Dengan bentuk tubuhnya yang sasa, Cik Nur Nadhirah Mohamed Amran mengangkat besi barbel beratus kilo beratnya.
Namun, kekuatan fizikal ini bukan dibina dengan sekelip mata, tetapi berkat usaha gigihnya berlatih di gim sejak lapan tahun lalu.
Ditanya sama ada beliau pernah rasa segan tentang penampilan luarannya yang kelihatan tegap dan berotot, gadis berusia 28 tahun itu berkata:
“Saya rasa naratif tentang kecergasan telah banyak berubah dan orang ramai semakin terbuka menerima jenis tubuh badan berbeza!
“Saya juga telah belajar menerima badan saya yang berotot kekar (muscular) dan bersyukur bahawa ia cerminan kekuatan yang telah saya raih, alhamdulillah.”
Malah dalam pekerjaannya sebagai ahli fisioterapi, latihan untuk membina kekuatan badan penting dan sangat berguna terutama apabila beliau perlu mengangkat pesakit berat di hospital.
Cik Nadhirah mula berjinak-jinak ke gim ketika menuntut di Universiti Queensland, Australia sebagai mahasiswi pada 2018 dan terdedah kepada dunia sukan angkat berat, atau powerlifting.
Powerlifting ialah sukan kekuatan terdiri daripada percubaan mengangkat berat maksimum dalam tiga disiplin atau gaya – angkat bertinggung (squat), juak baring (bench press), dan angkat biasa (deadlift).
Sejak berkecimpung dalam sukan tersebut, beliau telah menyertai beberapa pertandingan, malah pernah mewakili Singapura di peringkat nasional pada 2023 dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia (World Open Classic Powerlifting Championships 2023), menduduki tempat ke-12 bagi kategori wanita terbuka dengan berat badan 84 kilogram ke atas.
Rekod paling berat bagi Cik Nadhirah telah mencecah 200 kilogram (kg).
Menceritakan kembali perjalanannya untuk sampai ke tahap ini, Cik Nadhirah berkata ia bukan mudah untuk mengambil langkah pertama menjejakkan kaki di gim, terutama sebagai wanita berhijab.
“Saya takut sangat akan dipandang serong, lebih-lebih lagi saya berpakaian labuh... saya khuatir orang terfikir, ‘apa mak cik ini sedang buat di sini?’
“Tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa sebenarnya kebanyakan pengguna gim menyambut anda dengan mesra, termasuk kaum lelaki.
“Setiap pengguna gim ada matlamat masing-masing untuk dicapai dan kadangkala mereka akan memberi bantuan atau nasihat,” kongsi anak sulung empat adik-beradik itu.
Memberi panduan, Cik Nadhirah menyarankan mereka yang mahu berjinak-jinak ke gim supaya melakukannya bersama teman atau dengan jurulatih.
Ini agar mereka dapat dibimbing menggunakan peralatan gim dan tidak rasa kekok apabila berada dalam suasana yang kebanyakannya kaum Adam.
Bagaimanapun, beliau menyatakan semakin ramai wanita yang berani ke gim terutama setelah pandemik Covid-19, menjadikan ia suatu perkara yang biasa dan tidak janggal bagi kaum Hawa.
Melebihi keinginannya untuk mewakili wanita Islam berhijab dalam sukan ‘powerlifting’, Cik Nadhirah berkata ini merupakan bentuk ‘pelaburan’ jangka panjang untuk kesihatan dirinya.
“Senaman kardio adalah baik untuk kesihatan jantung anda. Bagaimanapun jika kesihatan jantung anda baik tetapi otot anda lemah, anda tidak akan dapat, contohnya, berdiri dari posisi duduk di kerusi apabila anda lebih tua.
“Anda sebenarnya perlu melatih otot anda agar lebih kuat, supaya anda boleh lakukan kegiatan harian untuk jangka masa yang lama,” katanya.
“
Saya rasa naratif tentang kecergasan telah banyak berubah dan orang ramai semakin terbuka menerima jenis tubuh badan berbeza! Saya juga telah belajar menerima badan saya yang berotot kekar (muscular) dan bersyukur bahawa ia cerminan kekuatan yang telah saya raih, alhamdulillah.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg