Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramadan dinanti kerana kesyahduan ibadah, kemeriahan bazar

Feb 23, 2025 | 5:30 AM
Erysha Emyra (kiri) mengekalkan hubungan baik dengan ibunya, Datin Seri Noniswara Baharudin, mahupun bapanya, Zakaria Rahman, meskipun orang tuanya sudah lama berpisah ketika usianya baru tujuh tahun.
Erysha Emyra (kiri) mengekalkan hubungan baik dengan ibunya, Datin Seri Noniswara Baharudin, mahupun bapanya, Zakaria Rahman, meskipun orang tuanya sudah lama berpisah ketika usianya baru tujuh tahun. - Foto INSTAGRAM DATIN SERI NONISWARA

Sebut sahaja tentang Ramadan yang bakal menjelang pada Mac ini, mata pelakon muda daripada drama Aku Bukan Ustazah, Erysha Emyra, berkerdipan.

Senyuman manis terukir di bibirnya, mengingati ukhuwah yang terbina di set penggambaran setiap kali perfileman drama terus berjalan lancar pada bulan puasa.

“Kekata Ramadan itu amat bermakna sekali buat saya sebab sebut tentangnya, saya akan bayangkan bulan mulia, di mana kita berhimpun beramai-ramai untuk beribadah dan menabur ihsan kepada golongan memerlukan. Tak sabar nak menanti Ramadan menjengah lagi.

“Kalau berlakon pada bulan mulia Ramadan, saya dan rakan-rakan akan pastikan kita segerakan tugas agar boleh solat tarawih bersama.

“Keluarga saya pula akan dapatkan imam untuk pimpin solat tarawih kami sekeluarga. Kalau saya ada masa terluang dan tidak bekerja, inilah tempoh paling nikmat untuk kami sekeluarga. Sebaik mungkin, saya cuba ada di rumah setiap hari kalau tidak bekerja.

“Jika bekerja, payah juga sebab sampai rumah, solat tarawih berjemaah pun dah selesai,” ceritanya kepada Berita Minggu (BM) di Casa Bayu pada 15 Februari, di mana acara bertemu peminatnya di Singapura diadakan.

Baginya, Ramadan juga masa untuknya dan rakan seni lain bergegas ke bazar Hari Raya, sejam sebelum berbuka puasa, jika mereka terikat pada projek lakonan.

“Pada tahun lalu (2024), saya dan Meerqeen sempat pergi bazar berhampiran set lakonan kami.

“Saya suka beli air tebu dan roti john untuk berbuka. Adalah peminat datang nak bergambar tetapi saya okey sahaja. Mereka datang dengan baik tetapi kebiasaannya kalau kami ramai-ramai, mereka taklah nak hampiri sebab segan,” ujarnya.

Erysha juga tidak akan lupakan pengalaman mengerjakan umrah sekitar Mac 2024 bersama bapa, ibu tiri dan teman ibu tirinya, yang membawa ibunya, seorang warga emas.

“Kami pergi sebelum Ramadan tetapi dapat juga nikmati kesyahduan bulan puasa di sana selama tiga hari.

“Pengalamannya memang luar biasa tetapi saya tak boleh lupa apabila tersepit dalam lautan manusia yang ramai pada ketika itu.

“Semuanya berebut nak beribadah. Saya pula seorang diri pada waktu itu. Nak rukuk dan sujud pun tak ada tempat, terpaksa berdiri sahaja.

“Saya sampaikan menangis sebab kali pertama berada dalam lautan manusia yang ramai dan semuanya bertolak-tolak. Sampaikan beberapa jemaah Arab Saudi yang prihatin dan bertanya mengapa saya kelihatan takut dan sedih?

“Mereka pimpin tangan saya untuk sama-sama beribadah. Harap-harap, tahun ini (2025), saya dapat kerjakan umrah Ramadan, jika berkesempatan,” tambahnya.

Menyentuh tentang hubungannya dengan bapanya, Zakaria Rahman, Erysha berkata ia kekal baik walaupun bapanya itu berpisah daripada ibunya, pelakon Datin Seri Noniswara Baharudin, ketika usianya baru tujuh tahun.

“Saya anggap semua ketentuan Allah itu memang sudah diatur sebegitu. Saya dah lama reda bahawa ibu bapa saya berpisah tetapi ia tidak bermakna hubungan kami pun berjauhan.

“Ada hikmah di sebalik setiap ujian keluarga. Hubungan saya kekal baik dengan bapa saya dan ibu tiri saya ataupun bapa tiri saya (suami ibunya),” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg