Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 500 belia kumpul, tunaikan solat tarawih di Masjid Al-Islah

Mar 23, 2025 | 1:01 PM
Ramai anak muda mengangkat tangan untuk menjawab soalan kuiz berkenaan Islam semasa acara #Terawih4Youth3 di Masjid Al-Islah pada 22 Mac.
Ramai anak muda mengangkat tangan untuk menjawab soalan kuiz berkenaan Islam semasa acara #Terawih4Youth3 di Masjid Al-Islah pada 22 Mac. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Lebih 500 belia berkumpul di Masjid Al-Islah pada 22 Mac bagi menyertai #Terawih4Youth3, acara yang menyemarakkan semangat anak muda menunaikan solat tarawih pada hari-hari terakhir Ramadan.

Acara itu dianjurkan oleh kedai cemilan dan minuman setempat, SGFR Store, dengan kerjasama kumpulan sukarelawan belia, MudaSG, di bawah naungan M Kuasa Tiga (M³) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Ini merupakan kali ketiga kedua-dua pihak berganding bahu, selepas acara serupa di Masjid Assyafaah dan Masjid Al-Islah pada Ramadan 2024 yang menarik sekitar 1,000 peserta secara keseluruhan.

Kali ini, #Terawih4Youth3 diadakan dalam 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan para peserta dapat bersama-sama mencapai keberkatan lailatulqadar – malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Antara anak muda yang hadir ialah, Rayyan Putra Al-Aufa Amani Al-Muhada, 12 tahun.

Pelajar Sekolah Menengah East Spring itu, yang menyertai #Terawih4Youth3 bersama datuk dan rakannya, berkata:

“Saya rasa sangat seronok dapat bersolat tarawih bersama-sama dengan orang lain. Ia satu pengalaman rohani.”

Lebih 500 anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu untuk melakukan solat tarawih bersama-sama.
Lebih 500 anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu untuk melakukan solat tarawih bersama-sama. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Menurut Pengasas bersama SGFR Store, Encik Mohamed Haikkel Firdhaus, 22 tahun, acara itu bertujuan menjadi pengalaman yang mesra untuk golongan belia yang mungkin tidak pernah melakukan solat tarawih.

“Kami harap acara ini merupakan titik permulaan bagi belia-belia ini untuk melakukan solat tarawih, dan harap mereka akan terus meneruskan solat tarawih pada Ramadan seterusnya,” jelasnya.

Naib Pengerusi MudaSG, Encik Muhammad Aqasha Juhari, 23 tahun, menambah bahawa pihak penganjur berharap acara itu turut membantu belia membuat rakan baru di luar persekitaran sekolah.

“Menerusi inisiatif ini, kami mahu membuat masjid sebagai satu hab masyarakat di mana golongan muda boleh datang dan bergaul antara satu sama lain.

“Kami harap mewujudkan persekitaran di mana belia rasa selesa dengan orang yang sama baya dengan mereka,” jelasnya.

Selain menunaikan solat tarawih, para peserta turut mengambil bahagian dalam kuiz dan menjawab soalan berkenaan Islam. Ini termasuk soalan tentang Nabi Muhammad saw dan Ramadan.

Setelah melakukan solat tarawih, peserta #Terawih4Youth3 diberi makanan dan minuman percuma daripada penaja acara itu.
Setelah melakukan solat tarawih, peserta #Terawih4Youth3 diberi makanan dan minuman percuma daripada penaja acara itu. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Pengasas bersama SGFR Store, Encik Luqmaanul Hakiim Abdul Rahman, 22 tahun, berharap acara itu menjadikan solat tarawih sebagai amalan berterusan bagi anak muda pada Ramadan seterusnya.

“Pada malam ini, saya melihat wajah-wajah yang saya pernah lihat pada acara tahun lepas, dan saya terharu melihat mereka membawa bersama rakan-rakan mereka untuk melakukan solat tarawih bersama-sama.

“Inilah sebabnya mengapa kami menganjurkan acara ini, untuk menyatukan golongan belia supaya mereka boleh beribadah bersama-sama,” ujarnya.

Pada penghujung acara, para peserta menerima makanan dan minuman percuma yang disumbangkan para pihak penganjur dan penaja #Terawih4Youth3.

Antara penaja utama ialah Cheekies, Smashed Burger, Ministry of Rojak, Smash Sports, Therapin, Koocester, Parrotkidz, Hey Korangz, Naz Travel Pte Ltd, Rave Football Institute dan Kampong Glam Cafe.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg