Mahu jadi ibu bapa yang lembut atau tidak? Itulah persoalannya.

Kini terdapat begitu banyak kontroversi tentang keibubapaan lembut atau ‘gentle parenting’.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan, dan tidak dimaksudkan, dengan keibubapaan lembut?

Tajuk berita terkini yang mendapat perhatian antarabangsa secara provokatif memberitahu kita tentang seorang kanak-kanak kecil yang menyebabkan sebuah pesawat tergendala kerana mereka enggan duduk di tempat duduk dan memasang tali pinggang keselamatan.

Adakah ini kes keibubapaan lembut yang tersasar atau sekadar seorang kanak-kanak yang mengalami serangan panik?

Tiada siapa tahu, tetapi kejadian itu pastinya mencetuskan imaginasi dan perdebatan sengit, termasuk dalam kalangan ibu bapa.

Pada asasnya, keibubapaan lembut yang sebenar adalah pendekatan yang menggabungkan kemesraan emosi yang tinggi dengan penetapan had yang jelas.

Pendekatan ini berasaskan rangka kerja psikologi keibubapaan autoritatif. Tetapi apakah maksudnya?

Kajian perkembangan yang kukuh selama beberapa dekad menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang mengimbangi kemesraan emosi dengan had yang jelas dan konsisten berkembang dengan baik.

Mereka mencapai hasil yang jauh lebih baik dalam perkembangan emosi, kawal selia kendiri serta perkembangan sosial dan kognitif mereka.

Imbangi kemesraan dan had

Untuk benar-benar memahami konsep ini, kita perlu melihatnya dalam konteks sejarah.

Pandangan terhadap keibubapaan sebagai kata kerja aktif merupakan fenomena yang agak baharu.

Seperti yang diterokai dengan cemerlang oleh Alison Gopnik dalam bukunya pada 2016, ‘The Gardener and the Carpenter’, membesarkan anak dahulu hanya dilihat sebagai sesuatu yang dilakukan.

Ia berlaku secara semula jadi, dengan sokongan kuat daripada masyarakat yang lebih luas.

Namun, sekitar 1970-an, perubahan dinamik tenaga kerja dan perubahan masyarakat mengubah keibubapaan menjadi satu kata kerja aktif yang penuh tekanan.

Muncullah buku panduan berasaskan pandangan pakar, yang mengubah pemikiran kolektif ramai ibu bapa – daripada mempercayai naluri kita sebagai orang dewasa yang responsif, kepada kepercayaan cemas bahawa keibubapaan mesti dilaksanakan dengan cara yang tepat.

Dari segi biologi dan sejarah, manusia berkembang dalam ekosistem apabila tanggungjawab membesarkan anak dikongsi secara kolektif.

Hari ini, kita telah menyingkirkan masyarakat tersebut, menyebabkan penjaga yang terasing sukar tidur dan bimbang sepanjang masa.

Tiada had akan takutkan anak

Menurut kajian perkembangan Barat selama beberapa dekad, apa yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk berkembang dengan baik adalah gabungan tindak balas yang tinggi dan struktur yang tinggi.

Kanak-kanak memerlukan sempadan yang boleh dijangka.

Apabila kanak-kanak berusia empat tahun diberikan kuasa – menentukan waktu mereka tidur, sama ada mereka memakai tali pinggang keselamatan atau sentiasa berunding tentang rutin harian – perkara itu sebenarnya amat menakutkan mereka.

Had yang boleh dijangka harus diketahui dan dibincangkan, tetapi ia tidak boleh sekali-kali dirunding apabila melibatkan keselamatan.

Di samping had yang tegas ini, pengesahan emosi amat penting.

Kanak-kanak perlu pengalaman dalaman mereka diakui tanpa orang dewasa meremehkan rasa takut mereka dengan berkata, “Jangan takut” atau menjadikan perasaan marah mereka sesuatu yang memalukan dengan berkata, “Jangan berkelakuan begitu”.

Maksud ‘kawalan bersama’

Keseimbangan ini merupakan asas kepada pengawalan bersama.

Sistem saraf kanak-kanak pada asasnya masih belum matang, dan sistem saraf inilah yang mencetuskan pengaktifan otak yang mendorong tingkah laku.

Oleh itu, kanak-kanak kecil memerlukan orang dewasa yang tenang untuk “meminjamkan ketenangan mereka” bagi menstabilkan sistem fisiologi kanak-kanak.

Salah satu nasihat keibubapaan terbaik yang ada adalah menilai emosi sendiri sebelum menyatakan walau sepatah perkataan kepada kanak-kanak yang sukar mengawal emosi.

Bukti empirikal yang menyokong pendekatan ini adalah kukuh.

Pada 1960-an, ahli psikologi, Cik Diana Baumrind, menjalankan kajian asas yang menjejaki hasil jangka panjang pelbagai gaya keibubapaan.

Beliau membandingkan gaya keibubapaan autoritarian – yang diibaratkan oleh penulis Barbara Coloroso sebagai struktur ‘tembok batu’ yang tegar – dengan gaya permisif yang terlalu berlembut, serta sikap mengabaikan anak secara terang-terangan.

Sebagai contoh, ibu bapa permisif – yang cenderung memanjakan – seolah-olah hanya merayu, “Jangan masukkan kucing dalam ketuhar gelombang mikro ya, sayang?

Berkali-kali, gaya yang membawa hasil terbaik untuk kededua ibu bapa dan kanak-kanak adalah keseimbangan autoritatif: had yang tegas digandingkan dengan tindak balas yang mesra dan rasa hormat yang mendalam terhadap autonomi kanak-kanak.

Bimbingan emosi

Begitu juga, kajian cemerlang ahli psikologi, John Gottman, yang dijalankan 30 tahun lalu menekankan kuasa bimbingan emosi.

Hasil kerjanya menunjukkan bahawa apabila ibu bapa menamakan dan mengesahkan emosi, membantu menyelesaikan masalah ketika mengalami tekanan dan pada masa yang sama mengekalkan had yang tegas dan adil, ia secara dramatik mengurangkan tekanan fisiologi kanak-kanak dan memupuk kecekapan emosi jangka panjang.

Interaksi penuh empati itu tidak menjadikan kanak-kanak lemah.

Sebaliknya, ia membentuk hubungan saraf penting yang diperlukan untuk semua hubungan dan perkembangan kognitif pada masa hadapan.

Melalui kawal selia bersama, kanak-kanak secara beransur-ansur menghayati huraian konflik secara aman.

Mereka mengalami kesukaran mengawal emosi, seorang dewasa yang tenang masuk campur untuk membenarkan emosi itu sambil mengawal tingkah laku, dan belajar bahawa mereka boleh kembali kepada keseimbangan dengan selamat.

Kepekaan yang boleh dijangka itu adalah cara keterikatan yang selamat dibina, yang banyak bergantung pada kitaran sihat dalam bentuk keretakan hubungan yang diikuti oleh pemulihan yang bermakna.

Keibubapaan permisif

Hari ini, sesetengah pakar tingkah laku kanak-kanak percaya apa yang kadangkala kita lihat bukanlah keibubapaan lembut yang sebenar, tetapi peralihan yang cemas kepada “keibubapaan permisif” atau lebih bersikap membiarkan.

Sesetengah penyelidik mengaitkan masalah tingkah laku di sekolah dan cabaran dalam bilik darjah dengan pendekatan keibubapaan permisif – contohnya, jika kanak-kanak menjangkakan rundingan tanpa penghujung kerana konsep asas kuasa orang dewasa telah diabaikan.

Salah faham bahawa kuasa orang dewasa sememangnya bermasalah menuntut tahap kawalan diri yang luar biasa dan mustahil daripada para penjaga.

Sesetengah pakar kesihatan awam mengaitkan jangkaan ibu bapa yang tidak realistik terhadap strategi keibubapaan, antara faktor lain, dengan laporan tentang keletihan melampau dalam kalangan ibu bapa.

Ibu bapa yang ‘cukup baik’

Kita amat perlu kembali kepada nasihat bijaksana ahli psikoanalisis, Encik Donald Winnicott, yang memperkenalkan konsep “ibu bapa yang cukup baik”.

Naratif budaya yang disensasikan bahawa keibubapaan lembut mungkin merosakkan atau memanjakan kanak-kanak pada asasnya adalah palsu.

Sebaliknya, salah tafsir konsep tersebut yang menyebabkan kemudaratan.

Pada akhirnya, seorang dewasa tidak boleh meminta kanak-kanak mengawal diri mereka apabila orang dewasa itu sendiri mengalami kesukaran mengawal emosi.

Jika sistem neurologi seorang kanak-kanak berada dalam keadaan krisis, penting bagi ibu bapa untuk mengetahui bahawa mereka tidak boleh bercakap untuk mengeluarkan anak itu daripada keadaan tersebut.

Kanak-kanak memerlukan sistem saraf ibu bapa yang stabil dan tenang untuk mencari semula keseimbangan mereka.

Dengan menstabilkan keadaan diri sendiri dan meminjamkan ketenangan mereka, ibu bapa memberikan hadiah terbesar yang boleh diberikan oleh seorang penjaga.

Kerana akhirnya, melangkaui manual pakar, buku panduan dan perdebatan dalam talian, setiap kanak-kanak berhak mendapat sesuatu yang digambarkan dengan bijaksana oleh novelis, Toni Morrison, iaitu sekurang-kurangnya seorang dewasa yang matanya bersinar apabila mereka memasuki bilik.

Penulis profesor klinikal alam bidang psikiatri di Universiti McMaster di Canada. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

“Pada akhirnya, seorang dewasa tidak boleh meminta kanak-kanak mengawal diri mereka apabila orang dewasa itu sendiri mengalami kesukaran mengawal emosi. Jika sistem neurologi seorang kanak-kanak berada dalam keadaan krisis, penting bagi ibu bapa untuk mengetahui bahawa mereka tidak boleh bercakap untuk mengeluarkan anak itu daripada keadaan tersebut. Kanak-kanak memerlukan sistem saraf ibu bapa yang stabil dan tenang untuk mencari semula keseimbangan mereka. Dengan menstabilkan keadaan diri sendiri dan meminjamkan ketenangan mereka, ibu bapa memberikan hadiah terbesar yang boleh diberikan oleh seorang penjaga.”
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti