Topik diikuti
Pergi ke BHkuJaga pandangan, beri ruang: Cara pupuk keterangkuman dalam interaksi harian
Pandangan keluarga yang punya anak keperluan khas
Jaga pandangan, beri ruang: Cara pupuk keterangkuman dalam interaksi harian
Baru-baru ini, anak saya yang di Darjah 1 pergi ke sekolah memakai kemeja-T berwarna ungu.
Guru telah meminta murid-murid memakai pakaian atau aksesori dalam warna tersebut sempena Minggu Keterangkuman dan The Purple Parade 2026 di sekolah.
Di rumah, anak saya berkongsi istilah yang dipelajarinya pada hari itu seperti awareness (kesedaran) dan kindness (sikap baik hati).
Dia berkata: “If you see a person with no legs you don’t have to stare and ask: why you do not have legs, or say other things that are not kind.” (Jika kita lihat seseorang itu tidak mempunyai kaki, kita tidak perlu merenung dan bertanya mengapa awak tidak ada kaki, atau kata benda lain yang kurang baik.)
Ia satu permulaan untuk memperkenalkan nilai keterangkuman kepada kanak-kanak.
Namun, pendidikan tentang keterangkuman tidak boleh setakat itu. Ia perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian.
Pada saya, antara perkara penting yang ibu bapa boleh ajar kepada anak-anak sejak kecil adalah cara menjaga pandangan dan kata-kata ketika berhadapan dengan orang lain, khususnya individu kurang upaya,
Sempena The Purple Parade – acara tahunan yang meraikan golongan orang kurang upaya – yang akan berlangsung pada 24 Oktober, saya mendapatkan pandangan beberapa orang ibu yang mempunyai anak berkeperluan khas tentang bagaimana mereka berharap anak-anak mereka diterima oleh orang lain.
Tidak selesa direnung
Salah seorang daripada mereka, Cik Noor Hasni Osman, berkata beliau perasan orang di sekeliling merenung atau mencuri pandang kepada anaknya yang mengalami Congenital Methemoglobinemia Type 2, iaitu sejenis gangguan darah genetik yang sangat jarang berlaku.
Disebabkan keadaan tersebut, anak sulungnya yang berumur lapan tahun itu belum boleh berjalan dan perlu menggunakan kereta sorong.
Cik Noor Hasni berkata beliau faham yang penampilan anaknya mungkin berbeza daripada apa yang biasa dilihat oleh sesetengah orang, dan rasa ingin tahu itu merupakan reaksi semula jadi manusia.
“Saya tidak mengharapkan orang lain berpura-pura tidak melihatnya atau terus mengalihkan pandangan sebaik sahaja menyedari kehadirannya,” kata ibu dua anak itu.
“Secara peribadi, saya berasa kurang selesa apabila orang merenungnya terlalu lama.
“Sebagai ibunya, saya sedar akan perhatian yang diberikan kepadanya, dan keadaan itu boleh membuatkan saya lebih berasa diperhatikan sebagai sebuah keluarga, sedangkan kami hanya ingin menjalani kehidupan seharian seperti biasa,” ujarnya.
Boleh hulur bantuan, tapi tanya dahulu
Bagi seorang lagi ibu, Cik Nurul-Qursyiah Ismail, beliau sudah terbiasa dengan renungan orang lain apabila dua anaknya yang mengalami autisme melakukan stimming atau mengalami meltdown.
Beliau tidak mengendahkan mereka, asalkan mereka tidak menunjuk atau merakam.
Stimming atau tingkah laku stimulasi diri, adalah pergerakan atau bunyi berulang kali yang dilakukan hampir semua individu yang mengalami autisme.
Ia menolong dalam pengawalan emosi serta deria dan boleh membantu mereka memberi tumpuan atau meluahkan perasaan.
Meltdown ialah istilah apabila seorang yang mempunyai autisme tidak dapat mengawal tingkah lakunya dan kelihatan seperti sedang mengamuk.
“Seorang anak saya menghentak kaki dan berbaring di lantai. Yang seorang lagi menjerit atau mengalami hiperventilasi. Jika orang lain melihat anak saya dalam keadaan sedemikian, saya harap mereka boleh lihat ke arah lain,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak neurotipikal.
