Menonton opera Teochew, mengikuti gerak tarian Cina dan mempelajari dialek Hokkien.

Itulah antara kegiatan yang boleh dilakukan pengunjung di karnival budaya dan bahasa Cina pada 25 dan 26 April di Punggol Coast Mall.

Karnival itu menandakan pembukaan sambutan SG Chinese FunFest selama tiga minggu hingga 17 Mei yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Kumpulan Media Cina (CMG) SPH Media dengan tujuan menyemarakkan sastera, bahasa dan budaya Cina.

Bagi keluarga yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, ada beberapa program khas yang boleh diikuti di karnival hujung minggu itu.

Keluarga boleh menikmati persembahan opera pendek oleh Nam Hwa Opera dan kemudian naik ke pentas untuk berinteraksi dengan penghibur serta mengalami seni opera Teochew itu sendiri.

Ibu bapa dan kanak-kanak juga boleh menyaksikan persembahan Teater Tarian Cina Singapura dan mempelajari beberapa langkah tarian Cina mudah di atas pentas.

Selain itu, pengunjung berpeluang mempelajari dialek Cina melalui permainan interaktif bersama Singapore Hokkien Huay Kuan dan Teochew Poit Ip Huay Kuan.

Pengunjung juga boleh mencuba pakaian tradisional Cina, ‘hanfu’, serta kostum opera bersama Murong Hanfu dan Nam Hwa Opera.

Keluarga yang mengunjungi karnival itu juga boleh menjadi antara yang terawal mencuba permainan kuiz dalam talian dwibahasa baru yang dibangunkan oleh akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao.

Kuiz itu menguji pengetahuan peserta tentang budaya dan warisan tempatan melalui pengalaman yang menyeronokkan serta interaktif.

Keluarga turut berpeluang mengikuti sendiri pengalaman menjadi penyampai radio, tampil di muka hadapan akhbar dengan tajuk utama peribadi, atau cuba membaca berita di hadapan kamera.

Untuk maklumat lanjut tentang Karnival SG Chinese FunFest, lungsuri pautan, zb.sg/sgcff_en

SEKILAS

Karnival SG Chinese FunFest anjuran Kumpulan Media Cina (CMG) SPH Media

Tarikh: 25 dan 26 April

Tempat: Punggol Coast Mall

Masa: 10 pagi hingga 8 malam

Pelbagai acara untuk pengunjung tidak berbahasa Mandarin, termasuk persembahan opera, sesi pelajari dialek Cina, dan permainan dwibahasa

Maklumat lanjut di pautan, zb.sg/sgcff_en