Idea capal moden tercetus daripada pengalaman kurang selesa semasa Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Idea capal moden tercetus daripada pengalaman kurang selesa semasa Raya

Mar 10, 2026 | 5:30 AM

Idea capal moden tercetus daripada pengalaman kurang selesa semasa Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kaido, capal, capal batik moden
Capal batik moden oleh Kaido direka dengan matlamat memberi keselesaan kepada pengguna yang mungkin sibuk pergi kunjung-mengunjung sepanjang hari sewaktu Hari Raya. - Foto KAIDO

Pengalaman memakai capal tradisional yang kurang selesa sewaktu Hari Raya membuat Encik Zameer Serlan, 35 tahun, sering memilih untuk memakai sandal biasa sahaja apabila pergi kunjung-mengunjung.

“Saya tidak gemar memakai capal kerana terdapat bahagian sepit antara jari kaki. Tapaknya keras dan ia tidak selesa jika dipakai lama. 

“Selain mempunyai tapak kaki berlekuk tinggi (high arch foot), kaki saya turut mudah berpeluh dan ia akan membuat capal itu berbau. Lantas ia pengalaman yang kurang menyenangkan,” kongsinya yang bertugas sebagai ejen hartanah. 

Menyedari kurangnya capal moden yang dapat menyelesaikan masalah itu di pasaran, Encik Zameer tertarik untuk menghasilkan capal yang selesa dan bermutu tinggi. 

Bersama isterinya, pencipta kandungan, Cik Pamela Lee Nur Shuhadah, 26 tahun, mereka mengambil masa selama dua tahun bagi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum menghasilkan capal yang ergonomik bagi para pengguna menerusi jenama Kaido. 

“Saya pula mempunyai tapak kaki leper (flat foot). Kami berdua mempunyai pelapik dalam tapak kasut khas (insole) yang ditempah lantas saya mementingkan fungsi capal itu semasa berbincang,” ujar Cik Pamela.

Mereka mahu mengekalkan ciri tradisi justeru memilih batik sebagai corak utama bagi capal itu.  

“Kami telah ke Indonesia untuk mencari pembuat capal yang sesuai. Pada mulanya, terdapat pelbagai cabaran berbeza. 

“Kami perlu memilih fabrik batik yang lebih tebal dan tahan lasak. Corak yang dipilih juga memainkan peranan yang penting kerana permukaan capal itu tidak terlalu lebar,” kongsi Cik Pamela.

Mereka berdua memilih bahan termoplastik (TPC) bagi tapak capal itu dan ia dilapik dengan suede untuk memberikan tekstur lembut yang diinginkan. 

Setiap capal yang dijahit dengan tangan oleh pembuat kasut di Indonesia itu turut menggunakan bahan khas yang mempunyai teknologi antipeluh.  

Bahan termoplastik (TPC) dipilih bagi tapak capal moden itu dan ia dilapik dengan ‘suede’ untuk memberikan tekstur lembut yang diinginkan. 
Bahan termoplastik (TPC) dipilih bagi tapak capal moden itu dan ia dilapik dengan ‘suede’ untuk memberikan tekstur lembut yang diinginkan.  - Foto KAIDO

“Capal kami menyerap peluh namun ia tidak meninggalkan kesan kotor atau bau yang kurang menyenangkan. Ia akan kering dalam masa dua jam,” tambahnya. 

Selepas empat ujian rekaan berbeza, Encik Zameer dan Cik Pamela berjaya melancarkan jenama Kaido pada 28 Februari lalu.

Terdapat tujuh rekaan unik (Lestari, Bara, Bumi, Ombak, Warisan, Mahkota dan Arah) dalam koleksi pertama tersebut dan ia ditawarkan dalam saiz 41 hingga 45.

Ia berharga $109 bagi sepasang capal. 

Selain mempunyai kedai dalam talian, Kaido turut membuka reruai di restoran Mahmud’s Tandoor yang terletak di Kandahar Street pada setiap Sabtu dalam bulan Ramadan untuk memberi peluang kepada orang ramai mencuba capal itu secara fizikal sebelum membelinya. 

“Kami mahu memastikan mereka benar-benar selesa apabila berjalan dengan capal kami sebelum membelinya,” ujar Encik Zameer. 

Buat masa ini, rekaan Ombak yang berwarna biru merupakan rekaan paling laris dijual dan diminati oleh golongan muda dan lebih berusia. 

“Alhamdulillah, sambutannya amat memberangsangkan dengan ramai pelanggan yang tertarik dengan aspek keselesaannya. 

“Kami tidak sangka ramai wanita yang datang ke reruai kami untuk membelikannya buat pasangan mereka. 

“Mungkin kerana mereka mahukan aksesori menarik yang dapat dipadankan dengan baju Melayu pasangan mereka pada Raya nanti,” cerita Cik Pamela. 

Pasangan itu berharap dapat mengembangkan jenama mereka dengan menghasilkan lebih banyak rekaan capal bermutu tinggi. 

“Setiap rekaan kami melalui perancangan teliti dan direka dengan penuh kasih sayang.

“Buat masa ini, capal batik dikhaskan sebagai produk bermusim namun kami tidak menolak perancangan untuk mempelbagaikan rangkaian produk kami,” tambah Cik Pamela.

Pasangan suami isteri Encik Zameer Serlan (kiri) dan Cik Pamela Lee Nur Shuhadah (kanan) memulakan perniagaan Kaido berdasarkan pengalaman kurang selesa Encik Zameer memakai capal tradisional disebabkan beliau mempunyai tapak kaki berlekuk tinggi.
Pasangan suami isteri Encik Zameer Serlan (kiri) dan Cik Pamela Lee Nur Shuhadah (kanan) memulakan perniagaan Kaido berdasarkan pengalaman kurang selesa Encik Zameer memakai capal tradisional disebabkan beliau mempunyai tapak kaki berlekuk tinggi. - Foto ihsan PAMELA LEE NUR SHUHADAH
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg