Jika anda dan anak anda meminati permainan video Minecraft, usah terlepas peluang mengalami sendiri permainan popular itu dalam versi dunia sebenar yang imersif mulai 24 April.

Pengalaman, Minecraft Experience: Villager Rescue itu boleh dinikmati di Mandai Wildlife Reserve hingga 13 September.

Ini merupakan perhentian pertama pengalaman tersebut di Asia selepas diadakan di Dallas, Amerika Syarikat, London, United Kingdom, dan Toronto, Canada.

Pengalaman selama sejam itu membawa pengunjung ke dalam misi berasaskan jalan cerita yang diilhamkan permainan video itu.

Peserta perlu melalui lapan bilik bertema untuk menyelamatkan sebuah kampung yang diserang zombi.

Pengalaman itu sesuai untuk semua peringkat usia, termasuk keluarga, peminat tegar dan pengunjung baru.

Pameran itu menggabungkan unjuran berskala besar, set teater, permainan penjejakan pergerakan dan penceritaan interaktif.

Pengunjung boleh meneroka pelbagai biom Minecraft, mengumpul sumber serta bertemu watak ikonik permainan itu dalam dunia nyata.

Setiap peserta akan menerima ‘Orb of Interaction’ untuk berinteraksi dengan persekitaran dan mempengaruhi unsur dalam pengalaman itu.

Selepas tamat misi, mereka boleh mengunjungi ruang, Minecraft Experience: Trading Post , untuk membeli barangan dan cenderamata.

Harga tiket bermula daripada $46 (dewasa) dan $40 (kanak-kanak) pada hari biasa; dan $51 serta $44 pada hujung minggu.

Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah perlu ditemani orang dewasa.

Kanak-kanak berumur dua tahun dan ke bawah masuk percuma.

Pengalaman itu dihasilkan oleh studio Supply + Demand dengan kerjasama Microsoft dan Mojang Studios.

Minecraft, yang dicipta dan diperkenalkan kepada orang ramai pada 2009, adalah permainan video paling laris di dunia dengan lebih 300 juta salinan terjual.