Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan pilih sokongan tepat bagi anak disyaki alami autisme
Kenal pasti tanda-tanda pada si cilik, campur tangan awal boleh bantu komunikasi, tingkah laku dan pembelajaran
Panduan pilih sokongan tepat bagi anak disyaki alami autisme
Setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar masing-masing, tetapi terdapat tanda amaran yang jelas yang memerlukan tindakan segera.
Ini termasuk tidak berceloteh menjelang usia 12 bulan, dan kehilangan kemahiran bahasa atau sosial.
Jika anda menyedari tanda-tanda ini, usah tunggu sehingga diagnosis rasmi dibuat untuk mula mendapatkan bantuan.
Pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kadangkala boleh melambatkan sokongan penting.
Campur tangan awal, terutama dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun, mempunyai bukti paling kukuh dalam meningkatkan hasil komunikasi, tingkah laku dan pembelajaran.
Lebih awal anda bermula, lebih banyak laluan saraf yang boleh dibentuk dalam tempoh perkembangan kritikal.
Apabila ibu bapa rasa ‘ada sesuatu yang berbeza’
Ibu bapa paling mengenali anak mereka.
Jika anda berasa ada sesuatu yang berbeza, kemungkinan besar anda sedang menyedari corak sebenar, walaupun sebelum diagnosis dibuat.
Tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan:
Kelewatan komunikasi: Tidak berceloteh menjelang usia 12 bulan, tiada perkataan tunggal menjelang usia 16 bulan, atau tiada frasa dua perkataan menjelang usia 24 bulan.
Hubungan mata atau penglibatan sosial yang terhad: Tidak memberi tindak balas apabila nama dipanggil, mengelakkan hubungan mata, atau kelihatan tidak berminat bermain dengan orang lain.
Tingkah laku berulang: Mengepak-ngepakkan tangan, menggoyangkan badan, menyusun mainan dalam satu barisan, atau memberi tumpuan yang mendalam kepada objek tertentu.
Kepekaan deria: Memberi reaksi berlebihan terhadap bunyi, tekstur atau cahaya, atau kelihatan tidak sensitif terhadap kesakitan atau suhu.
Sukar hadapi peralihan: Mengalami tekanan emosi yang melampau apabila rutin berubah, atau sukar beralih daripada satu kegiatan kepada kegiatan yang lain.
Kehilangan kemahiran: Kanak-kanak yang sebelum ini boleh bercakap atau bersosial tetapi tiba-tiba berhenti melakukannya.
Catat perkara yang anda perhatikan – bila tingkah laku itu berlaku, berapa lama ia berlangsung dan perkara yang mencetuskannya.
Maklumat ini akan sangat berguna apabila anda menemui profesional.
Anggap panduan profesional sebagai perbincangan
Ramai ibu bapa bimbang perjumpaan dengan profesional bermakna mereka sedang ‘melabelkan’ anak mereka atau terikat dengan terapi selama bertahun-tahun.
Itu tidak benar.
Mendapatkan panduan hanya bermaksud mengumpulkan maklumat.
Saringan atau penilaian perkembangan membantu anda memahami:
– Apakah kekuatan dan cabaran anak anda.
– Sama ada kelewatan perkembangan mereka masih dalam julat lazim atau memerlukan sokongan khusus.
– Apakah pilihan yang tersedia – sama ada terapi, penyesuaian di sekolah atau strategi di rumah.
Anda masih mempunyai kawalan.
Diagnosis atau penilaian hanyalah satu alat – ia boleh membuka peluang kepada subsidi, sokongan sekolah atau perkhidmatan khusus, tetapi ia tidak menentukan identiti anak anda.
Begitu juga, memulakan terapi tidak bermakna komitmen sepanjang hayat.
Anda boleh mencuba sesuatu program, memantau kemajuan dan membuat penyesuaian mengikut keperluan.
Anggap panduan profesional sebagai satu perbincangan, bukannya keputusan muktamad.
Tujuannya adalah untuk memperkasakan anda dalam membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat – bukan membuat keputusan bagi pihak anda.
Panduan pilih penyedia khidmat campur tangan awal
Memilih penyedia perkhidmatan merupakan salah satu keputusan paling penting yang akan dibuat oleh sesebuah keluarga.
Berikut soalan utama yang perlu ditanya:
– Apakah pendekatan yang anda gunakan? Adakah pendekatan tersebut berasaskan bukti? Bagaimanakah pendekatan itu disesuaikan untuk pelajar neurodivergen?
– Bagaimanakah anda melibatkan ibu bapa? Adakah anda menawarkan latihan kepada ibu bapa, sesi di rumah atau sesi konsultasi berkala?
– Bagaimanakah matlamat ditetapkan? Adakah matlamat disesuaikan berdasarkan kekuatan anak saya dan keutamaan keluarga saya – atau adakah matlamat yang sama digunakan untuk semua kanak-kanak?
– Bagaimanakah anda menjejaki kemajuan? Adakah anda menyediakan data mingguan, video atau laporan supaya saya dapat melihat peningkatan yang nyata?
– Apakah kelayakan ahli terapi anda? Berapa kerap mereka menerima penyeliaan dan latihan berterusan?
– Berapakah nisbah ahli terapi kepada kanak-kanak? Adakah terapi dijalankan secara individu atau dalam kumpulan?
– Apakah yang berlaku jika kemajuan terhenti? Bagaimanakah anda menyesuaikan program jika anak saya tidak menunjukkan respons?
– Berapakah kos dan subsidi yang tersedia? Adakah terdapat sebarang caj tersembunyi? Apakah bantuan pemerintah yang boleh saya mohon?
Jangan takut untuk mengunjungi beberapa pusat, memerhatikan sesi dan meminta testimoni daripada ibu bapa.
Penyedia khidmat yang sesuai akan mengalu-alukan soalan anda.
Kemajuan yang boleh dijangka
Kemajuan sebenar bukan sekadar perkara yang berlaku di bilik terapi, tetapi bagaimana kemahiran tersebut digunakan dalam kehidupan harian.
Berikut perkara yang boleh dijangkakan oleh keluarga secara realistik:
Komunikasi: Kanak-kanak yang tidak bertutur mungkin mula menggunakan gerak isyarat, gambar atau perkataan tunggal untuk meminta sesuatu. Kanak-kanak yang boleh bertutur mungkin belajar mengemukakan soalan, berbual ringkas atau meluahkan emosi menggunakan perkataan.
Pengawalan emosi: Ledakan emosi mungkin berkurangan dari segi kekerapan atau intensiti. Kanak-kanak belajar menggunakan strategi daya tindak – seperti meminta rehat atau menggunakan alat deria – dan bukannya membiarkan keadaan menjadi semakin buruk.
Berdikari: Kemahiran seperti berpakaian, menggunakan tandas, makan atau mengemas beg sekolah menjadi lebih mudah dilakukan dengan kurang arahan atau bantuan.
Penyertaan di sekolah: Kanak-kanak boleh mengikuti pelajaran sehingga selesai, mematuhi arahan mudah, menunggu giliran atau bermain bersama rakan sebaya tanpa sokongan berterusan daripada orang dewasa.
Kehidupan keluarga: Waktu makan menjadi lebih tenang. Peralihan kegiatan (seperti keluar rumah atau waktu tidur) memerlukan kurang pujukan dan perundingan. Adik-beradik boleh bermain bersama dengan kurang konflik.
Kemajuan tidak semestinya ketara atau berlaku secara berperingkat atau mengikut urutan.
Ada minggu apabila anda akan melihat lonjakan kemajuan yang besar.
Pada minggu lain, perkembangan anak anda mungkin mendatar atau merosot akibat penyakit, perubahan rutin atau beban deria yang berlebihan.
Itu perkara biasa.
Perkara yang penting merupakan trajektori perkembangan keseluruhan dalam tempoh beberapa bulan, bukan beberapa hari.
Penulis Pengasas Bersama Healis Autism Centre.