekolah. Untuk ke gim pula, kadangkala saya akan tinggalkan anak-anak selama satu jam sahaja bersama ibu dan pembantu saya di rumah ataupun saya pergi ke gim apabila anak-anak di sekolah,” kata Cik Shahirah, 40 tahun.

Selain mendapati dirinya menjadi semakin bertenaga untuk bermain bersama anak-anak setelah mula bersenam, Cik Shahirah berkata kegiatan sukan yang disertai memberinya peluang berkawan dengan kaum ibu yang mempunyai gaya hidup serupa dengannya.

“Apabila saya baru berhenti kerja, saya berasa keseorangan kerana rakan-rakan lain sibuk bekerja. Saya banyak meluangkan masa dengan keluarga sahaja. Tanpa saya sedar, saya berasa tertekan kerana kurang bersosial,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa pada 2021.

Cik Shahirah mula bermain bola jaring pada akhir 2022 selepas langkah kawalan pergerakan Covid-19 dilonggarkan.

Ketiga-tiga anaknya juga sudah mula ke sekolah pada sebelah pagi, memberinya banyak masa lapang untuk diisi.

“Saya diperkenalkan kepada pasukan bola jaring Vybe Netball pada 2023. Saya berasa selesa dengan anggota pasukan itu yang kebanyakan mereka suri rumah seperti saya yang menghentikan kerjaya masing-masing demi berkorban masa membesarkan anak-anak.

“Kami bertemu sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk bermain bersama. Selain menyihatkan badan, saya juga dapat bertemu dengan ibu-ibu lain untuk berkongsi pendapat, berkongsi tentang apa sahaja dan memberi sokongan moral antara satu sama lain,” katanya.

Cik Shahirah Arshad (kanan) bermain bola jaring bersama sekumpulan ibu setiap minggu.
Cik Shahirah Arshad (kanan) bermain bola jaring bersama sekumpulan ibu setiap minggu. - Foto GEMS MOVEMENT

Sementara itu, Cik Shahirah, yang mula ke gim bersama suaminya, Encik Zhou Yansheng, sejak pertengahan 2024, juga mendapati hubungan mereka menjadi lebih erat kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mengekalkan badan yang cergas.

Beliau, yang sebelum itu tidak pernah cuba mengangkat berat, mencekalkan hati untuk cuba melakukannya dengan sokongan suami.

Beliau juga ke gim kerana khuatir tentang keadaan dirinya setelah banyak membaca artikel mengenai kehilangan jisim otot di kalangan individu yang berumur 40 tahun ke atas.

“Memandangkan anak-anak masih kecil, saya perlukan badan yang cergas agar dapat turut bertenaga seperti mereka. Oleh itu, saya mengambil keputusan mengikuti program gim ini. Saya dan suami pun merebut peluang ini untuk meluangkan masa bersama sambil bersenam. Inilah ‘couple-time’ kami,” kata Cik Shahirah.

“Saya berasa semakin terdorong untuk bersenam di gim apabila melihat perkembangan saya menjadi lebih kuat dan sihat. Pada mulanya, saya akan termengah-mengah apabila mengikuti program gim tetapi kini, saya berasa lebih bersemangat dan tidak cepat letih,” tambahnya.

Apabila keluar bersukan, Cik Shahirah tidak menafikan mengalami ‘mom-guilt’ iaitu keadaan rasa serba salah yang biasa dialami golongan ibu kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab penuh.

“Apabila saya ke gim pada sebelah petang, rasa bersalah memang menyelubungi diri kerana saya pergi pada waktu makan anak-anak. Mujur pembantu dan ibu saya banyak menolong menjaga anak-anak apabila saya pergi seketika,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg