Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minat pada tarian sejak kecil bantu reka pakaian sukan sopan buat kaum hawa

Pengasas GLOWco, Nawal Alhaddad, tidak sangka ceburi bidang fesyen
Nov 10, 2025 | 11:16 AM
Nawal Alhadad, Glowco Move
Cik Nawal Alhaddad, 35 tahun, mereka pakaian sukan sopan dan membuka sebuah studio kecergasan khas untuk wanita, GLOWco Move. - Foto HERWORLD

Dilahirkan dalam keluarga Arab tradisional dengan latar belakang dalam penyelidikan bioperubatan, Cik Nawal Alhaddad, tidak pernah menyangka mereka pakaian sukan akan menjadi perancangan kerjaya jangka panjangnya. 

Namun, ibu tiga anak itu telah lama meminati tarian, dibesarkan dalam persekitaran di mana kebanyakan perjumpaan dipenuhi dengan muzik dan pergerakan. 

Minat itu membawa beliau untuk membuka GLOWco Move, sebuah studio kecergasan khas untuk wanita yang menawarkan ruang selamat untuk bergerak bebas. 

“Pada waktu itu, saya perasan ramai wanita datang bersenam dengan pakaian yang tidak direka untuk pergerakan, terutamanya wanita berhijab yang mempunyai pilihan terhad,” katanya yang berusia 35 tahun.

Dari situ, idea untuk mencipta jenama GLOWco dilahirkan.

Beliau mereka pakaian sukan sopan dengan pelbagai pilihan saiz – memberi kuasa kepada wanita untuk bergerak dengan selesa dan yakin, lapor Her World Singapore.

Salah satu hijab yang sesuai untuk sukan.
Salah satu hijab yang sesuai untuk sukan. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Mengapa penting sokong jenama pakaian sukan tempatan?

Kami bukan sahaja mereka untuk wanita, kami mereka bersama mereka.

Apabila anda menyokong jenama pakaian sukan tempatan, anda menyokong individu yang hidup dan bekerja dalam masyarakat yang sama dengan anda. 

Jenama tempatan lebih dekat dengan masyarakat dan lebih peka terhadap keperluan sebenar pengguna. Terdapat nilai tersendiri apabila kita tahu siapa yang membuat pakaian kita dan cerita di sebaliknya. 

Selalunya, mutu, usaha, dan ketulusan hati dalam produk tempatan lebih baik daripada produk yang mungkin dihasilkan secara besar-besaran.

Jenama tempatan seperti GLOWco memahami keperluan sebenar masyarakat lantas mereka produk yang sesuai untuk pengguna.
Jenama tempatan seperti GLOWco memahami keperluan sebenar masyarakat lantas mereka produk yang sesuai untuk pengguna. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Bagaimana mereka bentuk pakaian sukan untuk pelbagai bentuk tubuh?

Kami memberi tumpuan pada pergerakan, regangan, lapisan, dan kesesuaian.

Ini membolehkan wanita memilih pakaian yang sesuai dengan gaya hidup mereka.

Pakaian sukan yang sopan seharusnya longgar dan fleksibel secara semula jadi, sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh, termasuk wanita bersaiz besar.

Kami bersemangat untuk membantu wanita rasa lebih bermotivasi, dihargai dan disokong.

Kami menguji reka bentuk kami pada golongan ibu, penari, mereka dengan tubuh lebih berisi dan wanita bersaiz kecil.

Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap wanita rasa diraikan dalam koleksi kami.

Apakah yang membezakan jenama anda daripada jenama pakaian sukan lain?

GLOWco lebih daripada sekadar jenama. Ia adalah sebuah masyarakat.

Memandangkan kami juga mengendalikan studio kecergasan wanita, GLOWco Move, kami berada dalam kedudukan unik untuk melihat dan mengalami semuanya secara langsung.

Kami berada di kelas, melihat bagaimana koleksi kami berfungsi, bagaimana wanita bergerak dengannya, dan apa yang boleh diperbaiki.

Akses langsung kepada masyarakat kami adalah salah satu keistimewaan terbesar kami.

Pakaian sukan yang direka oleh GLOWco, sopan, longgar, fleksibel, dan sesuai untuk pergerakan senaman berintensiti tinggi.
Pakaian sukan yang direka oleh GLOWco, sopan, longgar, fleksibel, dan sesuai untuk pergerakan senaman berintensiti tinggi. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Apakah bahan utama yang diguna untuk cipta pakaian sukan?

Kami mengutamakan campuran bahan yang menggabungkan spandeks dengan poliester atau nilon kitar semula.

Bahan itu memberikan keseimbangan sempurna antara regangan, kebolehnafasan (breathability), struktur, dengan ketahanan.

Kami juga memberi perhatian rapi kepada proses pewarnaan kami, menggunakan pewarna semula jadi atau berasas tumbuhan seberapa boleh. 

Kaedah pewarnaan konvensional terkenal dengan pencemaran dan toksik kepada sistem air dan masyarakat, justeru kami komited memilih alternatif lebih selamat dan bersih.

Malah, hiasan dan aksesori kami seperti zip juga diperbuat daripada bahan kitar semula.

Bagaimana anda gabung fabrik dan teknologi, tingkatkan prestasi dalam reka bentuk?

Kami sentiasa meneroka cara menjadikan pakaian sukan sopan lebih ringan, dan lebih bersesuaian dengan keperluan harian wanita. 

Hijab sukan kami adalah satu contoh inovasi. Ia diperbuat daripada kain ringan dan mudah bernafas serta direka dengan zon aliran udara untuk meningkatkan pengudaraan.

Inovasi dari GLOWco di mana hijabnya ringan dan direka dengan aliran udara supaya lebih selesa bagi pemakainya.
Inovasi dari GLOWco di mana hijabnya ringan dan direka dengan aliran udara supaya lebih selesa bagi pemakainya. - Foto INSTAGRAM GLOWCO.SHOP

Apabila berbicara tentang hijab sukan, keselamatan adalah keutamaan.

Salah satu cabaran besar yang kami hadapi pada awalnya adalah hijab yang mudah tertanggal ketika si pemakai melakukan kegiatan berintensiti tinggi. 

Kami menyelesaikan masalah ini dalam versi 2.0 kami dengan menambah jalur cengkaman silikon terbina di dalam yang memastikan hijab tetap di tempatnya tanpa perlu pin atau pelarasan berterusan. Ia benar-benar menakjubkan.

Apakah nasihat anda kepada yang bercita-cita jadi pereka pakaian sukan?

Mulakan dengan langkah kecil. Lancarkan satu produk yang benar-benar fokus dan betul. 

Jangan terburu-buru mencipta koleksi penuh jika anda belum menguasai kesesuaian atau fungsinya. 

Yang paling penting, sentiasa dekat dengan pelanggan. Berbual dengan mereka, dan gunakan wawasan itu untuk terus berinovasi. 

Di situlah keajaiban sebenar berlaku, di persimpangan antara mendengar dengan menyelesaikan masalah dengan penuh pertimbangan.

Laporan ini hasil tulisan Cik Lena Kamarudin, Editor Kanan Fesyen di Her World Singapore.

“Kami bersemangat untuk membantu wanita rasa lebih bermotivasi, dihargai dan disokong... Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap wanita rasa diraikan dalam koleksi kami.”
Cik Nawal Alhaddad, Pengasas GLOWco.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg