Selepas kembali membuka akaun Instagram (IG) miliknya, ibu penyanyi dan pelakon kontroversi asal Singapura, Aliff Aziz, iaitu Siti Hafiza Basharahil, berkongsi bahawa beliau menerima ratusan pesanan berbaur kebencian daripada warganet di laman sosial.
Bagaimanapun, Siti Hafiza berkongsi menerusi hantaran di IG pada 18 Jun bahawa beliau memilih untuk memadam dan menyekat pemilik akaun yang menghantar pesanan tidak bermanfaat kepadanya.
“Masya-Allah, tabarakallah setiap hari saya terima beratus-ratus pesanan langsung atau ‘Direct Message’ (DM) berunsur kebencian daripada ‘cyber troopers’ (kelompok warga siber) tegar.
“Alhamdulillah, saya tidak baca, hanya terus klik, ‘block’ (sekat) dan ‘delete’ (padam). Kasihan sebab mereka bersungguh menulis maki hamun, mereka pasti penat,” tulisnya dalam hantaran yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun Siti Hafiza, yang mengaktifkan semula akaun IG miliknya selepas selesainya kes perceraian antara anaknya, Aliff dengan Bella Astillah, berkata beliau memaafkan mereka yang berbuat demikian.
“Tapi tidak mengapa... Saya maafkan sebab mereka tidak tahu mereka seperti seekor lembu yang dicucuk hidung, tetapi pastinya mereka ambil tahu atau hiraukan kami sebab mereka meluangkan banyak masa dan tenaga pada kami sekeluarga,” katanya.
Siti Hafiza berkata beliau terdetik untuk membuat perkongsian selepas menerima pesanan positif daripada seorang pengikutnya.
“Allah ilhamkan untuk terbaca DM seorang wanita ini. Allahuakbar ramai lagi insan-insan hebat yang mempunyai akal waras untuk berfikir dan menjaga adab, alhamdulillah,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Hafiza memilih untuk menutup ruangan komen di hantaran tersebut.
Pada 14 Jun, selepas hampir dua bulan menyahaktif akaun IG, Siti Hafiza kembali aktif.
Menerusi hantaran pertama yang dibuat, Siti Hafiza memanjatkan kesyukuran apabila urusan mereka sekeluarga dipermudahkan, dipercayai berkaitan kemelut rumah tangga anaknya, yang berakhir dengan lafaz cerai talak satu.
Pada 11 Mac, Bella memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara fast track (laluan segera) atas alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Pada 13 Jun pula, Bella dan Aliff sah bercerai talak satu di hadapan, Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, enam tahun, dan Ara Adreanna, tiga tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg