Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reka pakaian moden berasas batik demi cinta pada fabrik tradisional

Jan 13, 2026 | 5:30 AM
Sherry See, Utopia, batik moden
Cik Sherry See (kiri) menghasilkan pelbagai pakaian wanita yang menggabungkan kain batik dengan fabrik lain seperti denim dalam satu potongan siluet moden. - Foto UTOPIA

Sejak usia remaja, Cik Sherry See, tertarik dengan warna terang dan sering bereksperimen dengan gaya fesyennya.

Apabila membuat keputusan memulakan perniagaan pakaian wanitanya, Utopia Apparels, pada 2001, beliau mahu menawarkan kelainan kepada pelanggan.  

“Semasa muda, saya sering ke Little India dan Kampong Gelam untuk membeli pakaian kerana sukakan sesuatu yang unik.

“Namun, saya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan butik apabila saya mula beroperasi di sebuah gerai kecil yang terletak di Bugis Village.

“Ibu saya membawa saya ke Hong Kong untuk membeli pakaian secara borong.

“Namun, saya sedar terdapat kedai lain yang juga melakukannya dan kami tidak ada identiti tersendiri. 

“Lantas, saya terfikir untuk melakukan sesuatu dengan pakaian etnik seperti kain batik kerana saya amat tertarik dengan pelbagai motif yang ada,” kongsi Cik See, 45 tahun, kepada Berita Harian (BH).

Menurut Cik See, ketika itu tidak ramai orang yang menggunakan batik dalam potongan baju moden yang sesuai untuk pakaian harian ke pejabat dan menghadiri majlis tertentu. 

“Ketika itu, ramai orang menyangka batik hanya merupakan kain sarung yang dipakai bersama kebaya,” jelasnya yang kini mempunyai tiga cawangan di Arab Street, Parkway Parade dan The Centrepoint.

Menyifatkan dirinya sebagai pereka fesyen secara kebetulan, pada awalnya, Cik See sekadar mahu membuka butik berbekal minatnya dalam bidang fesyen.

Beliau kemudian berekesperimen dengan menghasilkan pelbagai pakaian dengan batik seperti blaus, baju panjang, baju tanpa lengan, skirt dan skorts (seluar pendek potongan skirt) yang kekal menjadi pilihan kegemaran pelanggannya. 

Selain itu, Cik See turut menggabungkan batik dengan fabrik lain seperti denim, linen atau poliester dan sering menghasilkan kain perca daripada kain yang telah dipotong.

“Setiap kain batik dijual dalam sarung berukuran dua meter panjang. Selepas memotong kain untuk membuat pakaian, kain lebihan itu akan dijadikan kain perca.

“Walaupun proses itu merumitkan, ia sesuatu yang unik kerana setiap pakaian akan kelihatan berbeza, seiring dengan prinsip saya untuk tidak menghasilkan setiap rekaan dalam jumlah yang banyak,” cerita Cik See yang mendapatkan kain batik bermutu tinggi dari Indonesia dan Thailand.

Blaus tunik, ‘PingRu D+B Tunic’ ($118) diperbuat daripada fabrik denim dan turut menampilkan ciri kain perca batik yang sesuai untuk ke pejabat atau acara lebih santai.
Blaus tunik, ‘PingRu D+B Tunic’ ($118) diperbuat daripada fabrik denim dan turut menampilkan ciri kain perca batik yang sesuai untuk ke pejabat atau acara lebih santai. - Foto UTOPIA

Ditanya mengapa beliau ingin memperjuangkan seni tradisional itu, Cik See berkata beliau berharap rekaannya dapat membuat generasi muda terus menghayati warisan batik dalam konteks kehidupan masa kini. 

“Saya sering diajukan soalan jika saya mempunyai darah Peranakan sejak saya memulakan perniagaan ini.

“Saya bukan daripada keturunan Peranakan. Bagi saya, dalam kehidupan masyarakat Singapura yang berbilang bangsa, kami sering dipengaruhi dan mengambil inspirasi daripada budaya satu sama lain.

“Golongan muda akan terbuka memakai kain batik dengan potongan siluet sesuai, mengikut rutin harian mereka yang sibuk dan cuaca panas di negara ini,” ujarnya.

Bagi Cik See, tiada istilah ‘peraturan’ dalam dunia fesyen dan orang ramai mempunyai kebebasan menggabungkan ciri tradisional dan moden dalam pakaian mereka yang mencerminkan identiti tersendiri.

Selain batik, Cik See kini turut menggunakan kain sari dan kain manik bersulam India (mirror work) yang dijadikan ceongsam bagi koleksi Tahun Baru Cina yang bakal menjelang. 

‘Diya Mirrowork Cheongsam’ ($118) merupakan baju dengan leher ceongsam, namun, menggunakan kain manik sulam budaya India, sekali gus menggabungkan dua budaya dalam satu pakaian.
‘Diya Mirrowork Cheongsam’ ($118) merupakan baju dengan leher ceongsam, namun, menggunakan kain manik sulam budaya India, sekali gus menggabungkan dua budaya dalam satu pakaian. - Foto UTOPIA

“Bagi saya, dalam kehidupan masyarakat Singapura yang berbilang bangsa, kami sering dipengaruhi dan mengambil inspirasi daripada budaya satu sama lain. Golongan muda akan terbuka memakai kain batik dengan potongan siluet sesuai, mengikut rutin harian mereka yang sibuk dan cuaca panas di negara ini.”
Cik Sherry See, pemilik kedai busana wanita, Utopia Apparels.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg