Murid cemerlang terima anugerah atas kejayaan imbangi pelajaran dan sukan
Murid cemerlang terima anugerah atas kejayaan imbangi pelajaran dan sukan
Seramai 518 kanak-kanak, belia raih manfaat daripada NeuGen Fund – badan kebajikan sokong banduan, bekas pesalah dan keluarga
Ketika kebanyakan murid sudah dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berehat selepas tamat sekolah, Danny (bukan nama sebenar) pula memperuntuk perjalanan selama kira-kira sejam untuk menghadiri latihan bola sepak di kelab bola sepaknya.
Rutin itu bukan sahaja diulangi lima hari seminggu, malah murid Darjah 6 itu juga berjaya mengimbangi komitmen latihannya dengan tumpuan terhadap pelajaran.
Kecemerlangan tersebut merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pemilihan Danny sebagai salah seorang daripada 518 kanak-kanak dan belia yang menerima Dermasiswa dan Anugerah Geran Buku NeuGen Fund bagi 2026.
Danny, 12 tahun, turut dipilih sebagai antara 24 penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang.
“Saya rasa bersyukur kerana anugerah ini boleh menampung kos pengangkutan, makanan dan keperluan saya.
“Ia membantu kerana saya perlu menaiki MRT untuk ulang-alik dari kelab bola sepak saya,” terangnya.
NeuGen Fund merupakan badan kebajikan yang menyokong banduan dan bekas pesalah, serta keluarga mereka.
Dermasiswa dan geran buku yang berjumlah lebih $180,000 itu dianugerahkan kepada anak banduan dan bekas pesalah daripada keluarga berpendapatan rendah, meliputi peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.
NeuGen Fund, yang ditubuhkan pada 2018, bakal bergabung dengan Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos) serta Dana Reben Kuning, bagi membentuk Yellow Ribbon Cares (YR Cares), sebuah badan amal berstatus Institusi Bertaraf Awam (IPC), yang dijangka beroperasi mulai 1 April 2026.
Menurut Danny, dia akan berlatih di kelab bola sepaknya setiap Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad selama sekitar dua jam, dan kemudian hanya pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam.
Usaha gigih Danny dalam bola sepak dan bidang akademik buahkan hasil
Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 1 Februari semasa majlis anugerah dermasiswa dan geran buku tersebut di Just BrewIN Cafe di Race Course Road, peminat pasukan bola sepak Liverpool itu berkongsi bahawa idolanya ialah bintang Brazil, Neymar.
“Saya bermain di sayap kiri dan kanan. Peranan ini memerlukan kepantasan dan banyak tenaga,” ujar Danny.
Minat Danny terhadap bola sepak bermula sejak usia tiga tahun apabila abang sulungnya memperkenalkannya kepada sukan itu.
Minat tersebut kemudian berkembang menjadi komitmen yang lebih serius.
Adik bongsu empat beradik itu berpeluang menyertai kelab bola sepaknya untuk perlawanan di luar negara, termasuk di Bangkok, Sweden dan Malaysia.
“Itu pengalaman yang sangat baik.
“Dalam bola sepak, saya tahu tidak semua perlawanan boleh dimenangi.
“Jika saya kalah, saya rasa okey sahaja sebab saya tahu saya sudah cuba yang terbaik,” katanya.
Difahamkan Danny dipilih oleh kelab bola sepaknya untuk mewakili mereka di luar negara, namun perbelanjaan ditanggung NeuGen Fund di bawah program Kegiatan Selepas Sekolah.
Program kendalian NeuGen Fund itu memberi peluang kepada kanak-kanak dan belia untuk menceburi bidang seperti sukan, muzik, seni dan drama.
Baru-baru ini, Danny turut menerima Dermasiswa Merit Edusave (EMB) Kementerian Pendidikan (MOE).
Di sebalik jadual harian Danny yang tersusun ialah ibunya, Cik A (bukan nama sebenar), yang pada kebanyakan masa membesarkan empat orang anak lelaki seorang diri selama hampir dua dekad.
Menurut Cik A, suaminya telah keluar masuk penjara sejak anak sulungnya berusia kira-kira setahun.
“Membesarkan anak saya memang mencabar. Ada pasang dan surutnya, namun cabaran paling besar ialah dari segi kewangan.
“Membesarkan mereka bukan mudah kerana setiap seorang mempunyai keperluan dan perangai yang berbeza,” jelas Cik A, 48 tahun.
Anak-anaknya berusia 21 tahun, 19 tahun, 18 tahun, dan Danny merupakan anak bongsu berusia 12 tahun.
Cik A kini bekerja sebagai pegawai penyambut tetamu selama kira-kira dua tahun.
“Di tempat kerja yang sebelum ini, gaji saya mencukupi untuk menampung perbelanjaan keempat-empat anak.
“Sekarang, pendapatan saya kira-kira separuh daripada apa yang saya peroleh dahulu,” dedahnya.
Walaupun berdepan kekangan kewangan, Cik A berkata beliau sentiasa berusaha memastikan anak-anaknya mendapat peluang untuk berkembang.
“Saya percaya bantuan memang tersedia dalam masyarakat, cuma kita perlu berani mengambil langkah pertama.
“Kalau kita diam, orang tidak akan tahu kita memerlukan pertolongan. Sebab itu saya sentiasa cuba mencari sokongan untuk anak-anak,” kongsi Cik A.
“
Saya percaya bantuan memang tersedia dalam masyarakat, cuma kita perlu berani mengambil langkah pertama. Kalau kita diam, orang tidak akan tahu kita memerlukan pertolongan. Sebab itu saya sentiasa cuba mencari sokongan untuk anak-anak.
