Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu bapa jadi teladan penumpang bas peka, berhemah
Ibu bapa jadi teladan penumpang bas peka, berhemah
Ada dua perkara berkaitan pengangkutan awam yang bermula dan berakhir pada September yang menarik perhatian saya sebagai ibu dengan anak-anak kecil.
Pertama, mulai 23 September, penumpang yang memainkan muzik dengan kuat atau meletakkan kaki di atas tempat duduk boleh didenda hingga $500.
Kedua, percubaan daya usaha, First to Board, First to Use, oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) selama enam bulan berakhir pada September.
Di bawah inisiatif itu, ruang keutamaan dalam 10 perkhidmatan bas boleh digunakan ibu bapa dengan anak-anak kecil dalam kereta sorong atau stroller, pengguna kerusi roda dan pengguna alat bantuan mobiliti pada dasar ‘siapa cepat, dia dapat’.
LTA sedang mengumpul maklum balas tentang inisiatif itu yang menurutnya bertujuan menjadikan pengangkutan awam lebih bersifat terangkum.
Apabila keluar bersama anak-anak, saya dan suami suka membawa mereka menaiki bas berbanding teksi.
Anak-anak pun suka menaiki bas. Mereka dapat mengimbas kad EZ-Link, mengucapkan helo kepada kapten bas dan menekan loceng.
Kalau dapat duduk di kerusi paling depan di dek atas, memang mereka gembira.
Namun, bagi saya dan suami, ia tidak selalu seseronok itu.
Di dalam bas, kami seperti rekod rosak kerana asyik mengulangi peringatan.
Jangan buat bising. Jangan berdiri di atas kerusi.
Jangan tekan loceng berkali-kali. Jangan letak kaki di atas kerusi depan.
Walaupun memenatkan, peringatan berulang kali ini penting kerana anak-anak perlu diajar sejak kecil yang pengangkutan awam adalah ruang yang dikongsi bersama.
Pengguna perlu bersikap bertimbang rasa ketika menggunakannya supaya semua orang dapat berada dalam sekitaran yang selesa dan menenangkan dalam perjalanan ke destinasi masing-masing.
Harap-harap, apabila anak-anak menaiki bas sendirian kelak, mereka dapat menjadi pengguna yang berhemah.
Satu lagi perkara yang agak mendatangkan tekanan bagi saya dan suami ketika menaiki bas adalah apabila kami menggunakan kereta sorong.
Kami cuba mengelak menaiki bas ketika waktu sibuk bagi mengurangkan kesesakan di dalam bas.
Lagipun, jika ada ramai penumpang di dalam bas, anak-anak nanti tidak ada tempat duduk.
Kami tidak mengharapkan penumpang lain untuk bangun dan memberi anak-anak kami tempat duduk mereka.
Selain itu, ruang untuk meletak kereta sorong pun nanti terhad.
Jika kereta sorong kosong, kami boleh melipatnya.
Tetapi jika anak kami sedang tidur di dalamnya, ia akan memakan tempat untuk sekurang-kurangnya tiga orang dewasa berdiri.
Jika ada pengguna berkerusi roda, kami memang bersedia melipat kereta sorong untuk memberi laluan.
Kami sedar pengguna kerusi roda lebih memerlukan ruang keutamaan itu.
Sebaliknya bagi kami, kereta sorong sekadar satu kemudahan untuk mengelakkan keletihan lengan.
Sejauh ini, saya belum lagi melihat ada penumpang berebut ruang tersebut di dalam bas.
Cuma saya pernah melihat dua orang kurang upaya yang menggunakan kerusi roda tidak dapat menaiki bas bersama-sama kerana kekurangan ruang.
Hanya seorang dapat naik, manakala seorang lagi tertinggal di perhentian bas.
Mereka berjanji untuk berjumpa di destinasi nanti.
Bagi saya, apabila kita menggunakan pengangkutan awam, kita perlu peka akan sekitaran kita.
Kita boleh fikirkan, apakah yang boleh kita lakukan untuk memudahkan orang lain?
Ia bukan sahaja tentang melipat kereta sorong, malah tentang memimpin kanak-kanak kecil, dan orang tua, ke tempat duduk agar mereka tidak terjatuh apabila bas mula bergerak.
Ia tentang membantu seorang ibu yang bingung bagaimana menolak keluar kereta sorong apabila bas berhenti jauh dari perhentian bas.
Ia mengenai memberi tempat duduk kepada warga emas yang terketar-ketar, atau bapa yang mendukung bayi.
Ia tentang meletakkan beg dan bakul pasar dengan teratur bagi memaksimumkan ruang.
Ia mengenai menghulurkan bantuan dan bertindak tanpa perlu diminta atau disuruh.
Saya dan suami telah banyak kali mendapat bantuan daripada penumpang lain yang tidak dikenali.
Saya yakin ramai penumpang bas peka dan suka menolong.
Cuma, saya khuatir inisiatif ‘siapa cepat, dia dapat’ LTA mungkin membuat keadaan lebih mencabar untuk pengguna berkerusi roda jika pengguna kereta sorong berkeras menuntut hak mereka.
Tetapi mengenai denda $500, saya amat mengalu-alukannya malah berharap ia dapat diluaskan kepada mereka yang berbual dengan kuat di telefon menggunakan pembesar suara!