Dianggarkan seorang dalam lima kanak-kanak di Singapura mengalami perbezaan perkembangan neurologi.

Ini termasuk Gangguan Spektrum Autisme (ASD), Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), disleksia, gangguan perkembangan bahasa serta cabaran fungsi eksekutif (kesukaran dalam mengawal proses kognitif otak).

Bagi banyak keluarga, perjalanan daripada mengenal pasti tanda-tanda awal perkembangan hinggalah meraih pemahaman dan mendapatkan sokongan adalah panjang, memenatkan dan kadangkala mengasingkan mereka daripada masyarakat.

Selain itu, terdapat satu aspek yang sering kali kurang diberikan perhatian, iaitu kesejahteraan penjaga kanak-kanak itu.

Mereka yang membesarkan kanak-kanak yang mengalami perbezaan perkembangan neurologi mungkin berdepan dengan keletihan, kesedihan, stigma masyarakat dan perasaan tidak difahami, termasuk daripada sistem yang sepatutnya membantu mereka.

Menyedari keperluan itu, pusat campur tangan dan terapi pendidikan, Tink It! Learning Loft, akan menganjurkan satu persidangan dalam talian pada 7 November bagi meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian neurologi dan kesejahteraan penjaga.

Dalam Simposium Inklusif yang akan berlangsung selama enam jam itu, peserta dapat memahami landskap keperluan khas di Singapura, dan berpeluang mendengar perkongsian daripada penjaga kanak-kanak yang mengalami autisme.

Satu sesi perkongsian mengenai peranan bapa yang akan disampaikan oleh Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, turut disertakan bagi menggalak keluarga melihat penjagaan bukan sebagai beban yang dipikul oleh seorang individu sahaja, malah, sebagai satu amanah bersama.

Peserta persidangan itu turut berpeluang mempelajari strategi amali berasaskan bukti yang boleh digunakan dalam kehidupan harian.

Mereka juga akan mendapat pendedahan kepada sumber bantuan, perkhidmatan dan rangkaian sokongan yang tersedia di Singapura.

Peserta juga boleh mendengar perkongsian tentang perancangan legasi untuk anak berkeperluan khas.

Selain untuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang mengalami perbezaan perkembangan neurologi, persidangan itu dibuka kepada pendidik prasekolah dan sekolah rendah.

Ia bagi membolehkan mereka meningkatkan pemahaman tentang perbezaan perkembangan dalam kalangan murid serta mempelajari cara memberikan tindak balas dan membuat rujukan yang sesuai.

Pemimpin masyarakat, termasuk imam, pertubuhan khidmat sosial (SSO) dan wakil akar umbi, turut digalakkan menyertainya agar dapat membawa kesedaran dan pemahaman yang lebih baik kepada keluarga serta kejiranan masing-masing.

Karyawan kesihatan bersekutu turut dialu-alukan agar dapat membina hubungan kerjasama dan rangkaian rujukan yang lebih kukuh dalam ekosistem sokongan kepelbagaian neurologi di Singapura.

Tiket berharga $35.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman web, www.efmastery.com/inclusive-symposium-2026.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti