Irama lagu Linger sudah pun tercipta oleh gitaris The Cranberries, Noel Hogan, sebelum penyanyinya, mendiang Dolores O’Riordan, menyertai band tersebut.
Liriknya ditulis penyanyi pertama The Cranberries, Niall Quinn.
Bagaimanapun, apabila O’Riordan diterima masuk sebagai penyanyi, beliau mengusulkan lirik baru yang mengisahkan tentang penyesalannya bercinta dengan seorang tentera yang mengecewakan dirinya.
Menurut laman Songfacts, bunyi irama Linger itu seperti luahan rasa seorang wanita yang marah, sesuatu yang berbeza daripada muzik asal The Cranberries.
Bagaimanapun, ia diterima baik pendengar dan kerap diputarkan di radio dengan klip videonya pula kerap dimainkan di saluran MTV.
“Saya menulis lirik lagu ini yang mengisahkan tentang perasaan remuk-redam saya apabila putus cinta dengan teman lelaki pertama saya.
“Saya menyedari ia bukan cinta sejati. Ia hanya cebisan rasa cinta monyet seorang gadis pada seorang jejaka.
“Si gadis rasa teraniaya dek cinta itu dan lebih hampa melihat teman lelakinya itu bersama wanita lain.
“Apa yang meresahkan, si jejaka membiarkan rasa cinta si gadis terapung-apung tanpa memberitahunya rasa cinta itu sebenarnya sudah tidak wujud lagi,” kata O’Riordan dalam satu wawancara.
Lagu tentang cinta tidak kesampaian itu benar-benar berjaya menawan hati pendengar serata dunia tanpa dijangka O’Riordan dan rakan-rakan, yang menganggapnya hanya sebagai lagu anak muda yang menyesali kesilapan silam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg