Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga tempatan galak generasi muda hayati, lestari warisan songket melalui fesyen

Bermula dengan sandal, kini tawar beg dan kardigan songket bagi penuhi permintaan
Jan 13, 2026 | 5:30 AM
Erlina Rahman, Avarcas Singapore, Songket Cardigan, Songket bags,
Pemilik jenama sandal dan busana wanita, Avarcas Singapore, Cik Erlina Rahman, menggayakan kardigan songket dan pelbagai beg songket rekaan beliau yang merupakan usahanya untuk melestarikan warisan songket. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Dalam era serba moden, jenama fesyen tempatan mempelbagaikan cara untuk terus melestarikan fabrik tradisional dalam budaya Melayu seperti kain songket dan batik. Berita Harian (BH) mewawancara dua individu yang menerapkan kain itu dalam pakaian harian generasi kini.

Semasa pandemik Covid-19 melanda Singapura pada 2020, ramai peniaga harus memikirkan cara untuk meneruskan perniagaan mereka.

Perkara itu turut dilalui pemilik kedai sandal, Avarcas Singapore, Cik Erlina Rahman, 42 tahun, yang memilih untuk mempelbagaikan produk perniagaannya dengan menjual beg dan busana wanita. 

“Semua orang ketika itu tidak keluar rumah dan berasa mereka tidak perlu membeli kasut.

“Saya membuat keputusan untuk menjual pakaian kerana saya melihat masih ada yang ingin membelinya.

“Ia turut membuat saya terfikir untuk mempelbagaikan barangan songket saya,” cerita Cik Erlina yang ditemui Berita Harian (BH) di kedainya yang terletak di pusat beli-belah Golden Landmark.

Avarcas Singapore yang bermula pada 2015 dikenali dengan sandal avarca, yang berasal dari Menorca, Sepanyol dan diberi sentuhan Melayu dengan kain songket dijahit pada sandal itu.

Cik Erlina memilih untuk bermula dengan rekaan beg bakul apabila ingin mengembangkan produk songketnya kerana inginkan sesuatu yang versatil dan boleh dipakai ke pelbagai acara. 

“Saya tidak mahu rekaannya kelihatan sesuai hanya untuk majlis tertentu sahaja lantas memilih beg bakul yang santai dan ringkas,” tambahnya yang sering menggayakan beg itu dengan seluar jean. 

Beliau turut berpendapat dengan cara itu, lebih ramai generasi muda akan tertarik untuk menggayakan barangan fesyen yang menggunakan kain songket. 

Ini disebabkan pelanggan muda kini mementingkan pakaian yang praktikal dan boleh digunakan berkali-kali. 

“Generasi muda tahu tentang kewujudan songket cuma mereka mungkin menganggapnya kurang selesa dan tidak praktikal bagi pakaian harian. 

“Mereka perlu melihat bagaimana ia boleh diterapkan dalam fesyen semasa dan kekal versatil,” jelasnya yang menjual beg itu dengan harga $59. 

Beg songket yang kini terdapat dalam tiga variasi (beg bakul, beg kepit dan beg tangan) turut menampilkan tali beg yang boleh dipendek atau ditanggalkan. 

Walaupun kesemua beg itu dijahit di Chiang Mai, Thailand, Cik Erlina memastikan mutu dan jenis songket yang digunakan bersesuaian dengan cita rasa tempatan. 

Beliau turut memilih warna dan corak songket yang pelbagai sambil memastikan tenunan itu dapat dilihat dengan jelas.

Selepas menghasilkan beberapa rekaan beg, Cik Erlina mendapat idea untuk mereka kardigan songket yang mendapat maklum balas positif daripada pelanggan. 

Kardigan songket ($139) boleh dipakai untuk pelbagai acara tidak kira majlis formal atau dalam suasana lebih santai.
Kardigan songket ($139) boleh dipakai untuk pelbagai acara tidak kira majlis formal atau dalam suasana lebih santai. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Beliau hanya membawa masuk kira-kira 10 helai bagi setiap koleksi kardigan songket ($139) yang boleh dipakai oleh kededua lelaki atau wanita.  

“Dahulu, ramai yang akan menempah baju kurung songket khas buat majlis perkahwinan. Selepas itu, baju itu mungkin tidak akan dipakai lagi. 

“Saya mahukan sesuatu yang berguna dan boleh dipakai ke acara lain.

“Kardigan ini sesuai untuk acara formal dan ke pertemuan hujung minggu yang lebih santai,” kongsinya.

Beliau mendapat ilham menggunakan songket dalam rekaannya daripada suaminya yang aktif berdikir barat dan sering memakai pakaian songket untuk persembahan. 

Cik Erlina berpendapat setiap individu bebas untuk bereksperimen dengan fesyen kerana ia umpama cerminan personaliti diri.

Namun, beliau turut memberi panduan bagi mengelak busana yang digayakan kelihatan terlalu menyerlah. 

“Jika saya memakai kardigan songket, saya akan mengelak daripada membawa beg dan memakai sandal songket. 

“Pastikan hanya satu elemen sahaja yang menyerlah supaya ada fokus pada pakaian tersebut,” kongsinya. 

Beliau turut berharap orang ramai dapat membantu dalam menggalak penggunaan songket dalam kalangan generasi muda. 

“Jika ada anak muda memilih untuk pakai songket, kita tidak harus mengejeknya sebaliknya memberi pujian atau galakan. 

“Kalau bukan kita yang ingin melestarikan kain tradisional budaya Melayu ini, siapa lagi?” tambahnya. 

Beg songket jenama, Avarcas Singapore, yang dijual tersedia dalam pelbagai pilihan rona warna menarik dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan tidak kira usia.
Beg songket jenama, Avarcas Singapore, yang dijual tersedia dalam pelbagai pilihan rona warna menarik dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan tidak kira usia. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

“Generasi muda tahu tentang kewujudan songket cuma mereka mungkin menganggapnya kurang selesa dan tidak praktikal bagi pakaian harian.  Mereka perlu melihat bagaimana ia boleh diterapkan dalam fesyen semasa dan kekal versatil.”
Cik Erlina Rahman, pemilik jenama, Avarcas Singapore, yang menjual pakaian moden berasas songket.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg