Ketika berumur tujuh tahun, Maryam As-Sofiyyah Muhammad Zulhilmi membuat kemunculan pertamanya dalam podcast Oops! Bil Arabiyya yang dihoskan ibunya, Cik Mawaddah Ismail.

Dalam episod 20 minit yang boleh ditonton di YouTube itu, kanak-kanak tersebut menjawab pelbagai soalan yang diajukan dalam bahasa Arab dengan lancar.

Di Instagram, ada banyak video ringkas yang antara lain memaparkan Maryam berbual dalam bahasa Arab, Inggeris dan Melayu, atau yang menunjukkan dia belajar perkataan Arab baru daripada ibunya.

Kanak-kanak yang kini berumur lapan tahun itu kelihatan selesa berada di depan kamera dan bercakap ke dalam mikrofon.

Apakan tidak.

Dia telah didedahkan kepada dunia ciptaan kandungan bagi laman media sosial syarikat pendidikan dan penerbitan, Arabic Anonymous, yang diasaskan ibunya sejak 2019.

Dua adik perempuannya yang berumur tujuh dan lima tahun pun terlibat sama.

Namun, walaupun anak-anaknya sering muncul dalam talian, Cik Mawaddah, 39 tahun, berkata orang ramai masih tidak tahu apakah warna dan makanan kegemaran mereka atau apakah hobi dan kegiatan yang mereka suka lakukan.

“Orang ramai tidak tahu kerana kami tidak berkongsi tentang perkara itu. Kami tidak berkongsi secara berlebihan, dan kami tidak berkongsi semuanya. Saya amat tegas dengan peraturan ini,” kata lulusan ijazah kepujian dalam pendidikan awal kanak-kanak itu.

“Saya cuma berkongsi kandungan yang selari dengan fokus syarikat saya iaitu bahasa Arab dan Al-Quran, kerana ia ditulis dalam bahasa Arab. Sekali-sekala, saya kongsi kandungan berkaitan membesarkan anak-anak,” tambahnya.

Menurut Cik Mawaddah, yang mendapat pendidikan bahasa Arab di Universiti Mishkah di Amerika Utara, beliau mula menghasilkan kandungan untuk media sosial secara semula jadi dan tanpa dirancang.

Bekas naib pengetua di tadika masjid itu bermula dengan berkongsi perjalanannya menghasilkan sumber pembelajaran bahasa Arab untuk pelajar madrasah yang membawa kepada penubuhan Arabic Anonymous.

Beliau turut berkongsi perjalanannya membesarkan anak-anak dan pengalamannya mengajar mereka bahasa Arab melalui permainan dan sesi bercerita.

Kemudian anak-anaknya pun terlibat sama dalam menghasilkan kandungan, namun video dan gambar yang memaparkan mereka bukanlah menjadi kandungan utama di media sosial Arabic Anonymous.

“Anak-anak saya sememangnya berada dalam persekitaran perniagaan ini. Jadi, daripada menghalang mereka, saya biarkan mereka turut serta sebab mereka sendiri yang mahu,” kata ibu tunggal itu.

“Mereka bukan pencipta kandungan utama, tetapi apabila mereka terlibat, mereka diberitahu tentang isi kandungan itu, dan apa tujuannya.

“Mereka tahu yang kandungan yang kami cipta dikongsi secara awam dan ditonton ramai orang,” tambahnya.

Menurut Cik Mawaddah, pemahaman itu memberi anak-anaknya motivasi untuk menjadi lebih baik dalam bahasa Arab dan juga dalam pelajaran mereka secara keseluruhan.

Beliau juga mendapati melalui kegiatan mencipta kandungan, anak-anaknya telah meraih keyakinan bertutur dan kemahiran berkomunikasi, serta boleh menyesuaikan diri dengan baik.

Dalam melibatkan anak-anaknya dalam menghasilkan kandungan, Cik Mawaddah berkata beliau sentiasa mengambil kira kesediaan dan kerelaan mereka.

Cik Mawaddah menekankan yang anak-anaknya tidak pernah dipaksa untuk menyertai sesuatu yang mereka tidak mahu lakukan.

Beliau juga sentiasa memastikan anak-anaknya tidak dirakam atau diambil gambar dalam keadaan yang tidak sesuai.

“Saya juga tidak memuat naik gambar atau video mereka sedang menangis, berasa kecewa atau marah kerana bagi anak-anak saya, itu adalah aib mereka dan mereka tidak suka ia dikongsi dengan orang ramai,” kata Cik Mawaddah yang mempunyai studio rakaman di Ang Mo Kio.

“Apabila mereka semakin membesar, mereka lebih peka tentang perkara yang ingin dikongsikan dan perkara yang tidak mahu dikongsikan, dan mereka akan menyatakannya secara terus terang. Oleh itu, kini saya sentiasa meminta kebenaran mereka terlebih dahulu,” tambahnya.

Seorang lagi pencipta kandungan, Cik Dina Mariyati, juga elak daripada berkongsi detik-detik memalukan atau peribadi melibatkan anaknya di laman Instagram yang beliau kendalikan, Night Owl Baby.

Di laman itu, Cik Dina, 33 tahun, memuat naik kandungan berkaitan kegiatan untuk kanak-kanak, tempat mesra keluarga, pelancongan dan gaya hidup.

Banyak kandungan di laman Instagram itu memaparkan anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, yang berumur lima tahun.

Pencipta kandungan, Cik Dina Mariyati, sering memaparkan anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, dalam laman Instagram yang dikendalikannya, ‘Night Owl Baby’.
Pencipta kandungan, Cik Dina Mariyati, sering memaparkan anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, dalam laman Instagram yang dikendalikannya, ‘Night Owl Baby’. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM NIGHT OWL BABY

“Sebagai seorang ibu, saya suka berkongsi perkara yang saya rasa berguna untuk keluarga lain, terutama kegiatan keluarga, tempat untuk dikunjungi dan pengalaman harian kami.

“Lama kelamaan, lebih ramai orang mengikuti akaun Instagram saya untuk mendapatkan saranan, dan jenama pun menghubungi kami untuk menjalinkan kerjasama,” kata suri rumah itu.

Cik Dina berkata anaknya terlibat dalam mencipta kandungan secara semula jadi kerana mereka meluangkan banyak masa lapang dengan meneroka tempat baru bersama.

Lama kelamaan, Dhefin suka menjadi sebahagian daripada video yang dihasilkan. Dia suka berada di depan kamera, manakala Cik Dina pula lebih suka berada di belakang kamera.

“Pada usia lima tahun, saya rasa dia masih belum dapat memahami sepenuhnya skala media sosial atau apa ertinya apabila sesuatu yang dikongsikan boleh ditonton oleh ramai orang.

“Saya terangkan kepadanya dengan cara yang mudah, bahawa kami menghasilkan video dan berkongsi pengalaman kami dengan keluarga lain. Saya juga sentiasa tunjukkan kepadanya video yang telah siap selepas saya memuat naiknya, dan dia seronok menontonnya,” kata Cik Dina.

Sebelum menerima sesebuah kempen, Cik Dina Mariyati akan pertimbangkan sama ada ia sesuai daripada segi umur, selamat dan adalah sesuatu yang anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, akan benar-benar nikmati.
Sebelum menerima sesebuah kempen, Cik Dina Mariyati akan pertimbangkan sama ada ia sesuai daripada segi umur, selamat dan adalah sesuatu yang anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, akan benar-benar nikmati. - Foto ihsan DINA MARIYATI

Menurut Cik Dina, apabila kolaborasi dengan jenama menghendaki Dhefin dipaparkan, beliau tidak memaksa kanak-kanak itu untuk mengambil bahagian.

Beliau akan tanya sama ada Dhefin mahu terlibat dalam video itu, dan jika dia tidak mahu melakukan rakaman, Cik Dina akan menunggu hingga dia bersedia.

“Sebelum menerima sesebuah kempen, saya akan pertimbangkan sama ada ia sesuai daripada segi umur, selamat dan adalah sesuatu yang anak saya akan benar-benar nikmati.

“Saya juga akan tanyakan sama ada dia mahu mengambil bahagian. Bagi saya, adalah penting untuk dia menikmati proses itu supaya ia tidak rasa seperti satu tugas.

“Pada usia ini, dia mungkin belum faham kesan jangka panjang berada di dalam talian, jadi ia masih menjadi tanggungjawab saya sebagai ibu untuk membuat keputusan teliti untuknya,” kata Cik Dina.

Walaupun anaknya sering muncul dalam kandungan yang beliau hasilkan, Cik Dina tegas berpendirian bahawa tidak semua bahagian anaknya perlu dikongsi dalam talian.

“Saya elak berkongsi detik memalukan, terutama yang akan membuatnya rasa tidak selesa apabila dia semakin besar. Saya juga amat berhati-hati tentang berkongsi maklumat peribadi yang boleh menjejas privasi atau keselamatannya.

“Semakin anak saya besar, saya mahu dia mempunyai lebih banyak hak untuk menentukan apa yang saya boleh dan tidak boleh kongsi tentang dirinya,” kata Cik Dina.

Berkongsi secara ringkas tentang proses menghasilkan kandungan bersama Dhefin, Cik Dina berkata rakaman biasanya dilakukan ketika beliau dan anaknya itu sedang melakukan kegiatan atau mengunjungi sesebuah tempat bersama.

Cik Dina memastikan ia tidak menjejas waktu sekolah, rehat dan masa keluarga. Kerja lain seperti perancangan dan menyunting video dilakukan oleh Cik Dina selepas selesai rakaman.

Beliau berkata melibatkan Dhefin dalam mencipta kandungan telah memberi kanak-kanak itu banyak pengalaman baru serta peluang mengunjungi tarikan berbeza, mencuba kegiatan baru, melancong dan meneroka perkara baru.

“Ia juga membantu meningkatkan keyakinan dirinya. Dia agak pemalu apabila berdepan dengan orang yang tidak dikenali, tetapi saya perasan dia semakin selesa mencuba perkara baru dan meluahkan dirinya.

“Paling penting, saya mahu kegiatan menghasilkan kandungan ini kekal sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan kami boleh lakukan bersama, bukannya sesuatu yang dia rasa terpaksa untuk lakukan,” kata Cik Dina.

“Ia juga membantu meningkatkan keyakinan dirinya. Dia agak pemalu apabila berdepan dengan orang yang tidak dikenali, tetapi saya perasan dia semakin selesa mencuba perkara baru dan meluahkan dirinya. Paling penting, saya mahu kegiatan menghasilkan kandungan ini kekal sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan kami boleh lakukan bersama, bukannya sesuatu yang dia rasa terpaksa untuk lakukan.”
Cik Dina Mariyati, pencipta kandungan yang mengendalikan laman Instagram, ‘Night Owl Baby’.