“Tapi jika anda melihat ibu atau bapa itu sendirian dan sedang mengalami kesukaran, seperti mempunyai barang-barang yang perlu diangkat atau anak-anak lain yang perlu dipantau, mungkin anda boleh membantu menjaga barang-barang atau anak-anak lain sementara ibu atau bapa itu menenangkan anak mereka yang sedang tidak tenteram,” tambahnya.
Cik Nurul-Qursyiah berkongsi satu pengalaman positif apabila sebuah keluarga senyum dan mengangguk untuk menunjukkan yang mereka faham, dan tidak merenung secara berlebihan, ketika anaknya mengalami meltdown.
“Senyuman kecil sudah cukup untuk meyakinkan kami bahawa kehadiran kami tidak mengganggu orang lain. Kami juga berusaha untuk membawa anak kami ke tempat yang lebih tertutup apabila dia mengalami meltdown,” kongsi beliau.
Seorang lagi ibu yang mempunyai anak yang mengalami autisme berkata beliau dahulu berasa sangat geram apabila orang lain merenung dan berbisik-bisik apabila anaknya mengalami meltdown atau melakukan stimming.
Tapi sekarang beliau tidak mengendahkan mereka dan memberi tumpuan kepada anaknya.
“Tidak mengapa jika anda memandang sekali atau dua kali kerana rasa ingin tahu itu perkara biasa.
“Namun, selepas itu, anda boleh meneruskan perjalanan atau bertanya sama ada kami memerlukan bantuan,” ujar ibu seorang anak yang tidak mahu namanya disiarkan itu.
“Usaha menenangkan anak yang sedang mengalami meltdown ada kalanya mengambil masa. Kehadiran terlalu ramai orang di sekelilingnya tidak membantu, malah boleh membuatkan anak berasa lebih tertekan.
“Jadi, tidak mengapa jika anda memilih untuk beredar dan memberi kami ruang.
“Namun, jika anak itu berulang kali memukul penjaganya, mungkin anda boleh tampil untuk membantu. Tapi, tanyalah terlebih dahulu sama ada bantuan anda diperlukan sebelum bertindak,” tambahnya.
Berinteraksi seperti biasa
Cik Noor Hasni mengajak orang ramai fikirkan mengapa mereka perlu berkelakuan berbeza apabila melihat seorang kanak-kanak kurang upaya.
“Jika kita tidak merenung kanak-kanak lain, mengapa perlu merenung anak saya? Saya tidak kisah jika orang lain menyedari kehadiran anak saya dan saya juga terbuka kepada interaksi yang dilakukan dengan penuh hormat,” katanya.
“Mereka tidak perlu mengalihkan pandangan atau berpura-pura seolah-olah anak saya tiada di situ. Saya cuma berharap mereka dapat mengambil kira tempoh mereka merenung dan bagaimana tingkah laku mereka mungkin dirasai oleh individu yang menerima perhatian tersebut,” tambahnya.
Cik Noor Hasni turut berharap orang lain boleh melayan anaknya sama seperti kanak-kanak lain.
Orang lain boleh senyum atau menyapa dengan mesra atau mengakui kehadirannya tanpa menjadikan ketidakupayaannya sebagai tumpuan utama dalam interaksi tersebut.
“Jika anda ingin berinteraksi dengannya, anda boleh bercakap secara langsung dengannya.
“Anak saya berkomunikasi dengan cara yang berbeza, tetapi itu tidak bermakna orang lain tidak boleh berinteraksi dengannya.
“Kita mungkin tidak selalu mendapat respons seperti yang diharapkan, tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak berusaha melibatkan anak saya dalam interaksi tersebut,” ujarnya.
Erti sebenar keterangkuman
Saya nyatakan di atas bahawa ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk menjaga pandangan dan kata-kata, khususnya ketika berhadapan dengan orang kurang upaya.
Namun, pada saya, usaha memupuk keterangkuman benar-benar berjaya apabila anak-anak belajar untuk melihat setiap individu sebagai seorang insan, bukan semata-mata berdasarkan keupayaan atau ketidakupayaan mereka.
Matlamat kita bukan sekadar membesarkan anak-anak yang tahu bagaimana untuk tidak menyakiti orang lain, bahkan juga anak-anak yang tahu bagaimana untuk membuat orang lain berasa diterima dan tergolong.
Dan mungkin, di situlah bermulanya sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif.