Jika anda ingin ketenangan dan merehatkan minda pada hujung hari, lagu Teman oleh Insomniacks adalah jawapannya.
Lagu yang disusun dan diterbitkan oleh kumpulan Malaysia yang terdiri daripada tiga anak muda ini dikhaskan untuk peminat kumpulan itu.
Kumpulan yang terdiri daripada Syed Mir Iqbal Syed Adeli atau Iqie selaku penyanyi utama; Wan Arif Iskandar Wan Adnan atau Iskandar sebagai pemain bes; dan Ahmad Danial Ahmad Roslan atau Danial sebagai pemain gitar, kian mendapat perhatian peminat muzik.
Dalam kenyataan kepada New Straits Times, Iqie berkata lagu itu adalah satu tanda harapan dan ditulis dengan tujuan menemani golongan yang kerap berjaga pada waktu malam.
Dalam lirik lagu ini, jelas mesejnya adalah untuk mendampingi mereka yang sering bersendirian pada waktu khusus seperti waktu malam, waktu belajar atau dalam perjalanan ke sekolah atau pejabat.
Ia juga menekankan pentingnya hidup bermasyarakat kerana sebagai manusia, kita saling memerlukan dan sikap bantu-membantu harus dipupuk.
Sejak mula bertapak dalam industri muzik, lagu Insomniacks sering menjadi halwa telinga dalam kalangan remaja dan kerap tular di wadah media sosial.
Kali ini, Teman merupakan antara lapan lagu yang dimuatkan dalam EP Insomniacks, termasuk Belum Mulai yang menampilkan bakat Indonesia, Nabila Taqiyyah.
Kebanyakannya diberi tumpuan yang sama, nampaknya dengan tujuan untuk lebih mendekati pendengar, terutama peminat kumpulan itu.
Bagi penulis pula, apa yang dapat ditawarkan oleh Insomniacks membawa kelainan kerana lagu mereka tidak selalunya berkisarkan cinta atau kisah putus cinta.
Teman akan pasti menemani pada masa kesepian dan bersendirian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg