Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu tiga anak jadikan misinya reka pakaian sukan sopan, nampak hebat dan selesa

Nov 10, 2025 | 11:16 AM
Cik Nawal Alhaddad, 35 tahun, mereka pakaian sukan yang sopan dan membuka Glowco Move, sebuah studio kecergasan khas untuk wanita.
Cik Nawal Alhaddad, 35 tahun, mereka pakaian sukan yang sopan dan membuka Glowco Move, sebuah studio kecergasan khas untuk wanita. - Foto HERWORLD

Dilahirkan dalam keluarga Arab tradisional dengan latar belakang dalam penyelidikan biomedikal, Cik Nawal Alhaddad tidak pernah menyangka bahawa mereka pakaian sukan akan menjadi perancangan kerjaya jangka panjangnya. 

Namun, ibu kepada tiga anak itu telah lama meminati tarian, dibesarkan dalam persekitaran di mana kebanyakan perjumpaan dipenuhi dengan muzik dan pergerakan. 

Minat itu membawa beliau untuk membuka Glowco Move, sebuah studio kecergasan khas untuk wanita yang menawarkan ruang yang selamat untuk bergerak dengan bebas. 

“Pada waktu itu, saya perasan ramai wanita datang bersenam dengan pakaian yang tidak direka untuk pergerakan, terutamanya wanita berhijab yang mempunyai pilihan terhad,” kata wanita berusia 35 tahun itu.

Dari situ, Glowco dilahirkan. Beliau mereka pakaian sukan yang sopan dengan pelbagai pilihan saiz – memberi kuasa kepada wanita untuk bergerak dengan selesa dan yakin.

Berikut wawancara Cik Nawal bersama majalah Her World Singapore

Salah satu hijab yang sesuai untuk sukan.
Salah satu hijab yang sesuai untuk sukan. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Mengapa penting untuk kita sokong jenama pakaian sukan tempatan?

Kami bukan sahaja mereka untuk wanita, kami mereka bersama mereka. Apabila anda menyokong jenama pakaian sukan tempatan, anda menyokong insan-insan yang hidup dan bekerja dalam masyarakat yang sama dengan anda. 

Jenama tempatan lebih dekat dengan masyarakat dan lebih peka terhadap keperluan sebenar orang. Terdapat nilai tersendiri apabila kita tahu siapa yang membuat pakaian kita dan cerita di sebaliknya. 

Selalunya, kualiti, usaha, dan ketulusan hati dalam produk tempatan lebih baik daripada alternatif yang dihasilkan secara besar-besaran.

Jenama tempatan lebih dekat dengan masyarakat dan lebih memahami keperluan sebenar.
Jenama tempatan lebih dekat dengan masyarakat dan lebih memahami keperluan sebenar. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Bagaimana anda mendekati reka bentuk pakaian sukan untuk pelbagai bentuk tubuh?

Kami memberi fokus pada pergerakan, regangan, lapisan, dan kesesuaian, membolehkan wanita memilih pakaian yang sesuai dengan gaya hidup mereka. Pakaian sukan yang sopan seharusnya longgar dan fleksibel secara semula jadi, sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh, termasuk wanita bersaiz besar.

Kami bersemangat untuk membantu wanita merasa lebih bermotivasi, dihargai dan disokong. Kami menguji reka bentuk kami pada mereka – ibu, penari, tubuh lebih berisi, wanita bersaiz kecil, dan lain-lain. Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap wanita merasa diraikan dalam koleksi kami.

Apa yang membezakan jenama anda daripada jenama pakaian sukan lain?

Glowco lebih daripada sekadar jenama. Ia adalah sebuah masyarakat. Memandangkan kami juga mengendalikan studio kecergasan wanita Glowco Move, kami berada dalam kedudukan unik untuk melihat dan mengalami semuanya secara langsung.

Kami berada di kelas, melihat bagaimana koleksi kami berfungsi, bagaimana wanita bergerak dengannya, dan apa yang boleh diperbaiki. Akses langsung kepada masyarakat kami adalah salah satu keistimewaan terbesar kami.

Pakaian sukan yang direka oleh Glowco adalah sopan, longgar, dan fleksibel, serta sesuai untuk pergerakan intensiti tinggi.
Pakaian sukan yang direka oleh Glowco adalah sopan, longgar, dan fleksibel, serta sesuai untuk pergerakan intensiti tinggi. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Apakah bahan utama yang anda guna untuk cipta pakaian sukan?

Kami mengutamakan campuran bahan yang menggabungkan spandeks dengan poliester atau nilon kitar semula. Bahan ini memberikan keseimbangan sempurna antara regangan (stretch), kebolehnafasan (breathability), struktur, dan ketahanan.

Kami juga memberi perhatian yang rapi kepada proses pewarnaan kami, menggunakan pewarna semula jadi atau berasaskan tumbuhan seberapa boleh. 

Kaedah pewarnaan konvensional terkenal dengan pencemaran dan toksik kepada sistem air dan masyarakat, justeru kami komited untuk memilih alternatif yang lebih selamat dan bersih. Malah, hiasan dan aksesori kami seperti zip juga diperbuat daripada bahan kitar semula.

Bagaimana anda gabungkan fabrik dan teknologi yang tingkatkan prestasi dalam reka bentuk anda?

Kami sentiasa meneroka cara untuk menjadikan pakaian sukan sopan lebih pintar, lebih ringan, dan lebih adaptif terhadap keperluan harian wanita. 

Hijab sukan kami adalah contoh inovasi ini. Ia dibuat daripada mesh yang ringan dan mudah untuk bernafas, direka dengan zon aliran udara untuk meningkatkan pengudaraan.

Inovasi dari Glowco di mana hijabnya ringan dan direka dengan aliran udara supaya lebih selesa bagi pemakainya.
Inovasi dari Glowco di mana hijabnya ringan dan direka dengan aliran udara supaya lebih selesa bagi pemakainya. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Apabila berbicara tentang hijab sukan, keselamatan adalah keutamaan. Salah satu cabaran besar yang kami hadapi pada awalnya adalah terlepasnya hijab semasa aktiviti berintensiti tinggi. 

Kami menyelesaikan masalah ini dalam versi 2.0 kami dengan menambah jalur cengkaman silikon terbina di dalam yang memastikan hijab tetap di tempatnya tanpa perlu pin atau pelarasan berterusan. Ia benar-benar menakjubkan.

Apakah nasihat anda kepada seseorang yang bercita-cita untuk menjadi pereka pakaian sukan?

Mulakan dengan langkah yang kecil. Lancarkan satu produk yang benar-benar fokus dan betul. 

Jangan terburu-buru untuk mencipta koleksi penuh jika anda belum menguasai kesesuaian atau fungsinya. 

Yang paling penting, sentiasa dekat dengan pelanggan anda. Berbual dengan mereka, dan gunakan wawasan itu untuk terus berinovasi. 

Di situlah keajaiban sebenar berlaku, di persimpangan antara mendengar dan menyelesaikan masalah dengan penuh pertimbangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg